ANDA PELAWAT KE


Sunday, February 1, 2009

BIBI SHARLIZA : .....UMNO, orang kata ia adalah pemimpin yang cari makan

UMNO tetap ada masa depan

Apakah UMNO semakin lemah dan bagaimanakah masa depannya? Itulah persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak apabila buat kali kedua UMNO tewas dalam pilihan raya kecil.

Kekalahan di Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu dan sebelum itu di Permatang Pauh telah memungkinkan persoalan mengenai masa depan UMNO menjadi topik perbualan.

Persoalannya, mampukah UMNO bangkit semula untuk mendapat sokongan rakyat terutamanya di kalangan orang Melayu dan apa yang perlu dilakukan bagi memperkasakan semula parti induk Melayu tersebut.

Untuk tujuan berkenaan, Mingguan Malaysia mengadakan sesi Sembang Politik bersama tiga ahli panel iaitu Pensyarah Kuliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Asisten Prof. Dr. Shamrahayu A. Aziz, Setiausaha Puteri UMNO, Bibi Sharliza Mohd. Khalid dan Setiausaha Penerangan Puteri UMNO, Nashua Fauzun.

Dalam sesi yang dikendalikan oleh Pengarang Mingguan Malaysia, ZIN MAHMUD dan disertai oleh wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSEIN, ZULKIFLEE BAKAR dan ROHANI IBRAHIM, ketiga-tiga ahli panel berkenaan memberi pandangan mereka berhubung isu itu.

Mingguan: Apa pandangan tentang keadaan masa depan UMNO?

NASHUA: Berdasarkan

keputusan Pilihan Raya Umum

Mac 2008 dan pilihan raya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini, kita dapati trend pengundi sudah berubah. Untuk melihat masa depan UMNO, kita boleh umpamakan ia seperti satu perlumbaan Olimpik dengan menggambarkan kita adalah dalam satu kapal besar dengan seorang nakhoda dan anak-anak kapal.

Untuk kapal ini menuju ke destinasi atau menang pingat emas iaitu pilihan raya yang akan datang, UMNO harus bekerjasama bukan sahaja dari segi mindset tetapi juga semangat berpasukan. Kita berharap dalam pemilihan Mac nanti, perwakilan dapat memilih barisan kepimpinan yang terbaik bagi semua sayap.

DR. SHAMRAHAYU: Bagi saya sama ada sebuah parti relevan atau tidak, ia bergantung kepada pemikiran para pemain dalam parti tersebut. Kalau saya lihat perkembangan dalam UMNO, ia akan kekal relevan. Ia kerana apa yang berlaku dan dialami sepanjang kemerdekaan, UMNO sudah membuktikan hakikat itu. Pada Pilihan Raya Umum 1999 walaupun ada masalah pada masa itu, UMNO berjaya mengatasinya pada Pilihan Raya Umum 2004.

Dari segi trend turun dan naik dapat dilihat, tetapi pembetulan dan pembaikan perlu dilakukan. Kalau UMNO kekal dalam keadaan sekarang, saya tidak fikir pilihan raya umum akan datang UMNO masih relevan.

Saya tidak tahu sama ada UMNO dilihat bermasalah adalah persepsi atau realiti, tetapi jika dilihat secara keseluruhannya ia adalah realiti berdasarkan apa yang berlaku di Perak dan sebagainya.

Untuk mengatakan sesebuah parti politik itu ada masa depan atau tidak, saya fikir semua parti politik ada masa depan tetapi ia bergantung kepada pemimpinnya. Setakat ini semangat juang UMNO masih ada, cuma perubahan perlu dilaksanakan segera.

Apa yang berlaku di Kuala Terengganu, jelas menunjukkan ‘silat’ UMNO sudah agak terlambat. Kalau hendak berubah ia perlu cepat dan berkesan, kalau cepat tetapi tidak berkesan pun tidak boleh juga.

Gambaran yang saya terima seolah-olah macam apa yang digambarkan dalam media itu tidak setepat apa yang berlaku?

Nashua: Saya fikir apa yang dipaparkan dalam media menggambarkan situasi yang berlaku, tetapi apabila menyentuh soal masa depan, kita tidak boleh pandang remeh walaupun perkara kecil. Kita ada visi dan misi untuk teruskan perjuangan. Jika digambarkan kurang mesra rakyat kita kena turun padang dan laksanakan aktiviti yang lebih berkesan.

BIBI SHARLIZA: Bagi saya UMNO masih relevan pada semua orang. Sejak pilihan raya 2008 kita bercakap tentang perubahan tetapi perubahan yang dilakukan bukannya kepada strategik atau pendekatan lebih baik tetapi kepimpinan kerana merasakan disebabkan kepimpinan kita tidak boleh berjaya.

Jadi pendekatan perlu dibuat dengan realistik. Pemimpin-pemimpin UMNO mesti sedar bahawa pendekatan yang ada sekarang tidak lagi relevan. Bila kita cakap pasal perubahan yang drastik, ia bukan soal kepimpinan sahaja kerana tidak bermakna bila kita merubah pemimpin kita mendapat satu parti yang kuat. Kita mesti ada satu kumpulan yang tegap untuk memperbaiki parti. Dalam parti mesti ada kumpulan pemikir yang memikirkan masa depan parti bukan orang yang melaksanakan saja.

Dari Mac 2008 sampai sekarang saya sebagai orang luar melihat seolah-olah UMNO tidak membuat apa-apa untuk memulihkan ‘tragedi’ yang berlaku?

BIBI SHARLIZA: Memang betul, malah saya sendiri sebagai pemimpin merasakan sejak pilihan raya umum lalu sampai sekarang tiada apa yang dilakukan. Kalau kita hendak berubah tidak semestinya kena tukar kepimpinan, baru kita berubah. Ya, peralihan kuasa akan membawa satu matlamat baru dalam parti tetapi cuma sebahagian sahaja.

Dalam masa itu saya tengok banyak benda-benda buruk yang dibongkarkan, tidakkah ini menjejaskan imej UMNO?

BIBI SHARLIZA: Kita kena kaji kenapa kita jadi macam ini. Saya difahamkan UMNO membuat satu kajian di peringkat Majlis Tertinggi dalam soal pilihan raya, kami di peringkat Puteri UMNO pun buat post mortem, tetapi apa kesudahannya? Tak kan hendak tunggu barisan kepimpinan termasuk Presiden bertukar baru ia hendak dilaksanakan? Jika keadaan ini dibiarkan, apabila ada pilihan raya kecil kita akan terus mengalami kekalahan. Maknanya walaupun kepimpinan belum bertukar, perubahan mesti dibuat secara drastik. Ini bukan bermakna menukar semua kepimpinan tetapi strategi.

Di Kuala Terengganu baru-baru ini, contohnya, UMNO termasuklah Puteri masih menggunakan pendekatan lama. Rakyat bercakap tentang mesra. Kita tampal poster, tunjukkan calon bertemu mangsa banjir. Itulah kemesraan pada anggapan kita tetapi bagi rakyat tidak. Mereka melihat pemimpin dari awal, bukan hanya semasa pilihan raya.

DR.SHAMRAHAYU: Saya berpendapat hendak buat perubahan drastik memang tidak boleh dan UMNO memang tidak mampu. Saya pun sebagai pemerhati mendapati tidak ada-apa yang dilakukan oleh UMNO hingga menyebabkan kegagalan di Kuala Terengganu. Jadi kita tidak nampak perubahan itu. Apakah bertukar pemimpin akan menjanjikan perubahan baru atau mungkin lebih teruk? Ini cabaran kepada UMNO.

Saya lihat UMNO telah terlindung atau overshadowed oleh BN. Matlamat UMNO seolah-olah sudah hilang ‘dimakan’ oleh matlamat BN. Perjuangan Melayu sudah agak rapuh dan terlalu banyak benda kita sudah lunturkan dari UMNO. Yang kita nampak sekarang BN bukan UMNO.

Adakah puan bersetuju bahawa cabaran utama UMNO ialah melunturkan imej yang dilihat sebagai parti yang korup?

BIBI SHARLIZA: Kalau dulu bila sebut pemimpin UMNO kita kenali pemimpin berkenaan sebagai pemimpin yang berjiwa dan bersemangat juang Melayu. Hari ini apabila kita bercakap pasal UMNO, orang kata ia adalah pemimpin yang cari makan, bukan lagi tentang perjuangan orang Melayu. Kadang-kadang saya sendiri selaku pemimpin dan pengasas Puteri UMNO rasa sedih, sebab hendak katakan kami dapat berjuta ringgit atau mengatakan berlaku politik wang dalam Puteri UMNO, ia adalah tidak adil untuk kami. Kami digambarkan seperti itu kerana kami mewarisi kepimpinan UMNO. Kalau hendak mengikis imej itu, ia harus dilakukan daripada atas (UMNO induk), kalau minta Puteri, Wanita dan Pemuda yang lakukan ia tidak akan berhasil. Ia mesti daripada UMNO sendiri. Tunjukkan satu imej yang baik dan satu pembersihan mesti berlaku. Bagaimanapun kalau hendak kata pemimpin sekarang tidak baik pun, saya tidak fikir begitu. Mungkin ada seorang dua sahaja tetapi kerana nila setitik rosak, susu sebelanga.

NASHUA: Selepas mesyuarat Majlis Tertinggi, Khamis lalu, Perdana Menteri umumkan penjenamaan semula UMNO akan dilakukan sekarang, bukannya Mac.

Antara penjenamaan semula ialah dari segi struktur, imej dan pendekatan. Dalam soal ini apa yang paling penting, UMNO harus relevan, jangan kerana dua tiga orang membuat masalah, yang lain patah semangat sehingga timbul soal bubar sana, bubar sini. Itu bukan caranya kerana kita satu keluarga. Mungkin setelah 50 tahun dan Puteri berusia tujuh tahun, kita perlu peremajaan semula atau naikkan semangat.

Contohnya, Puteri sekarang, ramai ahli-ahli dan ketuanya orang baru, mungkin mereka tidak menjiwai apa yang kita telah lalui dan bagaimana kita mulakan Puteri. Mungkin kita harus mengadakan lebih latihan dan motivasi untuk menjiwai semangat itu sebab semangat memang tidak boleh dijual beli.

Kalau kita tengok trend pengundi, mereka sekarang lebih berpengetahuan dan pendedahan. Tidak guna kita cakap dengan pengundi muda yang akan mengundi pada pilihan raya umum akan datang sedangkan separuh daripada mereka tidak berdaftar. Ini maknanya mereka tidak ada penerimaan terhadap UMNO atau BN. Sekarang kita kena turun kepada mereka. Jangan mereka hendakkan nasi lemak, kita bagi steak. Kita kena direct dan perkasakan mereka dalam bahasa keperluan mereka.

Contohnya golongan muda, mungkin kalau kita cakap tentang Dasar Ekonomi Baru (DEB), mereka tidak faham. Kita kena buat penerapan sejarah atau perjuangan dahulu kepada generasi baru. UMNO dan parti komponen boleh melakukan pendekatan melalui internet dan sebagainya.

UMNO sudah buat pendaftaran keahlian secara talian. Ini satu daripada cara untuk dekat kepada pengundi, menyenangkan mereka dan dilihat seiring masa. Dulu Puteri yang mulakan dulu (pendaftaran secara talian) kerana ramai rakan-rakan yang teruja untuk menyertai Puteri UMNO. Sekarang bila cakap tentang Puteri UMNO semangat sudah berkurangan. Adalah menjadi tanggungjawab semua pemimpin UMNO untuk meremajakan semula parti. Bila kita memiliki semula feel good factor, barulah kita relevan dan pengundi akan menerima UMNO.

DR. SHAMRAHAYU: Ini pasal gear undur. Kita suruh lihat sumbangan orang UMNO dahulu seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr. Mahathir Mohamad buat pembangunan. Persoalannya, kenapa masuk gear undur, kenapa tidak masuk gear lima? Gear undur orang lain yang buat baik, orang tidak tengok pemimpin sekarang buat baik. Orang kata pemimpin sekarang ada skandal sama ada ia hanya persepsi atau fakta, kita tidak tahu. Tapi itulah yang ada dalam minda masyarakat terutamanya generasi muda. Saya tidak nafikan ada generasi muda yang masih menganggap UMNO relevan. Mungkin faktor sejarah membantu mereka.

Tetapi banyak papan-papan tanda BN dan UMNO sepatutnya sudah pergi muzium seperti ‘Sumbangan Barisan Nasional’ dan ‘Satu Lagi Projek Barisan Nasional’. Masyarakat sudah tidak mahu tengok lagi.

Sejak 1999, sudah 10 tahun kita berada di alaf baru tetapi apa perubahan drastik yang dilakukan? Mungkin 2004, BN menang kerana perubahan pimpinan. Apakah UMNO akan mempunyai peluang kedua? Dengan berubahnya pemimpin adakah UMNO akan berubah? Apakah perubahan parti akan menjanjikan kebaikan?

Begitu juga dengan lima negeri yang tumbang. Adakah lima negeri ini boleh masuk dalam jaring semula atau mungkinkah selepas ini negeri lain akan turut keluar daripada jaring BN? Itu sesuatu yang UMNO perlu difikirkan.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

(Sumber Berita dan Gambar :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm, Bibi Sharliza (kiri sekali) bersama-sama Nashua dan Dr. Shamrahayu (kanan) ketika menyertai sesi Sembang Politik di Ibu pejabat Utusan Melayu, Kuala Lumpur.)

No comments: