ANDA PELAWAT KE


Tuesday, March 10, 2009

Soal Jawab: PENGALAMAN, WAWASAN TARUHAN PERSAINGAN KETUA PUTERI UMNO


(Sumber :- Nurul Adlina Kamaludin dan Rohaniza Idris, http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Rencana/20090308000429/Article/)

PERWAKILAN Puteri Umno berdepan tugas penting memilih ketua baru pergerakan itu pada pemilihan ini. Siapakah yang bakal menjadi pilihan, antara yang berpengalaman atau berwawasan? Wartawan Berita Minggu, Nurul Adlina Kamaludin dan Rohaniza Idris, menemui tiga lagi calon iaitu Setiausaha Puteri, Bibi Sharliza Mohd Khalid; Exco Puteri, Datin Ismalina Ismail dan Pengerusi Tetap Umno Cawangan Seksyen 20 Selatan Petaling Jaya Utara, Ida Rahayu Md Noor

MENGAPA mahu bertanding jawatan Ketua Puteri?

Bibi Sharliza:

Pertama, kerana minat saya yang mendalam terhadap politik. Minat itu saya jadikan semangat untuk saya perjuangkan pergerakan Puteri Umno ini. Kedua, selaku Setiausaha Puteri dan berpengalaman sebagai Ketua Penerangan, Ketua Puteri Negeri Sembilan dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi, saya ada sedikit kelebihan. Melalui pengalaman ini saya rasa nak buat kesinambungan untuk terajui pergerakan ini.

Ismalina:


Sebab saya sayangkan Puteri. Saya mendapat kekuatan menawarkan diri bertanding sejak 2007, apabila berasa berupaya mengendalikan program dan pelbagai tanggungjawab di bahagian dan parti. Saya juga mendapat maklum balas positif ketika turun padang. Semua ini memberi keyakinan dan kekuatan untuk bertanding.

Saya percaya boleh membawa Puteri ke arah kejayaan dan menjadi lebih baik. Jawatan ini satu tugas berat kerana perlu mengetuai ahli yang ramai. Keahlian bukan perkara mudah kerana Puteri sedikit berbeza. Setiap tahun, Puteri kehilangan minimum 5,000 ahlinya yang menyertai Wanita. Untuk menambah ahli Puteri bukan kerja mudah, lebih-lebih lagi jika mahukan ahli yang berkualiti dan bukan golongan mengharapkan ganjaran.

Kita perlukan ahli yang punya jati diri, faham perjuangan dan hala tuju parti. Saya tahu ada pihak memainkan isu mengenai suami yang juga calon Naib Ketua Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican dan saya bertanding jawatan dalam pemilihan kali ini. Saya dan suami sangat profesional dan kerja kami dalam parti tidak pernah bertindih.

Pembabitan saya dalam Puteri Umno Wilayah pada 2001 lebih awal berbanding suami dalam Pemuda. Kami juga tidak pernah berkongsi maklumat mengenai pergerakan masing-masing. Saya hendak dikenali dan berdiri atas kredibiliti sendiri. Kalau Puteri melihat saya seorang pemimpin berkaliber, jadi mengapa perlu dikorbankan satu lagi pemimpin wanita muda Melayu berkebolehan hanya kerana statusnya. Suami tidak pernah mempengaruhi saya untuk bertanding.

Ida Rahayu:

Saya menjadi ahli Puteri sejak awal dan ahli Umno seumur hidup yang disahkan pada 2002. Saya pernah menjadi Pengerusi Tetap Puteri Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Ketua Puteri Cawangan, AJK Umno Bahagian Petaling Jaya Utara dan kini Pengerusi Tetap Umno Cawangan Seksyen 20 Selatan Petaling Jaya Utara.

Saya sudah biasa dengan Umno, sebagai pekerja membantu kawan-kawan dalam program Puteri peringkat bahagian dan Pusat. Selepas kekalahan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lalu, saya sebagai sebahagian jentera, sedih kerana parti ini dan BN sudah banyak berjasa. Saya cuma menunggu dan fikir apa boleh dibuat bagi membantu keadaan.

Bagi saya, Umno tidak bangkit dengan segera daripada kekalahan. Seperti saya yang berpengalaman jadi usahawan, bila jatuh kita mesti segera bangun dan rangka rancangan seterusnya. Bila Umno berdepan kesusahan, saya terpanggil untuk memberi sumbangan. Ini tanggungjawab kenegaraan saya untuk berkhidmat kepada Umno. Saya mahu beri bantuan secara langsung dan ada perancangan untuk Puteri.

Saya menawarkan diri atas kerelaan sendiri, bukan dipaksa sesiapa pun. Saya juga berasal daripada keluarga Umno. Ayah saya pernah menjadi Ketua Bahagian dan bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno serta bekas Adun Johor. Saya sudah biasa tengok ayah berkhidmat kepada orang kampung di kawasannya.

Bagaimana anda melihat peluang kemenangan memandangkan persaingan sengit?


Bibi Sharliza:


Dalam pemilihan sudah tentu ada kalah dan menang. Sebagai calon, saya memandang ini satu persaingan sengit dari segi ramai saja. Kalau dilihat faktor kepemimpinan, kredibiliti dan pengalaman, saya rasa semua ada kelebihan masing-masing. Jadi macam mana cara calon memikat hati perwakilan.

Kita meyakinkan perwakilan jika dipilih, apa boleh ditawarkan. Sengit atau tidak, ia adat bertanding. Peluang saya tetap ada selagi belum sampai tarikh pemilihan. Saya akan teruskan pertemuan dengan perwakilan dan kempen, selagi mampu. Ini disebabkan saya juga bertugas sebagai Setiausaha, perlu buat persiapan bagi Perhimpunan Agung Umno dan pilihan raya kecil di Bukit Gantang. Saya akui memang sibuk, tetapi sebagai pemimpin kita perlu kendali masa. Cuma saya ada kelebihan kerana bukan Yang Berhormat yang perlu menumpukan sepenuh masa di kawasan.

Tumpuan saya kini lebih kepada Puteri. Keadaan politik semasa, banyak yang kita perlu buat untuk Umno, termasuk bersama Presiden dan Timbalan Presiden serta berdepan pilihan raya kecil yang ada. Puteri perlu bergerak mencari dan mengekalkan ahli, mengadakan program sesuai untuk wanita muda Melayu. Perwakilan tahu siapa yang boleh memberi tumpuan kepada Puteri.

Ismalina:


Saya positif dengan peluang memenangi jawatan ini. Melihat kepada senario sekarang, ahli Puteri Umno sudah matang dan bijak, bukannya masih tercari-cari arah tuju dalam parti. Puteri sudah mengetahui hala tuju dan saya rasa peluang untuk menang tidak tipis. Saya ada kekuatan sendiri dan konsisten, malah komitmen saya tidak berbelah bahagi.

Saya sayangkan Puteri. Prinsip saya, apabila diberi amanah, akan memberikan komitmen dan kerja sepenuhnya. Saya selalu buat perkara sehingga ke maksimum dan tidak pegang jawatan sekadar ada gelaran atau pegang jawatan saja. Saya sudah buktikan selama empat tahun menjadi Exco Puteri, saya bekerja untuk parti bukannya menang bertanding dan duduk senyap saja. Sebagai Ketua Puteri Umno Bahagian Wangsa Maju saya tetapkan minimum satu program sebulan. Program yang dilakukan tidak dikongsi dengan Umno Bahagian atau mana-mana sayap Bahagian lain. Program yang saya buat khusus untuk Puteri Umno Bahagian. Saya percaya 760 perwakilan Puteri yang akan bersidang nanti bukan hanya mewakili diri sendiri tetapi membawa suara ahli dari seluruh negara.

Ida Rahayu:


Saya calon dari bawah. Ahli biasa yang tidak pegang jawatan di peringkat Pusat. Saya menyedari hakikat itu dan sebaik pencalonan diterima, saya letakkan misi untuk berjumpa seramai mungkin perwakilan, terangkan perancangan saya. Mereka tidak dapat melihat apa saya lakukan sebelum ini kerana saya bukan pemimpin Pusat. Calon lain sudah ada rekod masing-masing.

Apa yang saya bawa, adalah apa yang saya akan dan mahu lakukan untuk masa depan Puteri. Sebab kita sekarang nak cipta sejarah baru. Saya bukan orang yang menubuhkan Puteri atau kumpulan perintis, tapi saya tahu apa yang saya mahukan untuk ahli Puteri pada masa depan. Apa yang kurang, kita kuatkan lagi dengan perancangan jelas dan tepat. Bila berjumpa akar umbi, saya terkejut dengan sambutan diterima. Saya berjumpa mereka secara berseorangan. Mereka bertanyakan pelbagai soalan. Sebelum ini, apa Ketua cakap, mereka ikut tapi zaman sekarang Ketua cakap lain, tapi mereka soal lain sebab ada pandangan berbeza. Saya dapati ahli Puteri kita sememangnya sedia berkhidmat dan sertai perancangan saya.

Kira-kira 70 peratus ahli yang saya temui memang positif dengan apa yang saya nak bawa walaupun saya tiada rekod perkhidmatan di peringkat Pusat. Mereka tahu dan percaya dengan apa yang saya mahukan. Perwakilan sangat matang dan positif dengan perancangan saya. Tetapi untuk kata saya akan menang, itu ketentuan Allah.

Apakah ciri seorang Ketua Puteri pada pandangan anda?


Bibi Sharliza:


Bagi saya yang pertama, mesti berani perjuangkan kehendak wanita muda Melayu. Kita juga mesti berani berbalah dengan pembangkang. Kita kena ingat, Puteri adalah parti politik, bukannya badan bukan kerajaan (NGO) dan bukan kelab wanita. Kita perlu bersama-sama pucuk pimpinan. Ciri-ciri kepemimpinan ini penting. Kalau tidak tahu dan sekadar mahu duduk di belakang Presiden dan Timbalannya, saya rasa itu bukan ciri kepemimpinan yang baik.

Ciri kedua, mesti ada pengalaman kerana ini politik, tiada garis panduan dalam buku. Ia subjektif dan hari-hari berubah. Ini yang berlaku pada pilihan raya umum lalu. Sebab itu pengalaman mesti ada untuk mentadbir pergerakan. Kalau tiada pengalaman, bukan saya kata tidak boleh memimpin, tetapi ada sedikit kesukaran. Memimpin satu pergerakan yang berusia tujuh tahun bukan mudah.

Ciri ketiga, mesti ada daya penarik atau tarikan untuk menarik golongan muda dan bersama mereka. Daya penarik mungkin dari segi pendidikan dan ketrampilan untuk terajui pergerakan. Orang muda ada cita rasa berbeza. Saya sudah tujuh tahun dalam Puteri dan tahu mengenainya. Kita kena ikut rentak orang muda. Kita mesti ada hala tuju selari dengan generasi muda hari ini. Jika tidak, kita tidak boleh memimpin dengan baik. Untuk dekati mereka, kita perlu jadi orang muda. Jika jadi Ketua Puteri, saya akan tumpukan kepada mereka berusia bawah 40 tahun supaya perjuangan lebih fokus.

Ismalina:


Seorang Ketua Puteri perlu ada misi dan visi yang jelas. Fokus dengan apa yang harus dilakukan, mempunyai komitmen tinggi dan konsisten memperjuangkan apa hendak dibawa. Pemimpin juga perlu serius. Jika tidak serius, kemungkinan orang itu akan hilang fokus dan kurang berfungsi. Saya bermula sebagai Exco Puteri dan pada 2004 bertukar kepada Biro Antarabangsa.

Saya sudah tahu apa yang bakal dilaksanakan dan sudah ada perancangan. Saya nak menang bergaya bermaksud bukan hanya sibuk berkempen ketika musim pemilihan tetapi sentiasa dilihat dan diketahui wujud. Saya tidak mahu menjadi pemimpin yang tidak dikenali. Ketua Puteri bukan hanya menjadi pemimpin untuk ahli tetapi ketua kepada wanita muda Melayu. Misi saya melahirkan generasi muda yang seimbang. Selepas lapan tahun, Puteri sudah buktikan kewujudan dan kerja kerasnya terutama dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil. Bagaimanapun, masih ramai ahli yang belum diperkasakan dan kebanyakannya mengharapkan pemimpin peringkat bahagian saja manakala ahli tidak cukup kuat menyokong Ketua mereka.

Saya melihat, kita bukan hanya memperkasakan Ketua Puteri Bahagian tetapi Ketua Puteri Cawangan dan ahli Puteri seluruhnya. Saya mahu melahirkan ikon di peringkat bahagian. Bermakna, kita lahirkan lebih ramai pemimpin dan tidak lagi wujud situasi ketandusan pemimpin. Kepemimpinan amat penting jadi pemimpin perlu menjadi ketua yang pendapatnya didengari, boleh bersuara, berilmu, ekonomi stabil dan sahsiah sosial yang baik. Puteri Umno bukan hanya menjadi cantik, tetapi cantik dengan kebijaksanaan.

Ida Rahayu:


Sebagai pemimpin, kita tidak boleh kata tidak mahu melihat sejarah perjuangan pemimpin terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan Datuk Onn Jaafar. Kita bersyukur dengan jasa mereka menubuhkan Umno dan berjuang mendapatkan kemerdekaan. Tetapi sekarang kita mesti fikir apa yang boleh kita sumbangkan.

Tun Dr Mahathir Mohamad misalnya, bukan perintis Umno, bukan pejuang zaman Datuk Onn Jaafar tetapi apa yang beliau buat selama 22 tahun sebagai Presiden dan berjaya melakukan apa kita nikmati sekarang. Saya bukanlah orang yang menubuhkan Puteri tetapi ada perancangan sendiri iaitu mengangkat Puteri ke tahap cemerlang apabila memimpin.

Ketua perlu ada tiga ciri utama iaitu berpandangan jauh, perancangan yang jelas serta tepat dan utamakan kepentingan rakyat, bukan diri dan poket kita mahu pun pemimpin atasan. Pemimpin yang baik bukan fikir hari ini untuk pastikan apa perlu dibuat esok. Mereka perlu fikir hari ini dan kesannya 10 tahun akan datang. Kita perlu ingat, ini soal negara dan 26 juta rakyat. Sebagai pemimpin, kita tidak boleh beri alasan, oh maaf, saya terlupa. Sebab itulah saya buat manifesto dan biarpun selepas selesai tempoh memimpin, pelan itu boleh disambung pemimpin berikutnya.

Pelan tindakan tersusun perlu wujud dari sekarang. Bukannya bila menang baru hendak fikir. Sekarang cuma fikir nak menang dulu dan fikir rancang kemudian. Ini tidak betul kerana lambat.

Apa yang boleh ditawarkan jika dipilih sebagai Ketua Puteri?


Bibi Sharliza:


Puteri Umno perlu lihat asas penubuhannya iaitu yang pertama, menarik wanita Melayu muda masuk dan cintai Umno. Perjuangan Umno dulu pun, ramai orang muda tak tahu. Sebab itu ada yang terkeliru dalam pilihan raya lalu.

Perkara pertama saya mahu lakukan adalah memantapkan Puteri dengan memberi pengetahuan dari segi perjuangan kepada ahli. Ini disebabkan 70 peratus adalah Ketua Puteri Bahagian yang baru. Kita tak nak pemimpin atasan saja hebat, tetapi pemimpin akar umbi tak tahu apa-apa. Jadi saya rasa, saya sudah tujuh tahun dalam Puteri, saya tahu macam mana nak gerakkan dan stabilkan Puteri untuk berdepan pilihan raya kecil atau umum.

Saya mesti fokuskan gerakan untuk meyakinkan BN dan Umno yang generasi muda ini sebenarnya menyintai Umno. Puteri adalah relevan kerana Puteri suara orang muda. Ini menerusi program seperti pendidikan, kesihatan, kebajikan dan usahawan. Ini perlu diyakinkan. Jika tidak, andai berlaku lagi kesilapan dalam pilihan raya akan datang, orang akan salahkan golongan muda. Ini saya tawarkan kerana Puteri ini mudah ditadbir. Sebagai orang baru dalam Umno, beliau cuma mahu tahu apa Umno buat sebelum ini dan apa yang boleh diperjuangkan untuk masa depan.

Saya dan kumpulan pelapis pergerakan seperti Datuk Seri Azalina Othman, Datuk Noraini Ahmad dan rakan lain, berkorban untuk Puteri. Saya tinggalkan profesion sebagai ahli perniagaan, berkorban untuk bangunkan Puteri. Kami mahu buktikan kepada orang muda yang Umno boleh berikan segala-galanya kepada mereka. Seperti kata Datuk Azalina, Puteri ada acuannya sendiri tetapi tak boleh lari dengan matlamat Presiden dan Timbalan. Kita ada perlembagaan dan peraturan.

Ida Rahayu:


Seramai 70-80 peratus perwakilan sudah terima manifesto saya. Wawasan utama adalah meningkatkan keahlian Puteri Umno kepada sejuta ahli menjelang 2013 dengan slogan Dekat Di Mata, Dekat Di Hati. Saya juga mahu tubuhkan Koperasi Perdagangan Puteri untuk ahli berniaga dan melabur dan mewujudkan Yayasan Kepemimpinan Puteri untuk melatih ahli menjadi pemimpin pelapis terajui negara. Selain itu, saya mahu lahirkan 191 usahawan di seluruh negara � Satu Bahagian, Satu Usahawan dengan mewujudkan kafe seragam dikenali Puteri Place seperti rangkaian restoran terkemuka lain.

Orang muda bukan jenis ke pejabat Umno bahagian... rasmi sangat. Untuk tarik mereka kita perlu sediakan tempat. Lama-lama rapat dengan Puteri dan yang sering lepak di situ termasuk barisan pemimpin Puteri itu sendiri. Puteri Place juga bolehkan masyarakat setempat seperti pelajar IPT buat persembahan atau aktiviti demonstrasi anyaman dan kegiatan ekonomi lain.

Bagi keahlian pula, kita ada 26 juta penduduk dan 40 peratus wanita muda, termasuk wanita Melayu. Jika kita akui Puteri suara wanita muda, kenapa cuma ada 200,000 ahli? Ahli perlu ditambah kerana keahlian itu mencerminkan pergerakan. Pada saya sejuta itu mewakili 10 peratus daripada keseluruhan wanita muda. Untuk dapatkan sejuta ahli, kita ada 26 bahagian dan dalam masa setahun satu negeri menyaksikan peningkatan 20,000 ahli. Jika ada 26 Bahagian, satu negeri peningkatan tak sampai 1,000 setahun. Ini logik, cuma usaha untuk melaksanakan. Pergerakan ini perlu ada ramai ahli supaya yang lain boleh nampak dan barulah Umno akan dengar apa kita nak kata, bukan nak bubarkan kita.

Tidakkah faktor usia yang menghampiri 40 tahun membataskan peranan sebagai Ketua Puteri?


Bibi Sharliza:


Saya pernah kemukakan perkara ini kepada salah seorang ahli Majlis Tertinggi (MT). Beliau berkata, bagaimana kita nak buka Puteri kepada yang berusia 60 tahun? Ini fakta. Umur matang wanita adalah 35 tahun. Jadi sesuai untuk jadi Ketua Puteri Bahagian. Sebab itu bila ada Wanita kata Puteri tidak matang, saya rasa itu tidak betul. Saya sendiri berusia 38 tahun dan ada empat anak. Jadi tidak matang itu di mana? Adakah hanya kerana kami pakai baju warna merah jambu? Usia 40 tahun itu sesuai kerana jika kita buka had usia Ketua Puteri, ia tidak relevan kerana usia sudah melebihi Wanita. Takkanlah usia 50 tahun nak dipanggil sebagai Puteri. Sebab itulah, ketrampilan itu penting untuk tarik generasi muda. Sebab itulah asas penubuhan Puteri. Faham sajalah kalau disebut wanita muda Melayu, ia merujuk mereka berusia maksimum 40 tahun. Bagi saya, jika terpilih, saya akan minta parti supaya pastikan mereka berusia 18 tahun dan mendaftar sebagai ahli Umno, secara automatik jadi ahli Puteri. Sebab Puteri perlu dijadikan asas melatih. Sekarang ini mereka ada pilihan antara menyertai Wanita atau Puteri. Tak sesuailah yang muda nak bergerak dengan Wanita. Sekarang pun had usia 18 - 40 tahun itu pun ada kekangan. Di bahagian saya sendiri, ibu dan anak jadi ahli Puteri serentak sebab beliau berkahwin pada usia muda. Faktor usia bukan isu besar.

Ismalina:


Seeloknya, ahli Puteri bermula dari awal. Pada usia 18 hingga 25 tahun, kebanyakannya masih melanjutkan pelajaran dan masa ini sesuai diterapkan kemahiran yang dapat membantu mereka. Apabila masuk 25 tahun hingga 30 tahun, mereka didedahkan dengan ilmu kepemimpinan supaya tidak timbul isu menjadi Ketua Bahagian ketika umur 35 tahun. Pada saya, kematangan dan kepemimpinan tidak bergantung pada umur tetapi ilmu.

Perjuangan tidak mengukur umur dan tempoh perkhidmatan. Kalau anda boleh melaksanakan apa yang dirancangkan dalam tempoh ditetapkan, seseorang itu adalah pemimpin sebenar. Saya akui masa yang ada untuk saya berkhidmat dalam Puteri jika terpilih sebagai ketua, terhad iaitu satu penggal saja. Jadi, jika menang saya perlu segera bekerja dan mencapai misi dan visi sebelum tempoh masa tamat. Buat masa sekarang, sudah ada usaha supaya keahlian wanita muda Melayu di bawah 35 tahun, secara automatik masuk Puteri. Apabila ini dapat diselesaikan tidak mustahil pada masa depan, usia ahli Puteri Umno biasa, dianjakkan ke 40 tahun seperti Pemuda. Ini boleh mengelakkan kekeliruan.

Ida Rahayu:


Ramai perwakilan suarakan rasa tidak puas hati dengan faktor ini. Had usia 35 tahun itu terlalu singkat untuk belajar dan menimba pengalaman sewajarnya sebelum melangkah ke dalam pergerakan Wanita. Sewaktu usia 20-an, mereka terpaksa berdepan masalah seperti rumah tangga, hal anak-anak, jadi tak bersedia memimpin. Bila usia 32 tahun untuk memimpin, tiga tahun kemudian tempoh habis dan kena masuk Wanita. Ini masalahnya. Bukannya mereka mahu jawatan, tetapi bagi peluang kepada mereka. Ramai minta supaya had umur 35 tahun dilanjutkan lagi. Ketua Puteri saja sampai 40 tahun. Sekarang biar samakan had usia ahli dan ketua. Ini agak aneh kerana Wanita dan Pemuda tiada had umur. Saya akan cuba perjuangkan jika diberi mandat memimpin Puteri.

1 comment:

TokMudim said...

Buat lah pilihan dengan bijak dan saksama.

Perhatian kepada suami-isteri : Kempen KELUARGA BAHAGIA
Hentikan amalan seks oral. Hargai dan hormati bibir-bibir merah isteri anda, bibir yang mengaji kalimah-kalimah suci, bibir-bibir yang mendidik anak-anak anda.