ANDA PELAWAT KE


Friday, December 26, 2008

Y.B. DATUK ROSNAH : PEMBANGKANG TIDAK MAMPU KE MANA


KUALA LUMPUR 25 Dis. - Pertentangan yang jelas di antara parti pembangkang berhubung pelaksanaan hukum hudud membuktikan bahawa kerjasama pembangkang tidak akan dapat pergi jauh.

Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, malah jika mimpi pembangkang untuk memerintah negara menjadi kenyataan sekalipun, rakyat boleh menjadi hakim bagaimana percanggahan antara Pas dan DAP berhubung dasar mereka itu.

''Malah sikap Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sehingga hari ini masih membisu berhubung isu itu juga menyerlahkan realiti betapa gabungan pakatan pembangkang amat rapuh dan setiap parti hanya mementingkan agenda masing-masing,'' katanya di sini hari ini.

Isu mengenai hudud timbul kembali selepas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menegaskan bahawa Pas komited untuk melaksanakannya jika pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan kelak.

Kenyataan itu bagaimanapun dikritik hebat oleh DAP yang merupakan sekutu Pas apabila dengan keras menegaskan bahawa kenyataan tersebut bukan menjadi agenda mereka.

Sehubungan itu, Rosnah berkata, rakyat Malaysia perlu membuka mata dan menggunakan akal untuk menilai sejauh mana pakatan pembangkang mampu membentuk kerajaan yang adil terutamanya kepada umat Islam jika mimpi mereka itu menjadi kenyataan.

''DAP langsung tidak mahu membuka ruang kepada Pas untuk berbincang perihal pelaksanaan hukum hudud dan bermati-matian menolak cadangan tersebut.

''Sedangkan Pas seperti yang ditegaskan oleh Husam dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tetap dengan pendirian untuk melaksanakan hukum tersebut.

''Malah saya percaya semua ahli Pas mahu hukum hudud menjadi teras pemerintahan kerajaan pakatan pembangkang kelak,'' jelasnya.

Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, rakyat sepatutnya telah lama sedar perihal kekalutan antara Pas dan DAP yang tidak akan ada garis penamatnya.

Oleh itu, katanya, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat terutama yang beragama Islam untuk membuat penilaian terbaik tentang masa depan mereka dengan tidak membenarkan angan-angan pakatan pembangkang memerintah negara ini menjadi kenyataan.

''Jika pakatan pembangkang memerintah, pastinya akan wujud 'krisis' di antara DAP dan Pas berhubung pelaksanaan hukum hudud dan paling penting keadaan seperti itu akan menggugat keharmonian masyarakat pelbagai kaum.

''Oleh itu setiap daripada kita mesti menggunakan logik akal supaya tidak menyesal di kemudian hari,'' ujarnya.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm)

(Sumber foto :- http://arisarapa.com/yb-datuk-rosnah-abdul-rashid-shirlin-calon-ketua-puteri-umno-malaysia.html)

1 comment:

bungaraya said...

Betullah jika Pakatan Rakyat dimomokkan dengan istilah PAKATAN RAPUH. Pakatan ini ini terlaluy mudah untuk hancur berkecai. Pakatan ini seperti rojak dan seperti Pukat yang bocor sana sini.
Kesatuan mereka hanya pada nama dan tidak langsung ada kesepakatan.
Spt semua ketahui mereka tidak membantu PAS dalam perjuangan Hududnya. Dan saya pasti PAS juga tidak membantu DAP dalam Ladang Babinya. Penghapusan DEB di PP, ada DAP memikirkan soal sensitiviti PAS dan PKR. Atau PAS dan PKR bersama DAP berusaha untuk menghapuskan DEB?
Semua ini persoalan yang perlukan penjelasan PAS< DAP dan PKR.
Kenapa PAS sangat berdegil tidak mahu sepakat dengan UMNO. UMNO sentiasa mendapat penghinaan drp PAS (penyokongnya dan pemimpinnya).
Bukankah elok bersama, berpakat spt adik beradik.