ANDA PELAWAT KE


Thursday, November 20, 2008

SUKARELAWAN DAN GENERASI MUDA

Puteri ingin berkongsi pengalaman semasa aktif dalam persatuan belia. Puteri pernah terlibat secara langsung dalam pertubuhan-pertubuhan belia di sekitar W.P. Labuan sedikit masa dahulu. Puteri bermula dengan sekadar ahli biasa, AJK Biro, dan kemudian exco serta seterusnya memegang jawatan di antara exco tertinggi dalam Majlis Belia Labuan. Banyak perkara penting yang Puteri rasakan perlu diterapkan dalam diri generasi muda, khususnya yang dikatakan sebagai pelapis kepimpinan. Salah satu ciri penting yang perlu diserapkan dalam diri setiap pelapis kepimpinan adalah semangat KESUKARELAAN.
Seseorang individu itu secara asasnya memang berpotensi sebagai SUKARELAWAN, hanya yang membezakan adalah semangat kesukarelaannya berada di tahap yang mana, sama ada tinggi, sederhana atau sedikit. Untuk bergelar sukarelawan ini bukanlah satu yang sukar, cuma perlu memiliki syarat-syarat seperti berikut :-

01. sedia dan suka berkhidmat

02. jelas mengapa (tujuan) melakukan kerja sukarela

03. bersikap rendah hati (humble), bukan sombong dan meninggi diri

04. mempunyai andaian yang positif terhadap masyarakat, bukan berprasangka

05. sanggup dan sedia belajar untuk menguasai tugasan atau memainkan sesuatu peranan

06. sedia mengatasi kelemahan diri atau memperbaiki diri untuk menjadikan kerja atau khidmat sukarelanya lebih berkesan

07. sentiasa sedia berkongsi pengalaman, idea dan kebolehan ; tidak lokek atau kedekut

08. melakukan kerja dengan ikhlas, jujur san gigih

09. sanggup bekerja dalam kumpulan atau bersama orang lain

10. sanggup menghadapi cabaran dan rintangan

11. sedia berkorban

12. bersemangat tinggi dalam menuju cita-cita; teguh walaupun tidak mendapat penghargaan, atau mendapat respon yang negatif

Jika anda memiliki syarat-syarat seperti di atas, maka anda adalah SUKARELAWAN. 7 tahun lepas, semasa Puteri bersama-sama 20 orang lagi teman Puteri yang berasal dari seluruh Malaysia mewakili negara dalam Program Kapal Belia melawat ke beberapa buah negara, memerhati bahawa syarat-syarat di atas tidak ada bezanya dengan syarat-syarat sukarelawan belia di negara-negara seperti Jepun, Korea, Vietnam, Indonesia, Filipina dan beberapa buah negara lain. Bermakna, di mana-mana sekalipun, atau dari mana-mana asalpun, semangat kesukarelaan itu harus ada pada diri generasi muda.

Cuba bayangkan generasi muda UMNO iaitu Pemuda dan Puteri mempunyai semangat sukarela di tahap tinggi.. pastinya UMNO tidak akan ketandusan pemimpin yang benar-benar berbakti kepada bangsa, tidak sekali-kali mengharapkan balasan dan pulangan yang lumayan.
Dua hari lepas, Puteri dan beberapa rakan belia (termasuk SIFU Puteri dalam belia) dijemput untuk berkongsi pengalaman dalam 1 sesi slot kepimpinan dalam PROGRAM JATIDIRI KESUKARELAAN NASIONAL (PJKN) anjuran Majlis Belia Labuan, yang mana diadakan setiap tahun sebagai program tahunan KBS. Puteri gembira kerana dapat berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan dengan adik-adik peserta PJKN. Apa yang membuatkan Puteri berasa kagum ialah sebenarnya ramai generasi muda, terdiri daripada pemuda dan puteri yang berminat dalam mengikuti aktiviti kesukarelaan, demi meningkatkan dan mengukuhkan jatidiri individu.
Puteri percaya penerapan nilai-nilai semangat kesukarelaan dalam generasi muda ini akan dapat membuahkan hasil dan impak yang positif dalam diri individu pelapis kepimpinan...serta akhirnya akan dapat diadaptasikan dalam mengukuhkan ketinggian jatidiri dan martabat bangsa.

No comments: