ANDA PELAWAT KE


Wednesday, February 25, 2009

NOMBOR CALON UNTUK PEMILIHAN MAC

Nombor cabutan seperti asal

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Nombor tidak penting pada Perhimpunan Agung UMNO.

Tetapi hari ini, nombor adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh calon pemilihan parti dan para penyokong mereka.

Ada yang berasa bertuah kerana kedudukan nombor calon mudah dilihat dan berada dalam senarai atas. Namun ada juga yang tidak kisah kerana yang penting ialah kewibawaan calon itu sendiri.

Suasana mendebarkan dan kadang kala gamat ini dapat dilihat pada majlis cabutan nombor bagi menentukan kedudukan calon di atas kertas undi pemilihan UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Secara umumnya banyak kedudukan calon kekal, sama seperti kedudukan asal berdasarkan jumlah pencalonan.

Tetapi ada yang jauh berubah seperti bagi jawatan Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mendapat pencalonan tertinggi, berada di urutan nombor terakhir.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, kedudukannya kekal mengikut jumlah pencalonan ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.

Situasi sama berlaku ketika pengundian untuk jawatan Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz kekal di kedudukan nombor satu dan Datuk Shahrizat Abdul Jalil pula di nombor dua.

Selain Majlis Tertinggi dan Wanita, kedudukan selepas cabutan juga kekal untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Datuk Mukhriz Tun Mahathir menduduki urutan nombor satu diikuti Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin.

Begitu juga untuk jawatan Naib Ketua Pemuda, urutan nombor satu kekal kepada Datuk Razali Ibrahim diikuti Datuk Reezal Merican Naina Merican.

Bagi jawatan Naib Presiden, nombor satu menjadi milik Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini mendapat pencalonan kedua tertinggi diikuti oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (sebelum ini tempat ketiga).

Nombor tiga pula milik Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang sebelum ini menerima pencalonan ketujuh terbanyak.

Nombor empat milik Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad diikuti Datuk Seri Syed Hamid Albar yang kedudukannya tidak berubah di urutan nombor lima.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula mendapat nombor enam diikuti oleh Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik (tujuh) dan Hishammuddin di nombor lapan.

Kedudukan nombor untuk Puteri juga berubah apabila Datuk Shahaniza Samsuddin yang mendapat pencalonan terbanyak, kini berada di nombor urutan dua.

Nombor satu menjadi milik Datin Ismalina Ismail yang sebelum ini menerima pencalonan ketiga terbanyak.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Tan Sri Samsuddin Osman berkata, tujuan cabutan nombor itu dilakukan bagi memperlihatkan keadilan kepada calon-calon yang bertanding.

"Kita bukan sahaja bertindak adil tetapi juga mahu dilihat sebagai adil," katanya.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0225&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_09.htm&arc=hive)

No comments: