ANDA PELAWAT KE


Thursday, August 21, 2008

ERTI SEBUAH KEMERDEKAAN

Ogos 2008 ini genaplah kemerdekaan negara kita ke 51 tahun. Bagi Puteri Labuan sendiri, bukan senang untuk mempertahankan kemerdekaan, dan lebih sukar lagi untuk mengisinya, kerana pengisiannya adalah penentu kemerdekaan tersebut dapat dipertahankan.

Sebagai generasi muda, dan pewaris kepimpinan akan datang, warga Puteri perlu menyiapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan yang lebih mendalam, kerana itulah aset yang perlu bagi mengisi kemerdekaan yang dikecapi hari ini.

Hari ini, warga Puteri telah mula melangkah sedikit demi sedikit bagi mempelajari erti politik sebenar. Puteri sedar bahawa arena ini bukan hanya dihadapi dengan ilmu pengetahuan yang didapati daripada kursus-kursus dan percambahan idea, malah ia memerlukan kekuatan minda yang utuh, terbuka dan lebih berpandangan jauh. Benar kata orang yang berpengalaman " setiap yang kita lakukan hari ini adalah penentu senario hari esok ". Warga Puteri mengakui hakikat bahawa kepimpinan generasi muda hari ini perlu berfikiran lebih jauh ke hadapan, mengutamakan perpaduan dan perlu berfikiran positif serta bersedia untuk menerima kritikan masyarakat.

Melihat kepada pengalaman lepas kadangkala memang perlu bagi memperbaiki sebarang perkara yang akan kita lakukan, demi menjamin kejayaan yang lebih cemerlang. Namun tidak perlulah kita menggunakan kelemahan daripada pengalaman untuk digunakan kerana ia sudah tentu tidak dapat menjamin kejayaan kita pada hari ini dan akan datang. Sebagai pemimpin, berfikiran lebih jauh dan menyusun objektif serta matlamat untuk jangka masa panjang, 10 hingga 15 tahun misalnya, akan lebih meningkatkan inisiatif kita untuk lebih berusaha bagi mencapai apa yang telah kita susun, dan sudah pasti demi nusa bangsa, agama dan negara. Sudah pasti masyarakat akan turut sama menyokong dan berusaha bersama-sama bagi merealisasikan matlamat bersama tersebut. Usahlah hanya memikirkan memimpin untuk sekadar mencuba-cuba atau merasa tanpa menyusun matlamat dan objektif yang lebih rasional. Inilah yang warga Puteri perlu elakkan, kerana kitalah pelapis kepimpinan yang diharap dapat meneruskan perjuangan pemimpin hari ini.

Sempena bulan kemerdekaan ini, diharapkan warga Puteri dapat menghayati bahawa pengisian untuk mempertahankan kemerdekaan hari ini perlu kita lakukan dengan perkara yang lebih berwawasan, positif dan mengutamakan perpaduan antara kita. Apa yang lebih penting kerasionalan kita sebagai pemimpin muda perlu mengatasi emosi dalam diri kita, kerana kemerdekaan ini milik kita, generasi Malaysia hari ini, esok dan selamanya.

Salam Merdeka.


No comments: