ANDA PELAWAT KE


Friday, March 6, 2009

PKS DALAM INDUSTRI HALAL HAB LABUAN

ABDULLAH mendengar taklimat daripada CEO Marditech Corporation Sdn Bhd, Anas Ahmad Nasarudin (kanan) mengenai model projek Hab Pengedaran Halal sambil diperhatikan Jeanne, Zulhasnan dan Suhaili (kiri) di Kiamsam, Labuan, semalam. - Foto Ruslan Sulai

Industri hab halal mesti disertai PKS

Oleh Veena Rusli
veena@bharian.com.my

Strategi perluas pasaran: PM

LABUAN: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pembangunan industri hab halal tempatan mesti disertai penggerak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya peluang luas yang tersedia dapat dimanfaatkan dalam cakupan yang lebih luas.


Perdana Menteri berkata, walaupun pelbagai cabang hab halal boleh diterokai, masih banyak perlu dilakukan untuk menjadikan Malaysia sebagai antara pengeksport dan pengedar barangan halal utama di dunia.

Katanya, penggerak industri halal tidak terbatas kepada orang Islam saja kerana masyarakat bukan Islam juga boleh mengambil bahagian asalkan prosedur dan spesifikasi produk mengikut kehendak Islam.

"Industri hab halal tidak mempunyai batasan, malah ia adalah industri perkembangan baru yang perlu diberi perhatian untuk membangunkan negara kerana potensinya pada peringkat global dianggar bernilai AS$3 trilion.

"Saya mahu industri hab halal ini ada matlamat. Halal bukan merujuk kepada makanan semata-mata kerana halal ertinya baik, bersih, dan memanfaatkan pengguna," katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah tapak Hab Pengedaran Halal Wilayah Persekutuan Labuan di Kiamsam, dekat sini, semalam.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yusoff Mahal dan Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Abdullah berkata, Malaysia wajar membina strategi untuk diiktiraf sebagai pangkalan penghasilan dan pengeksport produk halal dunia.

Katanya, hasrat itu berupaya dicapai jika penggerak industri melaksanakan pendekatan terbaik, manakala pengusaha memiliki motivasi tinggi untuk maju.

"Memang kita sudah menjadi pengeksport ketika ini tetapi jumlahnya masih kecil dan belum mencukupi. Bilangannya mesti ditingkatkan dan industri mesti dibangunkan dengan kesedaran ia bakal membawa pulangan tinggi untuk negara," katanya.

Sementara itu, Zulhasnan berkata, projek itu meliputi kawasan seluas 25 hektar dan menjurus kepada penjenamaan produk Malaysia yang halal dan selamat.

(Sumber :- http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Nasional/20090305232239/Article)

No comments: