ANDA PELAWAT KE


Friday, January 9, 2009

CALON PUTERI : JANGAN SALAH GUNA KEMPEN DI K.T

Ahli Puteri diingat jangan salah guna kempen

KUALA TERENGGANU – Pemimpin dan ahli Puteri UMNO yang terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diingatkan supaya tidak menggunakan tempoh berkenaan untuk mempromosikan diri sendiri bagi menghadapi pemilihan parti pada Mac tahun depan.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, mereka sepatutnya menumpukan perhatian kepada pilihan raya kecil yang akan berlangsung pada 17 Januari ini bagi memastikan kemenangan memihak kepada calon Barisan Nasional (BN).

“Mereka yang akan ‘turun padang' ke Kuala Terengganu diharap tidak mengambil kesempatan itu dengan bertemu akar umbi untuk berkempen mengenai pemilihan parti.

“Ini bukan masanya untuk berkempen mengenai pemilihan parti, sebaliknya kita perlu memberi tumpuan bagaimana mahu menarik generasi muda untuk menyokong calon BN,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini hari ini.

Noraini memberitahu, jentera parti dari Pantai Timur dan Sabah akan ‘berkampung' di Kuala Terengganu dengan diketuai Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin bagi membantu jentera BN meraih undi dalam pilihan raya kecil itu.

Bagaimanapun, jelasnya, jentera parti cawangan-cawangan Kuala Terengganu akan mendahului dalam berkempen kerana mereka lebih mengenali dan memahami penduduk di kawasan Parlimen berkenaan.

Mengulas mengenai tindakan bagi mengelak kejadian tidak diingini melibatkan ahli-ahli Puteri UMNO seperti yang berlaku pada pilihan raya kecil di Permatang Pauh tahun lepas, beliau berkata, beberapa pendekatan keselamatan telah diambil.

“Saya telah mengarahkan ahli-ahli parti supaya bergerak secara berkumpulan dan bukannya individu ketika berkempen.

“Selain itu, ahli-ahli Puteri UMNO juga akan bergerak bersama ahli-ahli Pemuda UMNO dan Wanita UMNO bagi memastikan keselamatan mereka terjamin,” tambahnya.

Beliau berharap parti-parti yang terlibat dalam pilihan raya kecil itu akan berkempen secara berhemah.

(Sumber :- 13/12 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1213&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_07.htm&arc=hive)

No comments: