ANDA PELAWAT KE


Tuesday, February 24, 2009

PENGUNDIAN BERKOMPUTER PADA PEMILIHAN MAC

Pengundian berkomputer dijangka diperkenalkan di dalam Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung pada Mac depan.

Ini berikutan cadangan ibu pejabat UMNO untuk pertama kalinya dalam sejarah pemilihan parti memperkenalkan cara itu untuk semua jawatan yang dipertandingkan di peringkat Majlis Tertinggi (MT) dan sayap-sayap pergerakan.

Jika direalisasikan, debaran menanti siapa yang memenangi jawatan tertinggi parti boleh diketahui dalam masa dua jam sahaja selepas pengundian.

Ia berbanding sebelum ini iaitu cara pengundian menggunakan kertas yang memakan masa sehingga ke tengah malam sebelum keputusan dapat diumumkan.

Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini mengesahkan mengenai cadangan tersebut yang dibuat pihak ibu pejabat UMNO.

“Ia masih di peringkat pandangan dan keputusan sama ada pengundian dilakukan menggunakan komputer atau sebaliknya akan diputuskan melalui mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) akan datang.

“Sebarang keputusan berkaitan parti mesti melalui MT,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat MT yang seterusnya dijadual berlangsung pada Rabu depan.UTUSAN

(Sumber :- http://www.puteri.net.my/modules.php?name=News&file=article&sid=2380)

Setuju pengundian berkomputer

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Calon-calon yang akan bertanding pada pemilihan parti akhir bulan depan bersetuju dengan cadangan ibu pejabat UMNO untuk memperkenalkan pengundian berkomputer.

Bagaimanapun, sebahagian daripada mereka mahukan cadangan tersebut diperhalusi supaya ia benar-benar mantap sebelum dilaksanakan.

Calon Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu tidak ada masalah untuk dilaksanakan sekiranya bersesuaian.

"Tetapi ini perlu diteliti oleh ibu pejabat UMNO sebelum dibawa kepada pengurusan parti," katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan calon MT UMNO di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ampang Jajar, Alor Setar hari ini.

Beliau ditanya mengenai cadangan ibu pejabat UMNO untuk memperkenalkan pengundian secara berkomputer.

Sementara itu, calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang turut ditemui pada majlis yang sama mahukan sistem pengundian berkomputer itu benar-benar mantap sebelum ibu pejabat UMNO memuktamadkan penggunaannya.

Ini, katanya, bagi mengelakkan banyak persoalan timbul berhubung keputusan pemilihan kelak selain memastikan objektif penggunaannya benar-benar mencapai matlamat.

"Jadi saya berharap dalam kita bercita-cita untuk mengemas kini sistem, hendak cepat dan tidak timbulkan masalah lain, jangan dalam pertandingan kelak keputusannya akan menimbulkan banyak persoalan," katanya.

Seorang lagi calon Naib Presiden, Tan Sri Mohd. Isa Samad pula tidak kisah dengan keputusan ibu pejabat UMNO sama ada mahu menggunakan cara pengundian berkomputer atau menggunakan kertas selagi matlamatnya tercapai.

Calon Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, cara berkenaan sudah diperjelas kepada jawatankuasa pengurusan.

''Saya tiada halangan kerana mengundi cara biasa cuma pengiraan guna komputer, ia juga lebih cepat. Tetapi terpulang kepada MT untuk memutuskan,'' jelas beliau.

Datuk Seri Shahidan Kassim yang akan bertanding untuk ahli MT pula bersetuju dan menyokong menggunakan cara pengundian berkomputer sebagai penambahbaikan dalam parti.

"Apa pun sistemnya dalam pemilihan UMNO ini tiada masalah. Cuma sistem berkomputer akan mempercepatkan keputusan pengundian," katanya.

Sementara itu calon Ketua Puteri UMNO, Bibi Sharliza Mohd. Khalid berkata, sistem itu wajar diperkenalkan kerana ia seiring dengan perkembangan semasa.

''Sistem pengundian berkomputer juga menggambarkan UMNO kini mempunyai sistem penyampaian yang terkini dan cepat.

''Perwakilan tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan keputusan seperti sebelum ini,'' jelasnya.

Calon Naib Ketua Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, pengundian secara berkomputer bukan perkara baru kerana ia sudah digunakan oleh UMNO Bahagian Tanjung Karang tanpa sebarang masalah.

''Masa yang mungkin dapat dijimatkan melalui penggunaan komputer boleh digunakan untuk membahaskan usul.

''Bagaimanapun proses pengundian elektronik perlu dijelaskan kepada perwakilan supaya tidak ada undi yang rosak atau rugi. Ia juga perlu mesra pengguna kerana ada perwakilan yang berusia,'' tambah beliau.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm)

No comments: