ANDA PELAWAT KE


Tuesday, December 23, 2008

OooPSss.... Info Untuk Calon (Puteri)!!

Kempen guna blog boleh kena tindakan disiplin

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Mana-mana calon yang menggunakan blog untuk berkempen sebarang jawatan parti sama ada di peringkat cawangan, bahagian atau Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan UMNO Mac depan boleh dikenakan tindakan disiplin kerana ia melanggar Tataetika Ahli UMNO.

Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, ahli-ahli parti masih dibenarkan memiliki blog sendiri tetapi ia tidak boleh sama sekali memiliki sebarang unsur yang boleh ditafsirkan sebagai berkempen untuk diri sendiri atau pihak lain.

Katanya, Tataetika Ahli UMNO mempunyai garis panduan yang jelas berhubung perkara itu.

"Perkara 5.3 Tataetika Ahli UMNO menghalang apa jua penerbitan, penyiaran, penulisan dalam risalah, majalah, makalah, buku atau lain-lain karya yang mengandungi unsur menyokong, memfitnah, mencela dan mengeji ahli-ahli parti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Lembaga Disiplin UMNO di Ibu Pejabat UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ahmad Rithauddeen berkata, selaras dengan kandungan Tataetika Ahli UMNO itu, pihaknya telah mengambil tindakan memberi amaran kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Ahmad Kuris Mohd. Nor kerana didapati bersalah berkempen menggunakan blog pada pemilihan UMNO peringkat bahagian yang lalu.

Beliau turut mengingatkan ahli UMNO yang mempunyai sebarang masalah melibatkan pemilihan dalam parti agar tidak membawa kes mereka ke mahkamah kerana boleh digugurkan keahlian jika berbuat demikian.

Beliau berkata, Perkara 20.7 Perlembagaan UMNO dan Perkara 18C Akta Pertubuhan 1966 dengan jelas menyatakan apa jua kepentingan melibatkan parti politik adalah dilarang dibawa ke mahkamah.

Katanya, setakat ini, tiga kes daripada UMNO Bahagian Tanah Merah, Ledang dan Kota Tinggi telah dibawa ke mahkamah.

Akibat perbuatan itu, katanya, ketiga-tiga pihak yang membawa kes berkenaan telah dipanggil oleh pihaknya dan wakil UMNO Bahagian Tanah Merah sudah pun digugurkan keahlian.

Sementara itu, wakil daripada dua bahagian lagi sedang melalui perbicaraan untuk memberikan penjelasan mengapa mereka membawa kes ke mahkamah.

"Perlembagaan UMNO dengan jelas menyatakan jika ada pihak mengetengahkan sebarang kes parti ke mahkamah, akan gugur keahlian," katanya.

Menurut beliau, jika ada sebarang masalah atau rasa tidak puas hati, ia perlu dibawa kepada saluran yang betul dalam parti seperti Lembaga Disiplin dan bukannya kepada pihak diluar.

(Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_13.htm)

1 comment:

bungaraya said...

Teruskan berjuang sekalipun didalam blog yang diharamkan oleh Ahli Lembaga Disiplin UMNO Pusat.
Berani kerana benar dan takut kerana salah. Saya yakin tak lama lagi akan ada pembetulan mengenai kebaculan Ahli Lembaga Disiplin ini.
Sebenarnya Rithauddin dah tua. Dizamannya masih menggunakan Lembu sebagai transpoter. Nanti tekan butang pun tiba-tiba kita berada di Madinah. Betapa majunya dunia sains. Huddin ketika itu jangan haramkan semua butang termasuk pakai butang baju. Nampak sangat kita terlalu ortodok dan goblok.