KUALA LUMPUR 20 Nov. - MCA disaran mengadakan semula pemilihan parti bagi membolehkan anggota akar umbi menggunakan hak dan menzahirkan hasrat memilih kepimpinan yang dimahukan.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin berkata, kemelut melanda MCA dapat diselesaikan sekiranya semua pihak dapat mencapai kata sepakat mengenai perkara itu.
"Pemilihan semula parti itu mampu merungkai krisis dalaman yang dihadapi MCA sekarang.
"Ini bermaksud anggota akar umbi diberi hak untuk memilih pimpinan parti yang mampu menerajui parti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rosnah turut mengalu-alukan kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bertemu dengan barisan kepimpinan MCA bagi menyelesaikan kemelut parti itu.
Menurutnya, beliau percaya pertemuan tersebut mampu menjernihkan keadaan dan menamatkan krisis yang berlarutan itu.
"Perlu diakui masalah yang berlarutan itu menjejaskan keharmonian dalam Barisan Nasional (BN) terutama daripada aspek penyatuan ahli parti komponen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
"Ia membuka ruang pembangkang meraih sokongan di kalangan pengundi Cina. Justeru, Puteri UMNO percaya pertemuan Perdana Menteri dan kepimpinan MCA itu jalan terbaik untuk menamatkan krisis," ujarnya.
(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1121&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_09.htm&arc=hive)


