ANDA PELAWAT KE


Wednesday, December 31, 2008

SAMBUTAN TAHUN BARU, RELEVANKAH??

Malam ini berlangsung sambutan Tahun Baru 2009... Entah relevan entah tidak!.. Pada saat ini Puteri sedang menyaksikan TV3...amat terseksanya mangsa rejim zionis di Gaza. Malah dikatakan Israel menambah lagi bilangan askarnya untuk menyerang dan mengepong Gaza. Malangnya nasib masyarakat saudara kita di sana...

Berkaitan sambutan Tahun Baru 2009, mungkin boleh tetapi janganlah terlalu berlebihan. Tidak salah rasanya kalau kita luangkan masa beberapa minit untuk mengingati kekejaman yang dilakukan terhadap saudara seagama kita di sana. Sepertimana dalam satu kenyataan daripada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang memutuskan bahawa Kerajaan tidak akan menganjurkan sebarang acara sambutan tahun baru 2009, memang wajar. Keputusan tersebut telah membutikan bahawa keprihatinan kerrajaan terhadap isu-isu semasa di negara kita.

Ikuti petikan berikut :-

Bukan masa berpesta sambut tahun baru

Langkah kerajaan membatalkan semua acara keramaian sempena tahun baru 2009 amat wajar. Dalam satu kenyataan, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah memutuskan bahawa kerajaan tidak akan menganjurkan sebarang acara sambutan tahun baru.

Keputusan kerajaan dalam soal ini amat dialu-alukan dan bagi pihak rakyat ia menunjukkan bahawa keprihatinan kerajaan berkaitan dengan isu-isu semasa amat tinggi. Kemelesetan ekonomi dan kedatangan tahun baru Islam 1430 Hijrah yang hampir sama waktunya menjadi pertimbangan kukuh untuk kerajaan daripada terlibat dengan acara keramaian tahun baru. Malah kita juga sedang bersedih dengan kemangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tunku Abdul Rahman. Kita berhadapan dengan pelbagai kisah sedih sejak akhir-akhir ini. Ingatan kita masih kuat dengan tragedi runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa yang mengorbankan lima nyawa. Malah trauma dan kesan tragedi tersebut masih dapat dilihat dan begitu kuat mengganggu mangsa terlibat. Kemelesetan ekonomi dunia yang begitu mengganggu perancangan dan kelancaran perkembangan ekonomi negara kita juga menjadi alasan kukuh kenapa kita menolak semua acara keramaian sempena tahun baru 2009 dan sambutan Maal Hijrah 1430. Bukan masanya untuk rakyat diajak bergembira ketika musibah melanda negara dan dunia. Kita perlu memahami dan akur bahawa masa untuk berpesta ketika kedatangan tahun baru perlu dikeluarkan daripada agenda.

Penganjuran pesta tahun baru tidak banyak memberi kesan positif kepada rakyat. Ia sekadar ruang dan kesempatan untuk bergembira dan mengizinkan segala bentuk pembaziran, maksiat, pergaulan bebas dan kelekaan melampau. Anak-anak muda memang menanti waktu dan ketika seumpama ini untuk melepaskan geram. Pihak swasta juga perlu akur dan menghormati keputusan kerajaan ini. Tidak ada maknanya jika kerajaan tidak terlibat dengan penganjuran pesta tahun baru tetapi peranan itu diambil alih oleh pihak swasta. Memang tidak dinafikan akan muncul program atau aktiviti sambutan tahun baru yang dianjurkan oleh kumpulan tertentu. Dalam soal ini kerajaan dan pihak berkuasa tempatan perlu memastikan ketelitian mengeluarkan permit atau kebenaran sambutan pesta tahun baru. Kita tidak mahu anak-anak remaja terus disogok dengan hiburan yang tidak beretika dan melalaikan sedangkan situasi negara amat tidak mengizinkan untuk sebarang acara keramaian. Pihak berkuasa perlu bertegas dan tidak memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan pesta tahun baru.

Penganjuran pesta tahun baru tidak banyak membantu untuk meningkatkan kesedaran dan keinsafan khasnya kepada remaja. Mereka sekadar berpesta, berpeleseran dan terkial-kial tanpa sebarang pedoman. Malah pesta-pesta seperti ini menjadi medan menularnya penyalahgunaan najis dadah, minuman keras, seks bebas dan boleh membawa kepada bibit-bibit perlakuan jenayah. Sepanjang tahun 2008 negara telah melalui masa-masa sukar dan cabaran- cabaran yang begitu mengganggu pembangunan negara. Kemelesetan ekonomi akan membawa kepada meningkatnya kes-kes pengangguran dan kes pembuangan pekerja. Suasana politik negara juga tidak putus-putus dilanda permasalahan. Pelbagai tuntutan dan tindakan mensabotaj keselamatan negara dari mereka yang berkepentingan dilihat berterusan. Undang-undang semakin tidak dihormati malah dipersendakan. Negara seperti berada dalam suasana terganggu kesejahteraannya. Pemimpin negara tidak henti-henti memikirkan jalan dan cara terbaik untuk meredakan keadaan. Walaupun pelbagai ingatan dan pesanan dibuat tetapi masih ada lagi pihak yang tampil mencabar undang-undang sehingga boleh mengancam keselamatan negara.

Sepanjang tahun 2008 juga kita berhadapan dengan kemunculan golongan pendesak dari kalangan parti-parti politik dan pertubuhan-pertubuhan tertentu yang kononnya menuntut hak dan kesamarataan. Mereka didalangi oleh sikap buruk dan khianat para pemimpin yang mengeksploitasi apa saja yang sempat termasuk kanak-kanak. Banyak wang rakyat dibelanjakan untuk tujuan mengatasi isu-isu remeh ini. Malah isu-isu songsang ini berlarutan sehinggalah berakhirnya tahun 2008. Justeru, amat tidak wajar untuk kita terus memikirkan sebarang pesta atau acara keramaian sempena kehadiran tahun 2009. Kesempatan yang ada perlu diisi dengan majlis-majlis keagamaan dengan memperbanyakkan doa agar tahun 2009 bakal membawa sinar kebahagiaan untuk kita semua. Rakyat yang berbilang agama boleh memainkan peranan mengikut kepercayaan masing-masing tetapi tujuan serta matlamatnya sama iaitu memohon kesejahteraan negara.

Kemangkatan Tuanku Ja'afar juga menambahkan lagi kesedihan rakyat khasnya warga Negeri Sembilan. Ketika rakyat berkabung dan meratapi pemergian Tuanku Ja'afar, maka amat manis jika kita tidak terlibat dengan sebarang acara keramaian yang begitu menyimpang dengan norma dan etika murni agama. Justeru, begitu banyak alasan dan sebab mengapa kerajaan membatalkan semua acara keramaian dan pesta sempena kedatangan tahun baru. Tindakan itu perlu dihormati oleh semua pihak termasuk pihak swasta. Kita bukan berada di zon selesa untuk terlonjak-lonjak dan terkial-kial kegembiraan tetapi kita sedang berhadapan dengan ujian serta cabaran yang menuntut kesabaran yang tinggi.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm)


Tuesday, December 30, 2008

CABARAN TAHUN BARU


Sempena sambutan Tahun Baru Islam 1430H dan juga yang hampir serentak dengan sambutan Tahun Baru 2009 ini, Puteri mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut tahun baru. Puteri bersyukur ke hadrat Illahi kerana atas keizinanNya jua Puteri Labuan dapat bersama-sama rakan lain meneruskan perjuangan di arena ini.

Moga kehadiran tahun baru kali ini menguatkan lagi semangat Puteri untuk terus menghadapi dugaan mendatang yang sememangnya lebih mencabar dari hari ini dan semalam yang telah dilalui. Hanya ketabahan diri dan semangat daripada rakan-rakan dapat membantu Puteri mengharungi semua yang bakal mendatang. Kepada rakan-rakan Puteri, sama ada di peringkat Bahagian mahupun cawangan, diharapkan hubungan kita akan lebih erat dan apa yang penting kita akan teruskan segala misi yang telah kita susun bagi meningkatkan lagi martabat Puteri Labuan sendiri.

Insya'allah kita akan sama-sama membantu meningkatkan kedudukan UMNO sebagai satu parti orang Melayu yang tetap relevan untuk kini, esok dan selamanya. Sama-samalah kita bermuhasabah diri dan merapatkan lagi saf kepimpinan kita bukan saja demi untuk diri kita, keluarga dan masyarakat di sekeliling, malah untuk agama, bangsa dan seterusnya negara yang kita cintai.

Saturday, December 27, 2008

RUANGAN USAHAWAN PUTERI LABUAN

Puteri Labuan akan mewujudkan Ruangan Usahawan Puteri bermula pada Januari 2009 akan datang. Kepada usahawan Puteri yang mempunyai produk untuk dipromosikan bolehlah menghubungi Puteri Labuan melalui email puterilabuan@gmail.com...

Puteri berharap ruangan ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan sedikit sebanyak dapat membantu ahli Puteri yang mahir dalam bidang masing-masing untuk mempromosikan produk mereka.

Sekiranya diperlukan, pihak Puteri Labuan akan datang sendiri untuk menemuramah bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai usahawan Puteri di sekitar W.P. Labuan ini. Kerjasama daripada semua pihak amatlah dihargai. Diharapkan Puteri dapat merealisasikan misi yang telah diatur dalam meningkatkan sosioekonomi ahli Puteri di sini.

Friday, December 26, 2008

Y.B. DATUK ROSNAH : PEMBANGKANG TIDAK MAMPU KE MANA


KUALA LUMPUR 25 Dis. - Pertentangan yang jelas di antara parti pembangkang berhubung pelaksanaan hukum hudud membuktikan bahawa kerjasama pembangkang tidak akan dapat pergi jauh.

Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, malah jika mimpi pembangkang untuk memerintah negara menjadi kenyataan sekalipun, rakyat boleh menjadi hakim bagaimana percanggahan antara Pas dan DAP berhubung dasar mereka itu.

''Malah sikap Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sehingga hari ini masih membisu berhubung isu itu juga menyerlahkan realiti betapa gabungan pakatan pembangkang amat rapuh dan setiap parti hanya mementingkan agenda masing-masing,'' katanya di sini hari ini.

Isu mengenai hudud timbul kembali selepas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menegaskan bahawa Pas komited untuk melaksanakannya jika pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan kelak.

Kenyataan itu bagaimanapun dikritik hebat oleh DAP yang merupakan sekutu Pas apabila dengan keras menegaskan bahawa kenyataan tersebut bukan menjadi agenda mereka.

Sehubungan itu, Rosnah berkata, rakyat Malaysia perlu membuka mata dan menggunakan akal untuk menilai sejauh mana pakatan pembangkang mampu membentuk kerajaan yang adil terutamanya kepada umat Islam jika mimpi mereka itu menjadi kenyataan.

''DAP langsung tidak mahu membuka ruang kepada Pas untuk berbincang perihal pelaksanaan hukum hudud dan bermati-matian menolak cadangan tersebut.

''Sedangkan Pas seperti yang ditegaskan oleh Husam dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tetap dengan pendirian untuk melaksanakan hukum tersebut.

''Malah saya percaya semua ahli Pas mahu hukum hudud menjadi teras pemerintahan kerajaan pakatan pembangkang kelak,'' jelasnya.

Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, rakyat sepatutnya telah lama sedar perihal kekalutan antara Pas dan DAP yang tidak akan ada garis penamatnya.

Oleh itu, katanya, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat terutama yang beragama Islam untuk membuat penilaian terbaik tentang masa depan mereka dengan tidak membenarkan angan-angan pakatan pembangkang memerintah negara ini menjadi kenyataan.

''Jika pakatan pembangkang memerintah, pastinya akan wujud 'krisis' di antara DAP dan Pas berhubung pelaksanaan hukum hudud dan paling penting keadaan seperti itu akan menggugat keharmonian masyarakat pelbagai kaum.

''Oleh itu setiap daripada kita mesti menggunakan logik akal supaya tidak menyesal di kemudian hari,'' ujarnya.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm)

(Sumber foto :- http://arisarapa.com/yb-datuk-rosnah-abdul-rashid-shirlin-calon-ketua-puteri-umno-malaysia.html)

Wednesday, December 24, 2008

OooPSss.... Info Untuk Calon, Tak Jelas??

Larangan kempen guna blog perlu jelas

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Larangan menggunakan blog sebagai kaedah untuk berkempen perlu diperjelaskan dengan lebih terperinci memandangkan pemilik blog terutama di kalangan ahli dan pemimpin UMNO agak ramai pada masa ini.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, perkara itu perlu dinyatakan dengan jelas kerana blog ada kalanya menjadi wadah terbaik bagi meluahkan pandangan mengenai sesuatu isu yang hangat diperkatakan dalam masyarakat di samping membolehkan rakyat mengikuti tindak tanduk dan aktiviti pemimpin mereka.

"Apabila diadakan sidang akhbar, ramai pemimpin yang memberikan maklum balas terhadap isu semasa, contohnya berkaitan naik turun harga barangan dan keesokan harinya komen mereka akan disiarkan dalam media. Jika pemimpin terbabit menulis perkara yang sama dalam blog pula, adakah itu dilihat sebagai berkempen dan boleh dijatuhkan hukuman," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Lembaga Disiplin UMNO memberi amaran kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Ahmad Kuris Mohd. Nor kerana berkempen menggunakan blog semasa pemilihan bahagian yang lalu.

Lembaga Disiplin menyatakan berkempen menggunakan blog itu adalah bertentangan dengan tata etika ahli UMNO.

Tambah Muhammad, jika perkara-perkara yang dipaparkan dalam blog semuanya boleh ditafsirkan sebagai berkempen, pengurusan UMNO perlu mengeluarkan surat meminta semua pemilik blog dalam kalangan ahli dan pemimpin parti menutup blog masing-masing.

"Saya pun akan menutup blog saya jika ia memang bertentangan dengan apa yang terkandung dalam tata etika ahli UMNO," katanya.

Ketua Penerangan Puteri, Datuk Shahniza Samsuddin pula berkata, penerangan lanjut berhubung blog adalah penting kerana bimbang ada ahli UMNO terkeliru dengan maksud larangan itu tanpa disedari.

"Saya menggunakan blog saya di alamat http://www.pink-ants.blogspot.com/ untuk berkomunikasi dan mendampingi rakan-rakan Puteri dari seluruh negara, adakalanya saya turut memuatkan isu-isu yang berkaitan dengan politik semasa, adakah itu juga tidak dibenarkan," katanya.

Jelas beliau, mungkin ramai ahli atau pemimpin UMNO yang masih kabur dengan kedudukan blog dalam kempen untuk pemilihan jawatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohd. Radzi berkata, blog adalah satu sumber untuk mengatasi jurang antara ahli dan pemimpin.

"Hakikatnya, calon-calon harus dikenali oleh semua ahli, sekadar jumpa dengan perwakilan sahaja adalah tidak memadai kerana calon-calon ini akan menerajui kepimpinan bagi semua ahli dan bukan sekadar perwakilan sahaja," katanya.

Justeru, katanya, ahli-ahli perlu dibenarkan menggunakan blog, asalkan ia tidak melanggar tataetika berkempen yang ditetapkan parti.

(Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_03.htm)

Tuesday, December 23, 2008

OooPSss.... Info Untuk Calon (Puteri)!!

Kempen guna blog boleh kena tindakan disiplin

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Mana-mana calon yang menggunakan blog untuk berkempen sebarang jawatan parti sama ada di peringkat cawangan, bahagian atau Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan UMNO Mac depan boleh dikenakan tindakan disiplin kerana ia melanggar Tataetika Ahli UMNO.

Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, ahli-ahli parti masih dibenarkan memiliki blog sendiri tetapi ia tidak boleh sama sekali memiliki sebarang unsur yang boleh ditafsirkan sebagai berkempen untuk diri sendiri atau pihak lain.

Katanya, Tataetika Ahli UMNO mempunyai garis panduan yang jelas berhubung perkara itu.

"Perkara 5.3 Tataetika Ahli UMNO menghalang apa jua penerbitan, penyiaran, penulisan dalam risalah, majalah, makalah, buku atau lain-lain karya yang mengandungi unsur menyokong, memfitnah, mencela dan mengeji ahli-ahli parti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Lembaga Disiplin UMNO di Ibu Pejabat UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ahmad Rithauddeen berkata, selaras dengan kandungan Tataetika Ahli UMNO itu, pihaknya telah mengambil tindakan memberi amaran kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Ahmad Kuris Mohd. Nor kerana didapati bersalah berkempen menggunakan blog pada pemilihan UMNO peringkat bahagian yang lalu.

Beliau turut mengingatkan ahli UMNO yang mempunyai sebarang masalah melibatkan pemilihan dalam parti agar tidak membawa kes mereka ke mahkamah kerana boleh digugurkan keahlian jika berbuat demikian.

Beliau berkata, Perkara 20.7 Perlembagaan UMNO dan Perkara 18C Akta Pertubuhan 1966 dengan jelas menyatakan apa jua kepentingan melibatkan parti politik adalah dilarang dibawa ke mahkamah.

Katanya, setakat ini, tiga kes daripada UMNO Bahagian Tanah Merah, Ledang dan Kota Tinggi telah dibawa ke mahkamah.

Akibat perbuatan itu, katanya, ketiga-tiga pihak yang membawa kes berkenaan telah dipanggil oleh pihaknya dan wakil UMNO Bahagian Tanah Merah sudah pun digugurkan keahlian.

Sementara itu, wakil daripada dua bahagian lagi sedang melalui perbicaraan untuk memberikan penjelasan mengapa mereka membawa kes ke mahkamah.

"Perlembagaan UMNO dengan jelas menyatakan jika ada pihak mengetengahkan sebarang kes parti ke mahkamah, akan gugur keahlian," katanya.

Menurut beliau, jika ada sebarang masalah atau rasa tidak puas hati, ia perlu dibawa kepada saluran yang betul dalam parti seperti Lembaga Disiplin dan bukannya kepada pihak diluar.

(Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_13.htm)

Sunday, December 21, 2008

PUTERI : CABARAN PIKAT GOLONGAN MUDA

Datuk Noraini Ahmad mengakui usaha meraih sokongan golongan muda terhadap Barisan Nasional (BN) menjadi cabaran utama bakal dihadapi pergerakan itu pada Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu 17 Januari depan.

Beliau berkata, generasi muda ketika ini lebih banyak terdedah dengan pelbagai dakyah disebar pihak lawan menerusi Internet dan menjadi tanggungjawab Puteri Umno memperjelaskan isu sebenar.

Sehubungan itu, katanya, jentera Puteri Umno sudah mula digerakkan di Kuala Terengganu bagi membantu menarik sokongan golongan muda seterusnya memastikan kemenangan calon BN pada pilihan raya kecil itu.

“Walaupun kerusi Parlimen Kuala Terengganu memang kawasan BN sebelum ini, ia tidak boleh dijadikan pengukur sebenar kekuatan kita kerana berdasarkan majoriti diperolehi di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum lalu, banyak sebenarnya kita harus lakukan untuk memastikan kemenangan terus memihak kepada kita.

“Jentera Puteri Umno yang diketuai timbalan saya (Datuk Rosnah Rashid Shirlin) sudah bersedia sepenuhnya di Kuala Terengganu untuk memikul tanggungjawab meraih sokongan sokongan muda,” katanya.

Noraini berkata, selain itu, jentera Puteri Umno diingatkan walaupun situasi di Kuala Terengganu berbeza dengan Permatang Pauh, setiap ahli harus memberi tumpuan dan tidak memberi ruang kepada lawan mempengaruhi pengundi khususnya golongan muda.

Beliau berkata, kemenangan di Kuala Terengganu nanti cukup bermakna bukan saja kepada calon Umno tetapi BN keseluruhannya, kerana ia akan mengembalikan maruah BN yang tercalar di Permatang Pauh.
Oleh Mohd Roji Abdullah
mdroji@bharian.com.my

(Sumber : http://www.puteri.net.my/modules.php?name=News&file=article&sid=2338)

Wednesday, December 17, 2008

Y.B. Dato' Sha : CALON KETUA PUTERI MALAYSIA

Beberapa hari lepas, Puteri Labuan ada menghantar email kepada Y.B. Dato' Shahaniza Shamsuddin, calon Ketua Puteri Malaysia, yang akan bertanding Mac depan. Sepertimana calon-calon lain, Puteri Labuan turut bertanyakan misi dan visi beliau sekiranya diberi peluang menerajui kepimpinan Puteri UMNO di peringkat Nasional. Ikuti jawapan Y.B. Dato' Sha......

"Sebenarnya misi dan visi Kak Sha mudah sahaja. Untuk mengembalikan semangat Puteri UMNO sepertimana asas penubuhannya. Kak Sha mahu Puteri dihormati, suara Puteri didengari dan kita tidak hanya taking instruction dari atas tetapi turut participate dalam perjuangan dengan menyumbang bukan sahaja tenaga tetapi idea-idea serta perancangan dalam mengatur strategi memenangi pilihanraya. Bagaimana kita hendak menarik minat golongan muda hari ini untuk menyertai serta menyokong kita jika mereka tidak hormat kepada kita? Namun, terlebih dahulu kita sendiri mesti hormat pada diri kita sendiri dulu, baru orang lain dapat hormat kepada kita. Peranan Ketua Puteri Cawangan dan Bahagian mesti direcognize terlebih dahulu."

Puteri Labuan rasa sungguh banyak perkara penting yang akan Y.B. Dato' Sha sampaikan, tetapi mungkin beliau tidak berkesempatan menaip terlalu banyak bagi menjawab persoalan yang diberikan. Walau bagaimanapun, Puteri ingin berkongsi bersama pembaca blog ini bahawa beliau menyatakan.....

" Perkara pertama yang akan Kak Sha lakukan jika diberikan kepercayaan menjadi Ketua Puteri Malaysia nanti ialah Kak Sha mesti pastikan ahli-ahli Puteri di semua peringkat, baik yang menyokong atau tidak, kembali bersatu. Kak Sha bukan menawarkan diri atas kepentingan peribadi tetapi Kak Sha membawa harapan rakan-rakan yang percaya bahawa Kak Sha mampu membuat perubahan dan mengembalikan kegemilangan Puteri, dan apa yang penting adalah martabat Puteri UMNO Malaysia."

Puteri Labuan sendiri berharap Y.B. Dato' Sha akan kuat dan tabah dalam menghadapi sebarang cabaran dan dugaan dalam pemilihan ini. Hanya keyakinan diri, usaha dan tawaqal yang akan dapat membantu seseorang individu berjaya dalam menempuh dan menjalani kehidupan yang sentiasa mencabar. Semoga para perwakilan bijak dalam membuat keputusan masing-masing, kerana Perwakilan Puteri sudah matang dan bijak menilai, yang mana kaca dan yang mana permata. Good Luck Kak Sha.

Monday, December 15, 2008

RAMAH MESRA BERSAMA PUTERI EMY MELAKA

Sabtu lalu, Ketua Puteri dan Naib sempat bertemu dengan Ketua Puteri Melaka, Mas Ermieyati Samsudin, yang mana juga merupakan SETIAUSAHA KHAS PERHUBUNGAN YAB KETUA MENTERI MELAKA. YAB Datuk Seri Ali Rustam telah berada di Labuan sempena Program Percambahan Minda Belia bersama Majlis Belia Labuan, dengan kerjasama Belia 4B.

Perjumpaan tersebut telah memberikan peluang Ketua Puteri Labuan berkongsi pandangan dan idea dalam usaha meningkatkan lagi martabat sayap Puteri, khususnya di peringkat Bahagian dan Nasional. Puteri tidaklah mengenali rapat beliau, tapi mengetahui serba sedikit tentang beliau melalui blog Ketua Puteri Melaka iaitu di www.emysamsudin.blogspot.com yang sering memaparkan aktiviti beliau sendiri. Daripada pemerhatian Puteri, beliau merupakan Ketua Puteri Negeri yang sangat aktif. Walaupun sudah berkeluarga, namun beliau tidak menjadikan nya alasan atau halangan untuk beraktif dalam bidang politik, malah menjadikannya sebagai pendorong dalam menjamin kejayaan misi sayap UMNO ini.

Pengurusan masa yang teratur dan tersusun, menjadikannya sebagai salah seorang pemimpin Puteri yang Puteri Labuan sendiri kagumi. 3 misi utama yang beliau fokuskan dalam memimpin Puteri UMNO, iaitu KEAHLIAN, KEPIMPINAN dan EKONOMI. Sepertimana SIKAP yang Puteri UMNO Labuan susun dalam artikel di bawah, Ketua Puteri Melaka ini turut menjadikannya sebagai agenda utama kepimpinan. Puteri mendoakan kejayaan beliau dalam kariernya dan akan sentiasa menyokong penglibatan beliau dalam arena ini demi menjayakan lagi misi Puteri UMNO sama ada di peringkat Bahagian, Negeri dan Nasional.

Terima Kasih Ketua Puteri Melaka, sudi bertandang ke Pulau Mutiara Laut China Selatan.

Saturday, December 13, 2008

YB DATUK ROSNAH RASMIKAN BOLA!


Semalam berlangsung perlawanan bola sepak sempena Kejohanan Bola Sepak Piala Pusingan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M.Saravanan. Puteri difahamkan ialah Ahli Parlimen Papar iaitu Y.B. Datuk Rosnah Rashid Shirlin yang akan merasmikan pembukaan perlawanan tersebut. Puteri rasa teruja bila mengetahui Ahli Parlimen Papar yang merupakan Naib Ketua Puteri Malaysia datang ke Labuan. Dengan bantuan seorang rakan penganjur, akhirnya lewat petang semalam, di Stadium W.P. Labuan... Puteri dapat bertemu dengan Y.B. Datuk Rosnah. Sebenarnya, Puteri sudah lama mengenali beliau, iaitu bermula dari Puteri UMNO berstatus penaja. Bermula tahun 2002, Y.B. Rosnah sering mempelawa Puteri UMNO Labuan untuk menyertai program Puteri di Sabah. Sehingga hari ini, Puteri UMNO Labuan tidak pernah terputus hubungan dengan beliau, apatah lagi beliau yang kini bergelar Naib Ketua Puteri Malaysia.

Dalam pertemuan semalam, Puteri berasa gembira kerana bukan sahaja dapat bertemu dengan Y.B. Datuk Rosnah, malah juga dapat berjumpa lagi teman-teman lama semasa Puteri penaja dulu. Mereka yang terdiri daripada Ketua-ketua Puteri Bahagian di Sabah mengambil kesempatan untuk bercuti di Labuan sempena Disember ini. Antaranya Kak Mai dan Kak Nina yang merupakan teman lama Puteri, dan pernah sama-sama mengikuti beberapa program Puteri Sabah semasa mula-mula usia penubuhan Puteri UMNO 5 tahun dulu. Bayangkan....5 tahun akhirnya bertemu semula, dan kini mereka ini bukan lagi di dalam sayap Puteri, malah kepimpinan mereka sudah diiktiraf dan menyandang jawatan AJK Bahagian di tempat masing-masing. Hebat!

Semalam, Puteri sempat merisik bertanyakan misi Y.B. Datuk Rosnah yang juga turut bertanding jawatan Ketua Puteri Malaysia pada Mac akan datang. Ternyata misi yang disusun dan dirancang amat mantap dan sangat berwawasan. Puteri berasa sungguh bertuah kerana dapat mendengar sendiri suara hati seorang pemimpin generasi muda yang sungguh berkaliber. Beliau amat positif dan tidak pernah memandang rakan-rakan Puteri sebagai orang bawahan, malah beliau menganggap semua ahli Puteri adalah rakan seperjuangan yang semuanya berperanan penting dalam memastikan sayap Puteri UMNO ini terus tidak ketinggalan dari sebarang bentuk perancangan ke arah pembangunan minda dan kualiti jatidiri Puteri sendiri.

Puteri berasa alangkah beruntungnya Puteri UMNO sekiranya semua barisan kepimpinan Puteri hari ini mempunyai wawasan dan pandangan jauh seperti beliau. Pemikiran positif yang sentiasa ada dalam diri beliau menjadikannya lebih tabah dan kuat mengharungi sebarang cabaran dalam arena politik, khususnya dalam memantapkan lagi pertubuhan generasi wanita prihatin ini.

Thursday, December 11, 2008

Puteri Labuan Atur SIKAP...

Selesai saja perlantikan dalam Mesyuarat Puteri Bahagian Labuan yang pertama pada 8 Disember lepas, Puteri mengambil kesempatan menghubungi Ketua Puteri Labuan semalam bagi mendapatkan beberapa penjelasan mengenai perkara berkaitan halatuju Puteri Bahagian Labuan sendiri. Pn. Rahimah menyatakan bahawa beliau telah menggariskan SIKAP untuk mencapai matlamat Puteri Bahagian iaitu BERILMU, PRIHATIN & BERWAWASAN.

SIKAP yang dimaksudkan adalah seperti berikut :-

osioekonomi - Bagi meningkatkan status sosioekonomi di kalangan ahli Puteri, beliau akan berusaha untuk mewujudkan rangkaian perniagaan mengikut kemahiran yang dimiliki oleh Puteri sama ada individu mahupun di peringkat cawangan Puteri di Labuan. Dengan cara ini, ahli-ahli Puteri bukan saja dapat meningkatkan pendapatan masing-masing, malah memberikan ruang pemasaran yang lebih luas daripada yang mereka lakukan sekarang atau sebelum ini. Kaedah ini akan dilakukan secara berperingkat dan dari peringkat Bahagian ke Cawangan-cawangan Puteri Labuan.


ntelektual - Keintelektualan yang ada di kalangan G5, Biro-biro dan AJK Puteri UMNO Bahagian akan digunakan sepenuhnya bagi memantapkan identiti Puteri UMNO sendiri. Percambahan minda dan idea akan sentiasa diadakan untuk meningkatkan lagi status Puteri UMNO sebagai generasi pelapis kepimpinan. Dengan mementingkan perkara ini, biro-biro dalam Puteri diharapkan dapat mengadakan program atau aktiviti yang melibatkan ahli-ahli Puteri di peringkat akar umbi.


epimpinan - Pn. Rahimah juga berazam untuk memantapkan barisan kepimpinan Puteri Labuan yang berkaliber dalam menerajui sayap Puteri bagi menghadapi cabaran yang melibatkan generasi wanita muda hari ini. Bukan saja cabaran dalam politik, malah juga cabaran dalam bidang sosial dan ekonomi. Beliau mahu agar pemimpin-pemimpin Puteri di Labuan berjiwa besar dan menjadikan semua masalah yang timbul sebagai cabaran yang pasti dapat diselesaikan dengan kerjasama dan hubungan erat di kalangan Puteri sendiri.


hli - Sasaran Puteri Bahagian juga ialah untuk menambah keahlian Puteri di cawangan-cawangan. Jumlah yang disasarkan adalah seramai 1,000 orang kerana pada hari ini jumlah keahlian Puteri di Labuan adalah di bawah 676 orang setelah ditolak dengan keahlian yang telah melebihi usia 35 tahun iaitu secara automatik melangkah ke WANITA. Oleh itu, harapan penambahan ahli ini dapat dilakukan dengan penglibatan generasi muda dalam sebarang program atau aktiviti dari pelbagai bidang yang akan dianjurkan oleh biro-biro yang telah dilantik.


RU 13 - Ini merupakan cabaran utama dalam Puteri Bahagian Labuan. Tanggungjawab ini digalas oleh setiap ahli Puteri, bukan sahaja di peringkat Bahagian, malahan turut dipikul oleh ahli di peringkat akar umbi. Dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional di Wilayah Persekutuan Labuan pada pilihanraya akan datang, Puteri Bahagian harus rajin bekerja dan sentiasa proaktif dalam sebarang program bagi menarik hati dan minda masyarakat agar sentiasa positif terhadap kerajaan Barisan Nasional, dan pastinya akan menjadi pilihan rakyat pada PRU 13 nanti.

Pn. Rahimah berharap agar semua ahli sama ada di peringkat Bahagian dan Cawangan dapat bersama-sama menyahut cabaran yang telah digariskan bagi menjamin kejayaan Puteri Bahagian Labuan. Beliau juga turut memohon agar semua AJK Puteri UMNO Bahagian dapat memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan SIKAP yang telah diatur untuk mencapai matlamat Puteri Labuan - BERILMU, PRIHATIN DAN BERWAWASAN.

Tuesday, December 9, 2008

PERLANTIKAN PEGAWAI PARTI DAN AJK PUTERI BAHAGIAN

Pn. Rahimah Hj. Lamat, Ketua Puteri Bahagian Labuan memaklumkan bahawa Mesyuarat AJK Puteri Bil.01 yang telah berlangsung semalam 8 Disember 2008, 2.30 petang di Hotel Sara W.P. Labuan telah memutuskan perlantikan bagi 3 Pegawai Parti Puteri Bahagian yang dilantik iaitu Penolong Setiausaha, Penolong Bendahari dan Ketua Penerangan. Secara lengkapnya AJK yang dilantik adalah seperti berikut :-

Penolong Setiausaha DGK. RAHIMAH BINTI PG. HASSAN
Penolong Bendahari PENNY BINTI SULONG
Ketua Penerangan ANIZAH BINTI BASMAN
Ahli Jawatan Kuasa
1. ALINASIAH BINTI ISMAIL
2. JURA'ADHIYAH BINTI HARUN
3. JOSEPHINE MICHAEL PANAI

Pn. Rahimah juga menyatakan bahawa perlantikan Pengerusi-Pengerusi Biro juga turut dilantik dalam mesyuarat tersebut. Biro politik dipengerusikan oleh beliau sendiri kerana sepertimana yang dinyatakan dalam Mesyuarat Bahagian yang lepas, biro politik akan diketuai oleh Ketua-Ketua sayap sendiri. Manakala Biro Pendidikan pula diketuai oleh Penolong Setiausaha Puteri yang baru dilantik. Antara biro lain adalah berikut :-
1. Agama - NURUL SHUHADA BINTI MARTAN
2. Sukan - NORIDAWATI BINTI HJ. ABDUL GHANI
3. Ekonomi - HASIMAH BINTI KARIM

Program-program yang dirancang bagi Puteri UMNO Bahagian Labuan bagi sesi 2008-2011 juga adalah berdasarkan perancangan biro-biro yang telah dilantik, yang mana Ketua-Ketua biro tersebut akan mengadakan mesyuarat masing-masing pada masa terdekat ini.

Apa yang menariknya, G5 Puteri Bahagian Labuan ini semua terdiri daripada kalangan siswazah. Bermakna, tidak ada sebarang alasan untuk menjadikan entiti generasi wanita muda ini tidak aktif, kerana melalui percambahan idea dan kerjasama yang sepadu sama ada di kalangan mereka mahupun dengan peringkat bahagian, dan juga bersama Wanita serta Pemuda, pastinya akan dapat menjadikan Puteri sebagai sayap yang sama penting di dalam UMNO Bahagian. Serba sedikit pendidikan di kalangan G5 adalah seperti berikut :-

1. Ketua Puteri -
RAHIMAH BINTI HJ. LAMAT (Ijazah Sarjana Muda Perniagaan, Keusahawanan, Universiti Malaysia Sabah)
2. Naib Ketua Puteri -
NORIDAWATI BINTI HJ. ABDUL GHANI (Ijazah Sarjana Muda Sains, Kewangan Antarabangsa, Univerisiti Malaysia Sabah KAL)
3. Penolong Setiausaha -
DGK. RAHIMAH BINTI PG. HASSAN (Ijazah Sarjana Muda Ekonomi, Ekonomi Perancangan Dan Pembangunan, Universiti Malaysia Sabah)
4. Penolong Bendahari -
PENNY BINTI SULONG (Ijazah Sarjana Muda Pengajian Maklumat, Pengurusan Sistem Maklumat, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam)
5. Ketua Penerangan -
ANIZAH BINTI BASMAN (Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial, Pengajian Perbandaran Dan Perancangan Bandar, Universiti Malaya)

Diharapkan dengan perlantikan ini, Puteri UMNO Bahagian Labuan akan terus bekerja kuat demi memantapkan lagi sayap ini, bukan sahaja di peringkat Bahagian, malah di peringkat akar umbi iaitu di peringkat cawangan-cawangan. Pn. Rahimah juga memohon kerjasama yang erat di kalangan semua ahli Puteri agar dapat terus membantu meningkatkan lagi martabat Puteri khususnya di Bahagian Labuan, dan umumnya di peringkat Nasional.

Monday, December 8, 2008

SALAM AIDILADHA


Salam Aidiladha
Ikhlas Daripada Puteri UMNO Bahagian Labuan


Saturday, December 6, 2008

MESYUARAT PUTERI BAHAGIAN BIL.01 / 2008-2011


Puteri Labuan telah dimaklumkan oleh Ketua Puteri Bahagian iaitu Pn. Rahimah bahawa Puteri Bahagian Labuan akan mengadakan Mesyuarat Pertama sayap tersebut pada 8hb Disember, sempena menyambut Hari Raya Aidiladha. Difahamkan mesyuarat tersebut akan diadakan pada sebelah petang dan semua AJK Puteri Bahagian dijemput hadir.

Pn. Rahimah juga ada menyatakan bahawa Mesyuarat tersebut diadakan antara lain agendanya adalah mengumumkan perlantikan bagi jawatan Penolong Setiausaha, Penolong Bendahari, Ketua Penerangan dan 3 AJK Puteri Bahagian (dilantik). Puteri Labuan akan cuba menghubungi Pn. Rahimah nanti selepas Mesyuarat untuk mengetahui jawatankuasa penuh bagi AJK Puteri UMNO Bahagian Labuan.

Diharapkan Puteri UMNO Bahagian Labuan akan menyusun beberapa program bagi memantapkan sayap ini dalam menambah keahlian dan seterusnya membantu meningkatkan minat di kalangan masyarakat khususnya generasi wanita muda menyertai UMNO.

(Gambar : Pn. Rahimah, Ketua Puteri UMNO Bahagian Labuan)

Wednesday, December 3, 2008

PETANDA BAIK UMNO LABUAN 4 PERINGKAT


Puteri berasa sudah nampak ada petanda baik dalam UMNO Bahagian Labuan 4 Peringkat. Apabila Puteri perhatikan Mesyuarat Bahagian Kali Ke-2, mendengar ucapan pertama daripada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Labuan yang baru, Puteri yakin keempat-empat Peringkat UMNO Bahagian boleh bekerjasama erat demi menguatkan lagi UMNO Bahagian Labuan.

Puteri dengar satu-persatu ucapan Ketua Pemuda (saudara Rafi), memang banyak intipati yang saudara Rafi ingin sampaikan, namun matlamatnya tetap satu iaitu berharap agar semua pihak yang terlibat dapat menerimanya sebagai salah seorang pemimpin sayap penting dalam UMNO Bahagian Labuan. Rata-rata respon daripada AJK UMNO Bahagian amat positif. Bukan sahaja Wanita dan Puteri, malah AJK Bahagian turut memberikan ucapan tahniah dan akan memberikan kerjasama selagi diperlukan oleh sayap gagah tersebut.

Perasaan kagum dengan semangat Pemuda turut Puteri rasa apabila melihat saudara Rafi bersama-sama Tn. Hj. Tony Noolan melangkah masuk ke Bilik Mesyuarat, tanpa sebarang reaksi yang tidak menyenangkan. Malah, kedua-duanya dilihat selesa dalam membincangkan agenda Pemuda. Puteri juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan TAHNIAH dan SYABAS kepada Tn. Hj. Tony Noolan yang telah dilantik sebagai AJK UMNO Bahagian (AJK Dilantik) setelah diumumkan oleh Ketua Bahagian pada mesyuarat semalam.

Puteri yakin gandingan saudara Rafi dengan Tn. Hj. Tony Noolan akan dapat menguatkan lagi Pemuda Bahagian, dan seterusnya UMNO Bahagian sendiri. Bagi Puteri pula, kalau pihak-pihak senior dan ayahbonda Puteri (Bahagian dan Wanita) boleh menerima dan bekerja bersama saudara Rafi, kenapa tidak Puteri? Tidak ada sebab untuk Puteri menolak kehadiran nafas baru Pemuda ini. Diharapkan, ketiga-tiga sayap ini akan terus bergabung tenaga demi meningkatkan lagi martabat UMNO Bahagian Labuan, dan seterusnya menyangkal semua dakyah palsu serta negatif yang dilemparkan oleh pihak lain terhadap UMNO Bahagian Labuan. Puteri terima ini adalah petanda baik bagi UMNO Bahagian Labuan 4 Peringkat.

Monday, December 1, 2008

TAMBAH KUALITI NILAI DIRI


Pada hujung tahun ini kemungkinan besar seramai 50,000 kakitangan awam kontrak akan diberhentikan kerja, iaitu mereka yang bukan pemegang jawatan tetap dalam kerajaan. Puteri berasa terkilan sedikit kerana sekiranya ia benar-benar berlaku, ini sedikit sebanyak akan mengganggu pendapatan bulanan rakyat Malaysia yang hanya bergantung pada pendapatan bulanan pekerjaan mereka. Puteri terbayang bagaimana keadaan dan nasib wanita muda yang terlibat dalam pemberhentian tersebut. Apatah lagi mereka yang berstatus ibu tunggal dan mempunyai lebih dari seorang anak? Sekiranya antara mereka mempunyai pendidikan tinggi seperti berkelulusan diploma ke atas, mungkin boleh mencuba nasib dalam organisasi swasta, tapi bagaimana pula dengan mereka yang tidak berkelayakan akademik?...

Puteri lihat di Pulau Labuan ini berkemungkinan besar tidak akan terasa kadar pengangguran yang terlalu tinggi, kerana syarikat-syarikat "oil & gas" tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Rata-rata bekas pelajar IPT pun tidak lama menganggur, kerana berani mencuba nasib di syarikat-syarikat tersebut dan terus mendapat tawaran bekerja. Walaupun jawatan yang ditawarkan secara kontrak, namun ini menunjukkan bahawa generasi muda Labuan tidak pasif, malah mempunyai semangat kebersaingan yang tinggi dan yang penting ialah mereka ini berani mencuba untuk memperbaiki nilai tambah dalam diri agar lebih berkualiti dan diperlukan pada masa-masa akan datang.
Di sinilah nanti terbuktinya kepentingan modal insan sebagai aset kekayaan negara. Seperti yang dikatakan oleh pemimpin parti kita, Negara masyarakat bekerja dan masyarakat kreatif boleh dihasilkan dengan mengembangkan konsep modal insan yang berkualiti. Ini sekaligus dapat mengurangkan sifat kebergantungan masyarakat kepada kerajaan untuk mendapatkan pekerjaan dan lain-lain peluang untuk mencapai perubahan. Dalam RMK-9 ada terkandung matlamat kerajaan untuk mencorakkan hala tuju perubahan negara melalui dasar-dasar ke arah pembangunan modal insan.

Sekiranya semua dilakukan dengan perancangan teliti antara pihak swasta dan kerajaan, Puteri yakin masalah pengangguran bukan lagi masalah kritikal dalam negara kita. Dengan kualiti dan nilai tambah dalam modal insan, maka akan lahirlah golongan usahawan, intelektual yang berdaya maju, golongan peniaga yang berhemah, golongan pemikir yang kreatif dan golongan aktivitis sosial yang sentiasa membantu masyarakat membentuk suatu matlamat kehidupan yang berwawasan, berhemah dan bertamadun tinggi. Puteri juga mengharapkan golongan generasi pemimpin muda tidaklah hanya mengharapkan kerajaan untuk menawarkan peluang pekerjaan, tetapi beranilah mencari nilai tambah dalam diri agar kita dapat berdikari dan seterusnya dapat memajukan diri sendiri serta masyarakat sekeliling.

Puteri masih ingat lagi, dulu semasa Puteri baru keluar dari IPTA, Puteri berasakan bahawa semua yang dipelajari di kampus mestilah digunakan untuk berharap mendapatkan pekerjaan dari pihak kerajaan. Tetapi, bila Puteri di alam mencari pekerjaan dan seterusnya bekerja, dan apabila memerhati senario lepasan IPT semakin bertambah, akhirnya Puteri dapat buat kesimpulan bahawa sebenarnya semua yang dipelajari semasa di kampus dulu sebaik-baiknya dan seharusnya digunakan untuk MENAMBAH PELUANG PERNIAGAAN KEPADA MASYARAKAT, bukannya BEREBUT PEKERJAAN DENGAN MASYARAKAT. Puteri berharap satu hari nanti, dengan pengalaman, pendidikan dan kelayakan yang Puteri miliki hari ini, mudah-mudahan Puteri akan dapat menambah peluang pekerjaan, khususnya kepada golongan generasi wanita muda bagi meningkatkan taraf hidup ekonomi di pulau kelahiran ini.

Sumber :-
1. Wawasan Kenegeraan - Ke arah pembinaan negara bangsa, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam
2. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008
3. www.spa.gov.my
4. RMK-9