ANDA PELAWAT KE


Saturday, February 14, 2009

UMNO TIDAK PERNAH DERHAKA

UMNO tidak pernah derhaka

IPOH 13 Feb. - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali berkata, UMNO tidak pernah menderhaka kepada Sultan Perak walaupun wujud perselisihan faham dengan sultan di negeri ini.

Bagaimanapun kata beliau, tindakan pemimpin Pas negeri pada hari ini seperti yang dilakukan oleh Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, jelas menunjukkan mereka menderhaka kepada Sultan Perak.

''Ini dibuktikan dengan kenyataan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang menyebut 'ampun Tuanku, patik mohon derhaka.'

''UMNO tidak boleh terima orang derhaka kepada raja dan dia tuduh bapa saya derhaka apabila bapa saya, Allahyarham Tan Sri Mohd. Ghazali Jawi meletak jawatan pada 1959 setelah berlaku perselisihan faham dengan Almarhum Sultan Yusof mengenai isu pelantikan Raja Bendahara kepada Datuk Bendahara.

''Bapa saya keluar dari Perak dan Pemuda UMNO ketika itu mahu bertindak tetapi bapa saya meminta mereka tidak mengadakan demontrasi dan menderhaka kepada sultan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan kakitangan pejabat UMNO Perak di sini hari ini.

Tajol Rosli berkata, beberapa bekas Menteri Besar seperti Datuk Rahim Bakar (Pahang), Datuk Seri Shahidan Kassim (Perlis) dan Datuk Seri Idris Jusoh (Terengganu) juga pernah berselisih faham dengan sultan.

''Mereka tidak pula mengadakan demonstrasi sebaliknya meletak jawatan.

''Ini membuktikan UMNO tidak pernah menderhaka kepada raja dan setiap kali pemimpin berselisih faham dengan raja, pemimpin UMNO mengundur diri, tetapi berdemontrasi di jalanan bukan cara kita," katanya.

Ditanya mengenai pelantikan Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak, beliau berkata, pelantikan itu adalah pilihan yang tepat.

Menurut Tajol Rosli, kalau pemimpin Pas berani mengadakan demonstrasi di jalanan, mereka perlu sanggup ditahan di penjara.

''Saya bersyukur kita dapat balik kerajaan, kerajaan BN sekarang jagalah hati rakyat dan saya yakin pilihan raya akan datang kita mencapai kemenangan," katanya.

Mengenai pelantikan tiga penasihat Menteri Besar, Tajol Rosli berkata, pelantikan itu bukan baru yang dibuat oleh kerajaan kerana Perdana Menteri sendiri melantik beberapa penasihat untuk membantu beliau.

''Pelantikan tiga pemimpin di Perak ini bukan Exco tetapi penasihat bertaraf Exco.

''Kerajaan Pakatan Rakyat sepatutnya melantik jawatan itu ketika memerintah negeri ini tetapi mereka tidak melakukannya dan apabila kerajaan BN melantik mereka kata tidak sah dan buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),'' katanya.

DAP Perak semalam membuat laporan kepada SPRM mendakwa Dr. Zambry menyalahgunakan kuasa apabila melantik tiga penasihat kepada Menteri Besar.

Parti pembangkang itu mendakwa pelantikan yang dibuat tanpa kelulusan Exco kerajaan Perak melanggar peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri.

Mereka yang dilantik itu ialah Datuk Chang Ko Youn sebagai Penasihat Hal Ehwal Masyarakat Cina, Datuk S.Veerasingam (Hal Ehwal Masyarakat India) dan Datuk Mohd Najmuddin Elias (Hal Ehwal Agama).

Dr. Zambry juga mengumumkan pelantikan Datuk Hamdi Abu Bakar sebagai Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_05.htm)

No comments: