ANDA PELAWAT KE


Sunday, March 8, 2009

KARENAH PERWAKILAN UMNO

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm)

KIRA-kira 12 bulan lalu, dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 yang diadakan pada 8 Mac 2008, Barisan Nasional (BN) hampir kehilangan kuasa di Parlimen, jumlah kerusi yang diperolehi berbanding pilihan raya umum 2004 jauh merundum. BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Tamparan lebih hebat dirasai oleh UMNO sebagai tulang belakang BN, apabila mereka bukan sahaja kehilangan 30 kerusi di Parlimen malah turut tersungkur di Kedah, Perak dan Selangor manakala di Kelantan pula pemimpin-pemimpin negeri itu seolah-olah terus rela menjadi pembangkang sejak tahun 1990.

Prestasi buruk UMNO ini berterusan apabila dalam dua pilihan raya kecil selepas itu di Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, calon parti itu tewas. Kekalahan di Kuala Terengganu mengurangkan kerusi UMNO di Parlimen daripada 79 kerusi kepada 78 kerusi. Berikutan kedudukan UMNO yang dilihat semakin lemah, ia telah memungkinkan senario politik negara berubah. Segala hal berkaitan dengan orang Melayu mula dipertikaikan dengan sewenang-wenangnya, manakala kaum-kaum tertentu terus menunjukkan keberanian dan membuat tuntutan yang bukan-bukan.

Sebelum 2008, tiada siapa berani menganggu gugat institusi berkaitan dengan orang Melayu kerana mereka tahu jika itu dilakukan bermakna mereka ‘berperang’ dengan UMNO. Tetapi sekarang UMNO tidak lagi dilihat sebagai sebuah parti yang digeruni sebaliknya sebuah parti yang lemah dan penuh dengan masalah. Oleh itu pihak-pihak tertentu terutama barisan pembangkang yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas mengambil kesempatan untuk memperlekehkan UMNO. Mereka menggambarkan UMNO sebagai parti penuh dengan amalan politik wang, diselimuti penyalahgunaan kuasa dan pelbagai sikap negatif lain. Apa yang dikatakan pembangkang seolah-olah ‘disahkan’ oleh ahli-ahli UMNO sendiri apabila dalam pemilihan bahagian lalu, politik wang terus bermaharajalela, lanjutan itu UMNO sebuah parti yang ditubuhkan atas titisan darah dan keringat pejuang kemerdekaan dan menjadi tonggak kekuatan orang Melayu terus dihina.

Persoalannya, apakah sudah timbul perasaan insaf di kalangan ahli UMNO bahawa parti mereka kini berada di landasan menuju ‘ke kuburan’ kalau mereka tidak melakukan sesuatu dalam pemilihan parti pada 24 hingga 28 Mac nanti. Sepatutnya, pemilihan berkenaan dijadikan platform untuk mengangkat kembali martabat dan maruah UMNO dengan membariskan barisan kepimpinan yang benar-benar mantap dan diterima oleh rakyat.

Berdasarkan tinjauan dan pertemuan dengan sebahagian calon yang bertanding, mereka melahirkan kekesalan kerana terdapat sebahagian besar perwakilan mahu dilayan bagaikan raja. Mereka masih meletakkan materialistik sebagai penentu sama ada seseorang pemimpin itu akan dipilih atau tidak. Undi kepada pemimpin yang menjadi calon bukan akan dibuat berdasarkan kepada track record, kemampuan atau kepercayaan bahawa pemimpin berkenaan mampu melaksanakan amanah untuk bangsa, agama dan negara sebaliknya berapa banyak pemimpin itu boleh ‘hulurkan’.

Kesudahannya wujudlah istilah salam kosong, salam ada, tepuk atas, tepuk bawah, angguk di depan, geleng di belakang. Mungkin apa yang dipaparkan ini dianggap membuka pekung di dada dan mampu memalukan UMNO tetapi inilah hakikatnya.

Apa yang mengecewakan, akibat hendak bertanding juga ada sesetengah menteri menganggap mereka seolah-olah menjadi orang bodoh yang terpaksa mengikut sahaja apa kata perwakilan kerana bimbang akan kehilangan sokongan.

Ini belum lagi mengambil kira, majlis memperkenalkan calon yang dianggap oleh salah seorang pemimpin kanan UMNO ibarat ‘pertandingan ratu cantik’ cuma bezanya tiada nombor dilekatkan pada tubuh calon.

‘‘Suruh duduk, duduk, suruh berdiri, berdiri, sampai lewat kena marah, tak jawab telefon kena ugut tak bagi undi, tak jawab SMS hilang undi, semua permohonan kena lulus,” inilah antara keluhan yang disampaikan oleh beberapa calon kepada penulis. Kesudahannya calon-calon yang bertanding termasuklah para menteri tidak ada kerja lain sehingga menanti hari pemilihan, selain melayan kerenah sesetengah perwakilan yang cukup membosan dan memualkan.

Malah ada sesetengah perwakilan secara terang-terangan memberi ‘ugutan’ tidak akan mengundi pemimpin tertentu kalau mereka tidak diberi imbuhan.

Kata-kata seperti, ‘‘kamu cakap sama kamu punya bos kalau tak bagi (wang), kami akan ‘mandikan’ dia dalam pemilihan nanti.” seolah-olah sudah sinonim setiap kali pemilihan berlaku.

Semua keadaan ini jelas menunjukkan seolah-olah apa yang berlaku kepada UMNO dalam pilihan raya umum lalu dan nasihat betapa pentingnya pemilihan kali ini demi memastikan survival parti itu dan orang Melayu ibarat mencurah garam ke dalam laut.

Ia tidak membawa apa-apa makna. Sebahagian besar perwakilan masih menganggap pemilihan kali ini tetap ‘lubuk’ untuk mereka mengaut keuntungan. Perwakilan yang bersikap seumpama ini hakikatnya sanggup menggadaikan maruah diri dan masa depan parti semata-mata untuk mengaut keuntungan sementara.

Mengulas perkara ini, Penganalisis politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, perwakilan perlu rasional dalam membuat pemilihan dan tidak terpengaruh dengan pujuk rayu calon-calon yang menawarkan wang.

‘‘Nilai kertas undi yang mereka miliki itu tidak ada galang gantinya dengan nasib masa depan orang Melayu dan UMNO yang bakal ditentukan dalam pemilihan ini,’’ katanya ketika dihubungi.

Hakikatnya akibat daripada kegelojohan dan mengikut nafsu serakah dalam menggadaikan sehelai kertas undi oleh sesetengah perwakilan, ia memberi laluan kepada sesetengah calon yang suka bermain politik wang untuk meneruskan perbuatan buruk itu. Justeru wujudlah ranking-ranking kedudukan calon-calon yang ada antaranya boleh dianggap tidak masuk akal. Apabila ditanya bagaimana mungkin ranking seumpama itu berlaku sedangkan pemimpin yang diletakkan dalam ranking ‘terbaik’ bagi jawatan-jawatan tertentu tidaklah begitu berupaya memperkukuhkan UMNO, jawapan yang diberikan sudah jelas, ‘rajin menabur’. Jika fenomena ini berterusan sehingga hari pemilihan dan tiada usaha tegas dilakukan bagi menghalang ia bermaharajalela, percayalah UMNO akan membariskan satu barisan kepimpinan yang hanya akan menang dalam parti tetapi kalah dalam pilihan raya.

Oleh itu atas dasar untuk menyelamatkan UMNO, parti itu tidak boleh teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas perwakilan yang sanggup menjual undi demi wang dan pemimpin yang rela menggunakan wang untuk memperoleh kuasa. Kedua-dua kelompok ini ibarat virus yang cukup berbahaya kepada UMNO. Mereka adalah barah yang sukar diubati dan jika dibiarkan satu hari kelak akan menggadaikan parti dan bangsa Melayu. Sesetengah perwakilan tidak pernah menganggap apa yang mereka lakukan adalah satu jenayah, sebaliknya mereka menganggap inilah politik. Kelompok seperti ini sebenarnya ‘lebih jahat dan lebih hina’ daripada barisan pembangkang yang berusaha menjatuhkan UMNO. Jika pembangkang, tugas UMNO adalah mudah untuk mematahkan sebarang usaha mereka tetapi bagaimana kalau usaha tersebut dilakukan oleh perwakilan UMNO sendiri yang boleh diibaratkan seperti musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan.

Mungkin kenyataan ini menyinggung perasaan tetapi inilah hakikatnya, kalau perwakilan UMNO yang mengamalkan politik wang ini tidak mahu dianggap demikian maka mereka juga tidak harus terlibat dengan mana-mana pemimpin yang mengamalkan perbuatan yang dilarang oleh Islam itu. Pemimpin yang mengamalkan politik wang ini adalah terdiri daripada mereka yang tidak yakin kepada diri sendiri dan lupa kepada Qada dan Qadar Tuhan. Mereka lupa biarpun sejauh manapun perancangan yang dilakukan termasuklah menabur wang berjuta-juta ringgit bagi memperolehi jawatan yang diinginkan tetapi kalau Allah sudah menentukan tempat itu bukan hak mereka, maka impian mereka tidak akan menjadi kenyataan.

Sejarah UMNO sudah membuktikan bagaimana pemimpin yang naik melalui cara tidak betul ini dan tidak mempunyai kemampuan akhirnya kehilangan juga jawatan biarpun sudah berada dalam genggaman.

Oleh itu adalah lebih baik jika perwakilan memilih pemimpin yang bersih dan berwibawa menerajui UMNO kerana pemilihan kali ini adalah penentu kepada hala tuju UMNO selepas ini. Pemimpin yang dipilih perlu berdasarkan kepada track record perkhidmatan dalam parti dan kerajaan atau dari segi kewibawaan bukannya persepsi. Para perwakilan perlu melangkah ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebagai pejuang Melayu yang akan memperkukuhkan kembali UMNO dengan memilih pemimpin yang betul dan bukannya sebagai salah seorang penerima rasuah yang datang untuk menjual undinya. Mungkin mereka akan kembali ke negeri-negeri masing-masing selepas pengundian dengan gembira kerana telah mengundi pemimpin yang memberi habuan tetapi percayalah suatu hari kelak mereka akan menangis akibat perbuatan itu. Kalau mereka sayangkan UMNO, mereka akan menolak pemimpin yang memberikan mereka wang, mungkin pemimpin itu akan kalah tetapi ia lebih baik daripada mereka akan disifatkan menggadaikan masa depan parti dan orang Melayu.

Kini tanggungjawab utama perwakilan ialah memastikan barisan kepimpinan yang dipilih akan berupaya bersama-sama Datuk Seri Najib Tun Razak menerajui UMNO kembali mencatat kegemilangan dan kecemerlangan. UMNO memerlukan barisan pemimpin yang akan mampu menggalas tanggungjawab besar menguruskan parti dan negara. Keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada UMNO harus dipulihkan, itulah misi utama para perwakilan bukannya menghitung berapa banyak yang boleh mereka kaut hasil daripada kedangkalan sesetengah pemimpin yang sanggup memberikan wang dengan harapan untuk memperolehi undi. Hakikatnya, rakyat terutama orang Melayu sudah tahu siapa yang sepatutnya dibariskan dalam saf kepimpinan UMNO kali ini tetapi rakyat tidak boleh berbuat apa-apa kerana kuasa mengundi ada kepada 2,500 perwakilan UMNO. Tetapi rakyat tahu bagaimana hendak menolak pemimpin UMNO yang tidak berwibawa tersebut melalui pilihan raya.

Dalam membuat keputusan yang betul, ingatlah sabda Rasullullah SAW yang bermaksud, ‘‘Apabila amanah diberikan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kehancurannya.”

1 comment:

bungaraya said...

Ada satu masalah yang sangat meruncing dewasa ini didalam UMNO. Dan sangat payah untuk disingkirkan, yakni masalah RASUAH.
Yang terlibat bukan sekadar pemimpin, malah juga perwakilan. Sebenarnya ianya telah lama berakar umbi didalam organisasi tersebut dan kini telah menjadi sebati didalam darah dan telah menjadi tulang dan daging UMNO. Kalau nak kata pemimpin saja yang berkelakuan tersebut, ianya mustahil akan berlaku. Tentunya perwakilan juga yang tanpa berfikir panjang menyambut wang-wang kertas yang di"unjuk" kepadanya oleh agen calun.
Seeloknya kita selaku perwakilan kena tolak pemberian yang berbentuk rasuah itu. Barulah pemimpin tersebut memberikan wang rasuah itu kepada kera-kera didalam hutan untuk meminta sokong.
Selagi kita menerima pemberian itu, maka perbuatan rasuah tidak akan dapat dinyahkan dari organisasi UMNO.
Saya dengar cerita dikedai kopi, baru-baru ini ada seorang agen seorang pemimpin bertaraf Menteri dari KL datang ke Labuan untuk berkempen. Setiap perwakilan memperolehi suapan RM1500.00 seorang. Entah betul atau entah fitnah, saya tak dapat buktikan. Tetapi jika ini betul, sampai bila kita tak sedar lagi. Keduanya sama salah samada dipemberi maupun sipenerima.