ANDA PELAWAT KE


Friday, March 20, 2009

MENJELANG PEMILIHAN PUTERI UMNO..... pusingan terakhir sebelum mengundi

Ahli Puteri tak mudah terpedaya 'janji-janji manis'

Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my




Perwakilan bebas pilih calon yang mampu meneruskan kesinambungan: Noraini

DI atas kertas, dua orang kuat Puteri Umno - Naib Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Penerangan sayap itu, Datuk Shahaniza Shamsuddin, dikatakan selesa mendahului calon lain dalam persaingan merebut jawatan Ketua Puteri Umno menjelang pemilihan dalam pergerakan itu, Rabu depan.

Namun di peringkat akar umbi kegelisahan dikatakan tetap menghantui kem kedua-dua calon pendahulu itu, apa lagi calon lain termasuk yang dikatakan calon 'under dog' pada awalnya, dikatakan semakin memberi saingan sejak kempen memasuki fasa akhir dan kini hanya berbaki empat hari saja lagi.

Selain Rosnah dan Shahaniza, dua lagi penyandang jawatan dalam Puteri Umno Pusat yang turut bertanding jawatan itu ialah Setiausaha sayap itu, Bibi Sharliza Mohd Khalid dan Exco Puteri, Datin Ismalina Ismail - dengan 'ranking' kedua-duanya dilaporkan semakin meningkat pada minggu terakhir kempen.

Lebih mengejutkan calon 'under dog' Ida Rahayu Mohd Noor yang juga Pengerusi Tetap Puteri Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, dikatakan turut memberi saingan sengit kepada calon senior yang lain terutama ketika pusingan kempen memasuki fasa akhir.

Kehadiran seorang lagi calon, Ketua Puteri Cawangan OUG, Saarah Ali Bashah, dikatakan sekadar pelengkap kepada enam calon yang bertanding merebut jawatan itu. Malah Saarah sendiri mengakui tidak menaruh harapan terlalu besar kerana menyedari saingan cukup sengit.

"Saingan semakin sengit terutama ketika pemilihan semakin hampir. Susah nak kata siapa 'lead' sekarang. Saya sendiri pun tak putuskan lagi nak undi siapa, yang pasti macam-macam janji ditabur calon yang bertanding, harap-harap bukan janji kosong," kata seorang perwakilan dari Wilayah Persekutuan.

Nasib enam calon Ketua Puteri bersama empat calon bagi jawatan Naib Ketua Puteri - Nolee Ashilin Mohammed Radzi, Shahanim Mohamad Yusoff, Nordiana Shafie dan Haslinda Mohd Zerain akan ditentukan oleh 794 perwakilan Puteri pada 25 Mac nanti. Seorang lagi calon yang layak bertanding Naib Ketua Puteri, Wan Norashikin Wan Noordin, menarik diri daripada bertanding minggu lalu.

Bagi jawatan Ketua Puteri, Rosnah, Shahaniza, Bibi dan Ismalina masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri kerana mereka berada dalam Puteri induk sejak awal penubuhan Puteri Umno lagi, justeru akar umbi dalam Puteri semestinya sudah mengenali mereka dengan cukup dekat.

Prestasi kerja mereka sepanjang berada di bawah kepemimpinan bekas Ketua Puteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan penyandang sekarang, Datuk Noraini Ahmad, pasti akan diambil kira dan dijadikan kayu ukur kepada perwakilan dalam membuat pertimbangan pada hari pemilihan.

"Kita tahu siapa calon Ketua Puteri yang buat kerja dan siapa yang tak buat kerja selama ini. Ahli Puteri sudah semakin bijak menilai dan kita tidak akan mudah terjebak dengan 'janji-janji manis' mereka yang banyak cakap dari kerja," kata seorang perwakilan dari Sabah.

Ketika kempen memasuki minggu terakhir Rosnah dan Shahaniza sama-sama yakin penyokong mereka masih setia dan sambutan yang diberikan perwakilan dalam pertemuan dari negeri ke negeri juga dikatakan cukup memberangsangkan.

"Penyokong saya masih setia. Mereka tahu perjuangan dan aspirasi saya. Insya-Allah mereka akan menterjemahkannya kepada undi pada hari pemilihan Rabu depan," kata Rosnah.

Bagi Shahaniza yang pola pencalonannya menyaksikan beliau mendapat sokongan daripada setiap negeri, keyakinan diletakkan cukup tinggi kepada penyokongnya, apa lagi beliau dilihat sebagai calon 'favourite' untuk memenangi jawatan itu.

Bagi Bibi, dirinya wajar menjadi pilihan perwakilan kerana kelebihan yang dimilikinya tidak memegang jawatan 'ahli Yang Berhormat' atau jawatan politik lain.

"Ini akan membolehkan saya fokus sepenuhnya kepada usaha memulih dan memantapkan lagi Puteri. Dalam keadaan Umno menerima cabaran cukup hebat seperti sekarang, kita perlukan seorang pemimpin yang dapat fokus 100 peratus kepada jawatan menerajui Puteri Umno," katanya.

Ismalina yang dikatakan dibayangi kelibat suaminya, Datuk Reezal Marican yang bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda pula menganggap peluang semua calon kini semuanya sama, tanpa ada yang mendahului terlalu jauh di hadapan.

"Saya tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada perwakilan, cuma janji saya mahu membawa keluar Puteri Umno daripada kepompong 'watak pembantu' kepada pemegang 'watak utama' dalam Umno. Saya juga mahu mengukuhkan kepemimpinan Puteri Umno di semua peringkat termasuk bahagian dan cawangan," katanya.

Namun kehadiran Ida yang menggunakan pendekatan kempen paling canggih, termasuk menggunakan slaid bagi menjelaskan manifesto 'Sejuta Puteri 2013 - Dekat Di Mata Dekat Di Hati' yang dibawanya, tetap menimbulkan bibit kebimbangan di kalangan calon lain.

Malah, Ida juga dikatakan satu-satunya calon yang mendapat sorakan dan sokongan ala 'Akademi Fantasia' dalam pertemuan dengan perwakilan di negeri tertentu, sehingga ada penyokongnya dikatakan membawa sepanduk.

Keadaan ini dikatakan menyebabkan ada calon tertentu cuba minta campur tangan bekas orang kuat Puteri bagi menyekat kemaraan Ida, termasuk dengan berjumpa orang atasan dalam parti.

Seperti sayap Wanita Umno, penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyebarkan pelbagai tohmahan dan dakwaan terhadap calon tertentu, selain cerita dari mulut ke mulut turut mewarnai kempen perebutan jawatan Ketua Puteri.

Kempen dalam Puteri juga turut diwarnai cerita mengenai 'calon klon' dan 'calon proksi', selain dakwaan berlakunya politik wang, yang belum terbukti setakat ini, malah tiada calon yang bertanding jawatan penting dalam Puteri tersenarai dalam tindakan Lembaga Disiplin petang Selasa lalu.

Shahaniza dan Bibi diuar-uarkan sebagai 'klon Aza' manakala Rosnah dan Ismalina diuar-uarkan sebagai 'klon Noraini'. Ismalina juga pada awalnya dikhabarkan sebagai proksi Noraini terutama selepas Bahagian Parit Sulong mencalonkan namanya, tetapi 'title' proksi itu dikatakan beralih arah kepada Ida Rahayu selepas Ida menawarkan diri pada saat-saat akhir.

Apapun Noraini yang diberikan doktor cuti sakit sejak 4 Mac lalu hingga 26 Mac ini, konsisten dengan pendiriannya, tidak menyokong mana-mana calon serta menyerahkan sepenuhnya kepada perwakilan untuk memutuskan siapa calon terbaik yang mereka mahu pilih.

"Saya tidak meletakkan sebarang proksi untuk bertanding kerana itu bukan cara saya. Perwakilan bebas memilih siapa calon yang mereka rasakan mampu meneruskan kesinambungan kepemimpinan dalam Puteri.

"Cuma pesan saya pilihlah calon yang bersih, ada integriti, boleh bekerja dan tidak terlalu banyak politiking. Masa depan Puteri Umno bergantung kepada pilihan yang dibuat perwakilan sendiri," katanya.

(Sumber :- http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Rencana/20090320015421/Article/)

1 comment:

saarah hj. ali bashah said...

Salam kpd semua puteri, terutamanya puteri labuan.

Saya ingin perjelaskan kenyataan akhbar ini, bahawasanya saya tidak pernah memberi kenyataan seperti yang ditulis dan saya ingin menafikan perjuangan hanya sebagi pelengkap puteri. Saya berharap kenyataan akhbar hendaklah dibuat dgn betul terutamanya perlu dirujuk sama ada benar atau tidak kenyataan dikeluarkan sedemikian oleh calon yg bertanding. Buatlah berita yg benar dan tidak mengelirukan mana mana pihak, samada atas tujuan menaikkan atau menjatuhkan sesiapa, bertandinglah secara sihat.

salam, saarah hj ali bashah, calon kpum.