ANDA PELAWAT KE


Monday, December 1, 2008

TAMBAH KUALITI NILAI DIRI


Pada hujung tahun ini kemungkinan besar seramai 50,000 kakitangan awam kontrak akan diberhentikan kerja, iaitu mereka yang bukan pemegang jawatan tetap dalam kerajaan. Puteri berasa terkilan sedikit kerana sekiranya ia benar-benar berlaku, ini sedikit sebanyak akan mengganggu pendapatan bulanan rakyat Malaysia yang hanya bergantung pada pendapatan bulanan pekerjaan mereka. Puteri terbayang bagaimana keadaan dan nasib wanita muda yang terlibat dalam pemberhentian tersebut. Apatah lagi mereka yang berstatus ibu tunggal dan mempunyai lebih dari seorang anak? Sekiranya antara mereka mempunyai pendidikan tinggi seperti berkelulusan diploma ke atas, mungkin boleh mencuba nasib dalam organisasi swasta, tapi bagaimana pula dengan mereka yang tidak berkelayakan akademik?...

Puteri lihat di Pulau Labuan ini berkemungkinan besar tidak akan terasa kadar pengangguran yang terlalu tinggi, kerana syarikat-syarikat "oil & gas" tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Rata-rata bekas pelajar IPT pun tidak lama menganggur, kerana berani mencuba nasib di syarikat-syarikat tersebut dan terus mendapat tawaran bekerja. Walaupun jawatan yang ditawarkan secara kontrak, namun ini menunjukkan bahawa generasi muda Labuan tidak pasif, malah mempunyai semangat kebersaingan yang tinggi dan yang penting ialah mereka ini berani mencuba untuk memperbaiki nilai tambah dalam diri agar lebih berkualiti dan diperlukan pada masa-masa akan datang.
Di sinilah nanti terbuktinya kepentingan modal insan sebagai aset kekayaan negara. Seperti yang dikatakan oleh pemimpin parti kita, Negara masyarakat bekerja dan masyarakat kreatif boleh dihasilkan dengan mengembangkan konsep modal insan yang berkualiti. Ini sekaligus dapat mengurangkan sifat kebergantungan masyarakat kepada kerajaan untuk mendapatkan pekerjaan dan lain-lain peluang untuk mencapai perubahan. Dalam RMK-9 ada terkandung matlamat kerajaan untuk mencorakkan hala tuju perubahan negara melalui dasar-dasar ke arah pembangunan modal insan.

Sekiranya semua dilakukan dengan perancangan teliti antara pihak swasta dan kerajaan, Puteri yakin masalah pengangguran bukan lagi masalah kritikal dalam negara kita. Dengan kualiti dan nilai tambah dalam modal insan, maka akan lahirlah golongan usahawan, intelektual yang berdaya maju, golongan peniaga yang berhemah, golongan pemikir yang kreatif dan golongan aktivitis sosial yang sentiasa membantu masyarakat membentuk suatu matlamat kehidupan yang berwawasan, berhemah dan bertamadun tinggi. Puteri juga mengharapkan golongan generasi pemimpin muda tidaklah hanya mengharapkan kerajaan untuk menawarkan peluang pekerjaan, tetapi beranilah mencari nilai tambah dalam diri agar kita dapat berdikari dan seterusnya dapat memajukan diri sendiri serta masyarakat sekeliling.

Puteri masih ingat lagi, dulu semasa Puteri baru keluar dari IPTA, Puteri berasakan bahawa semua yang dipelajari di kampus mestilah digunakan untuk berharap mendapatkan pekerjaan dari pihak kerajaan. Tetapi, bila Puteri di alam mencari pekerjaan dan seterusnya bekerja, dan apabila memerhati senario lepasan IPT semakin bertambah, akhirnya Puteri dapat buat kesimpulan bahawa sebenarnya semua yang dipelajari semasa di kampus dulu sebaik-baiknya dan seharusnya digunakan untuk MENAMBAH PELUANG PERNIAGAAN KEPADA MASYARAKAT, bukannya BEREBUT PEKERJAAN DENGAN MASYARAKAT. Puteri berharap satu hari nanti, dengan pengalaman, pendidikan dan kelayakan yang Puteri miliki hari ini, mudah-mudahan Puteri akan dapat menambah peluang pekerjaan, khususnya kepada golongan generasi wanita muda bagi meningkatkan taraf hidup ekonomi di pulau kelahiran ini.

Sumber :-
1. Wawasan Kenegeraan - Ke arah pembinaan negara bangsa, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam
2. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008
3. www.spa.gov.my
4. RMK-9

No comments: