ANDA PELAWAT KE


Thursday, August 21, 2008

PUTERI SYOR PERTIMBANG KENAIKAN BANTUAN JKM

Utara: Puteri syor pertimbang kenaikan bantuan JKM

Oleh Nurhayati Abllah dan Yusliza Yakimir Abd Talib
bhnews@bharian.com.my


SIMPATI: Wan Norashikin (kiri) menziarah adik Nor Farisha yang mengalami ketumbuhan di belakang leher sejak lahir menderita penyakit cecair dalam kepala selepas pembedahan membuang ketumbuhan sejak berusia empat tahun di Kampung Kepayang, Simpang Pulai, sambil dilihat ibu Farisha, Noorman (kanan).

Kos sara hidup penduduk miskin semakin meningkat

IPOH: Puteri Umno Perak mencadangkan kerajaan mempertimbang semula kadar bantuan elaun yang diberi melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk disesuaikan dengan kos sara hidup kini, selain mengkaji keperluan masyarakat.

Ketua Puteri Umno Perak, Dr Wan Norashikin Noordin berkata, kenaikan kadar bantuan itu adalah wajar kerana masyarakat kini berdepan dengan kenaikan harga barang dan bahan bakar.


"Sudah sampai masanya kerajaan memikirkan keperluan masyarakat kerana mereka terutama golongan sasar kini berdepan dengan kos kenaikan pelbagai barang.


“Kajian perlu dibuat dan bantuan sepatutnya diberi mengikut kesesuaian semasa," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah Nor Farisha Farina Abdul Rahman, 11, yang menghidap ketumbuhan di belakang leher dan pengumpulan cecair dalam kepala di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat, Hamidah Osman dan Pegawai JKM Kinta, Zaini Othman.

Pada majlis yang sama, Puteri Umno Cawangan Gopeng memberi sumbangan bernilai RM5,000 sebagai peruntukan membaiki rumah Nor Farisha, sementara JKM menghulurkan sumbangan RM2,500 bagi tujuan sama.

JKM turut meluluskan bantuan bulanan bagi meringankan beban Nor Farisha sebanyak RM300 sebulan.

Sementara itu, ibu kanak-kanak malang berkenaan, Noormah Abu Bakar, 43, yang juga seorang suri rumah berkata, kepala anaknya semakin membesar dari sehari ke sehari selepas menjalani pembedahan menyebabkan anaknya tidak dapat meneruskan kehidupan seperti kanak-kanak normal.

“Sejak lahir Farisha sudah menjalani lima kali pembedahan di kepala dan tujuh kali pembedahan di perut akibat jangkitan kuman dan pakar neurologi mengesahkan penyakit anak saya tidak dapat diubati dan keadaannya akan kekal sedemikian sehingga akhir hayat,” katanya.

Noormah yang mempunyai empat anak berusia setahun hingga 17 tahun juga terpaksa membuat rawatan dengan pakar neurologi di Hospital Raja Permaisuri Bainun empat bulan sekali.

"Saya terharu dan berterima kasih kepada wakil rakyat yang sudi memberi sumbangan serta sanggup ke rumah saya untuk melihat sendiri penderitaan kami sekeluarga," katanya.

(Sumber :- http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Wilayah/20080821084140/Article)

No comments: