ANDA PELAWAT KE


Monday, March 16, 2009

Dr. Wan Norashikin Wan Nordin : TARIK DIRI

Tarik diri bukan kerana desakan

IPOH 15 Mac – Ketua Puteri UMNO Perak, Dr. Wan Norashikin Wan Nordin menegaskan beliau tidak didesak oleh mana-mana pihak supaya menarik diri daripada bertanding jawatan Naib Ketua Puteri UMNO pada pemilihan parti hujung bulan ini.

Sebaliknya kata beliau, keputusan nekadnya itu adalah atas dasar lebih mengutamakan kepentingan parti berbanding peribadi.

‘‘Keputusan menarik diri daripada bertanding jawatan Naib Ketua dan tidak mempertahankan jawatan Exco Puteri dibuat secara sukarela tanpa desakan mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, beliau sedar kerja-kerja berkempen membantu Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang dalam pilihan raya kecil 7 April ini lebih penting berbanding kempen bertanding merebut jawatan dalam parti.

‘‘Justeru, saya sanggup berkorban untuk tidak bertanding pada pemilihan parti kerana ingin menumpukan sepenuh masa berkempen dalam pilihan raya tersebut.

Beliau berkata, hasrat untuk bertanding jika diteruskan akan menyebabkan dirinya tidak mempunyai masa untuk membantu jentera pilihan raya BN sedangkan ia merupakan keutamaan parti ketika ini.

Wan Norashikin berkata, keputusan itu telah dimaklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan Puteri UMNO negeri.

Ketua Puteri UMNO Perak tarik diri

IPOH 13 Mac - Ketua Puteri UMNO Perak, Dr. Wan Norashikin Wan Nordin hari ini mengumumkan menarik diri daripada bertanding merebut jawatan Naib Ketua Puteri UMNO pada pemilihan parti 24 hingga 28 Mac ini.

Beliau turut menarik diri daripada mempertahankan jawatan Exco pergerakan itu.

Dr. Wan Norashikin, 36, berkata, keputusan berkenaan dibuat kerana beliau ingin memberi tumpuan terhadap kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang awal bulan depan.

"Saya mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi parlimen berkenaan," katanya kepada Bernama.

Dr. Wan Norashikin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Gajah berkata, beliau telah menghantar surat penarikan diri daripada bertanding kedua-dua jawatan itu kepada UMNO petang tadi.

"Saya telah membuat pengumuman berkenaan pada mesyuarat Exco Puteri UMNO sebelum menghantar surat berkenaan," katanya.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0316&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_07.htm&arc=hive)

No comments: