ANDA PELAWAT KE


Monday, March 2, 2009

UJI KEMATANGAN BERPOLITIK CALON KPUM

(Sumber :- http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Rencana/20090228230003/Article/)

Soal Jawab: Kematangan berpolitik bakal Ketua Puteri diuji


Rosnah Abdul Rashid Shirlin

Rosnah, Shahaniza, Saarah komited untuk pulih semula maruah Umno di kalangan generasi muda

Mengapa mahu bertanding jawatan Ketua Puteri?

Rosnah:
Sebagai orang nombor dua Puteri wajarlah saya menawarkan diri mengisi jawatan Ketua Puteri Umno yang bakal dikosongkan Datuk Noraini Ahmad, akhir bulan ini. Pada masa sama, saya turut menyahut sokongan rakan di akar umbi yang meminta saya menawarkan diri.


Saya juga terpanggil menjadi sebahagian jentera parti yang terbabit secara langsung dalam proses membaik pulih parti ketika Umno memerlukan semua ahli khususnya orang muda bersama-sama mendokong aspirasi parti dan kerajaan yang memerintah agar terus relevan.

Shahaniza:
Jawatan Ketua Puteri bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Tanggungjawabnya amat besar, lebih-lebih lagi dalam senario politik hari ini, semua orang mengharapkan sesuatu daripada Umno. Malah sedar atau tidak, sebenarnya Umno menjadi payung bukan saja kepada ahlinya, tetapi rakyat Malaysia. Puteri sebagai sayap Umno yang ditubuhkan pada 2001 untuk menjadi ejen perubahan Umno bagi menarik generasi muda. Saya mendapat sokongan akar umbi yang mahukan saya memimpin pergerakan Puteri kerana menjadi antara pemimpin awal bersama Datuk Seri Azalina Othman ketika Puteri ditubuhkan. Oleh kerana itulah, saya mendapat sokongan dan saya menerimanya dengan penuh tanggungjawab serta akan memberikan komitmen terbaik menerajui Puteri.

Saarah:
Saya adalah antara terawal ditawarkan jawatan Puteri ketika ditubuhkan dulu. Saya menolaknya kerana berhasrat berada pada peringkat akar umbi saja. Saya fikir lebih baik belajar ilmu politik di bahagian sebelum memegang jawatan tertinggi. Selepas lapan tahun, sudah tiba masanya untuk bertanding lebih-lebih lagi apabila mendapat dua pencalonan. Saya menghormati pencalonan itu dan berasakan Puteri perlukan anjakan drastik. Jika saya menolak pencalonan itu bermakna saya menolak harapan dan hasrat akar umbi.

Saarah Ali Bashah

Bagaimana peluang kemenangan memandangkan persaingan sengit daripada calon lain?

Rosnah:
Saya melihat calon bertanding mempunyai kekuatan masing-masing dan tidak pernah memandang ringan keupayaan mereka. Bagi saya, apabila seseorang mendapat pencalonan, bermakna beliau meraih kepercayaan untuk bertanding. Tetapi biarlah pencalonan itu tidak dipengaruhi unsur negatif tetapi dibuat atas kepercayaan calon benar-benar layak dan berkaliber. Sewaktu bertemu pemimpin akar umbi dan perwakilan, mereka menunjukkan sokongan untuk saya meneruskan hasrat bertanding. Saya melihat sokongan ikhlas ahli yang mahu melihat kesinambungan pimpinan suara generasi wanita muda hari ini. Seperti diketahui ini kali pertama pemilihan jawatan tertinggi menerusi proses demokrasi. Peluang saya, Insya Allah, sudah tentu ada dengan sokongan semua. Namun, semua yang berlaku dengan ketentuan Allah. Tetapi janganlah menyebabkan perpecahan dan kehancuran Puteri, mengadu-domba dan menyebar fitnah untuk menang. Biarlah ahli membuat pilihan dan kita harus hormati pilihan itu.

Shahaniza:
Mereka yang bertanding bukan orang lain, tetapi rakan saya khususnya Rosnah dan Bibi Sharliza Mohd Khalid yang mana kami menjadi ketua penaja negeri masing-masing sewaktu penubuhan Puteri. Saya berasakan ini pertandingan dalam semangat kekeluargaan. Masing-masing mempunyai pengalaman bersama Puteri Umno. Ada kelebihan masing-masing yang boleh dimanfaatkan parti, khususnya Puteri. Kita menganggap pemilihan ini memberi peluang akar umbi menentukan kepemimpinan terbaik. Saya khususnya secara peribadi berasakan sesiapa pun yang dipilih perwakilan adalah calon terbaik yang seharusnya disokong dan parti harus disatukan semula. Tetapi saya menyeru perwakilan membuat penilaian dan pilihan sebaik-baiknya. Pemilihan ini nanti bukan setakat menentukan jatuh bangunnya Puteri tetapi imej Umno sendiri di mata rakyat yang akhirnya akan diterjemahkan dalam pilihan raya umum akan datang.

Saarah:
Ini bukan kali pertama saya bertanding. Pada 2004, saya menawarkan diri dan layak bertanding. Saya juga satu-satunya calon daripada lima lain yang layak bertanding buat kali kedua. Sebelum ini saya menarik diri apabila Puteri mengambil pendekatan peralihan kuasa secara kompromi. Ketika itu, Puteri masih belum matang dan tidak nampak kedudukan masing-masing untuk bertanding. Tahun ini, saya lihat banyak Bahagian ada pertandingan dan ahli sudah tahu kedudukan dalam Puteri. Pertandingan tidak bermaksud Puteri berpecah belah tetapi ahli mahukan pemimpin terbaik untuk parti. Saya lihat perwakilan Puteri kini matang dan akan buat penilaian terbaik. Terpulang kepada calon meyakinkan perwakilan. Saya tahu ramai menuduh saya bertanding sebagai 'pengacau' untuk memecah undi. Saya juga dituduh wakil parti pembangkang, tetapi saya tidak kisah dan anggap ini adat pertandingan dan satu provokasi. Saya tidak akan melatah atau emosional. Saya seorang yang profesional dan ketika turun padang, semua ini sudah saya jelaskan. Mereka yang buat tuduhan itu tidak perlu berada dalam parti kerana cuba melaga-lagakan pemimpin dan tidak mahukan pertandingan yang sihat.

Shahaniza Shamsuddin
Apakah ciri seorang Ketua Puteri pada pandangan anda?

Rosnah:
Apabila perwakilan membuat pilihan kepemimpinan Puteri, mereka bukan sekadar memilih Ketua, tetapi pemimpin yang bakal mengemudi dan mencorakkan hala tuju pergerakan menempuh cabaran mendatang. Kita harus akur dan insaf, keadaan politik sekarang tidak seperti dulu. Terlalu banyak cabaran yang menuntut kita mengembalikan kepercayaan rakyat, khususnya orang muda dan anggota masyarakat kepada kepemimpinan kerajaan sekarang. Kita harus pastikan parti kita dan kepemimpinan Barisan Nasional (BN) terus relevan di hati, minda dan mata masyarakat. Kita juga harus ingat, dianggarkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak, pengundi muda mewakili 70 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar. Itu satu jumlah besar dan menunjukkan negara kita akan rata rata dipenuhi dengan generasi muda dan dianggarkan juga mereka yang berusia bawah 40 tahun saja dijangka mencecah 11.8 juta orang. Sekarang ini isu pembangunan tidak lagi jadi isu, sebaliknya yang dititikberatkan anak muda lebih kepada hak kemanusiaan, pekerjaan, keupayaan ekonomi serta penjanaan pendapatan.

Shahaniza:
Bagi saya, Puteri ditubuhkan sebagai wadah perjuangan wanita Melayu muda. Kita mahu perjuangkan apa yang wanita muda Melayu di luar sana, mahukan. Oleh itu, seorang Ketua Puteri harus berani menyuarakan dan tahu untuk berdiplomasi dengan pemimpin atasan, tahu masalah rakyat. Ciri ketua berasaskan tiga perkara - mempunyai kemahiran kepemimpinan, berpengetahuan luas dan bijaksana. Sebagai ketua, beliau bukan sekadar tahu menguruskan anak buahnya tetapi memimpin mereka. Pemimpin mestilah seorang yang memberi inspirasi, motivasi dan panduan kepada pengikutnya. Sebagai sayap parti politik, Ketua Puteri perlu fahami sedalam-dalamnya strategi politik kerana pada akhirnya kejayaan kita tidak diukur dengan berapa ramai ahli dan jumlah program, tetapi diukur menerusi ke me nangan dalam pilihan raya akan datang.

Saarah:
Seorang Ketua Puteri tahu arah mana untuk mereka bawa dan hala tuju. Ketua Puteri perlu tahu mengurus dengan baik, bukannya memberi arahan. Ketika turun padang, ahli memaklumkan yang mereka mahukan perubahan dan saya beritahu jika mahukan perubahan bukan bergantung kepada ketua. Ketua hanya boleh bawa hala tuju dan ahli tentukan perubahan yang dimahukan. Ketua berperanan menguatkan barisan hadapan iaitu Ketua Bahagian bagi membantu beliau mencapai tujuan menjayakan Puteri. Seorang ketua tidak boleh jumpa semua ahli, jadi pemimpin barisan hadapan memberi kekuatan padanya untuk memastikan kejayaan Puteri. Sebagai ketua, beliau harus peka dengan kehendak ahli, turun ke akar umbi. Apabila turun padang, perlu ada hubungan lebih mesra supaya tidak 'syok sendiri.'

Apa yang boleh ditawarkan jika dipilih sebagai Ketua Puteri?

Rosnah:
Sudah tentu saya mahu menawarkan khidmat terbaik. Saya sedar mandat dan tanggungjawab untuk memimpin Puteri yang mewakili suara generasi muda, bukan sesuatu yang mudah. Ini tanggungjawab besar. Kita tidak boleh menolak hakikat bila berlaku pemilihan, sudah tentu wujud kumpulan tertentu dalam Puteri. Masing-masing ada pilihan sendiri. Namun sebagai pemimpin yang baik, beliau mesti boleh memimpin semua, baik yang menyokong atau tidak. Sejurus selepas pemilihan, ahli Puteri perlu disatukan sebagai jentera dan pasukan yang kuat. Kita perlu beri kesedaran kepada ahli akar umbi yang pemilihan itu proses biasa bagi menghormati sistem demokrasi. Namun, kita harus melihat selepas pemilihan, dalam erti kata lain melangkaui Mac, 2009 kerana di situlah cabaran sebenar. Perwakilan Puteri diberi amanah memilih barisan kepemimpinan akan datang dan perlu bijak membuat pilihan. Fokus Puteri adalah menjadi jentera kuat yang mampu membantu parti dalam usaha membaik pulih imej parti di mata dan jiwa rakyat. Tidak guna kita menang pemilihan parti tetapi kalah pilihan raya dan seterusnya hilang di mata, hati dan jiwa rakyat yang diberi hak memilih kita.

Shahaniza:
Andai terpilih, tanggungjawab pertama saya harus lakukan adalah memperkukuhkan Puteri pada semua peringkat, khususnya akar umbi. Bagi saya, sebatang pokok itu akarnya mesti kuat barulah ia mengeluarkan pucuk. Saya akan turun ke setiap bahagian dan menyelami apakah masalah Puteri di setiap bahagian dan cawangan. Masalah di bahagian Maran mungkin tidak sama dengan apa berlaku di Kuala Kedah. Kita perlu menyelami masalah parti kita sebelum ia dapat diterjemahkan dengan strategi. Satu-satu program tidak mungkin sesuai dari satu tempat ke tempat lain. Pendekatan kita yang penting, bagaimana mahu memenangi hati rakyat dan meneruskan slogan Umno, Tradisi Membela Rakyat. Itulah perkara utama yang saya akan lakukan. Saya menawarkan pengalaman, pengetahuan dan komitmen diri saya serta kelebihan sebagai wakil rakyat untuk dikongsi bersama Puteri.

Saarah:
Saya boleh berkhidmat lebih baik dan menetapkan dua agenda penting iaitu ilmu dan ekonomi. Saya akui masih ada mengutarakan isu politik seperti Ketuanan Melayu tetapi kita kena buka minda dengan mengambil kira isu politik yang lebih praktikal iaitu harus mendedahkan ahli kepada usaha memajukan diri. Kita jangan hanya sibuk menimbulkan isu sensitif seperti perkauman. Saya tidak mahu ahli Puteri tertumpu hanya ke arah itu sehingga ketinggalan soal agenda ekonomi. Saya tidak mahu tumpuan isu politik tanpa mengambil kira politik yang praktikal. Kita kena lihat senario semasa dan masa depan. Lagi pun, Puteri hanya sekadar transit - tempat persinggahan sebelum ahlinya berhijrah ke Wanita. Visi saya adalah menubuhkan kolej Puteri Umno, manakala misi saya, menaikkan taraf ekonomi dan pendidikan sebagai persediaan ke arah negara maju. Saya ingin lihat lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan dan masalah sosial diatasi dengan kematangan minda. Puteri juga perlu menerajui peluang dan kemajuan wanita Islam pada peringkat antarabangsa menerusi jalinan ekonomi dengan negara Islam lain.

Tidakkah faktor usia yang menghampiri 40 tahun membataskan peranan sebagai Ketua Puteri?

Rosnah:
Dalam Puteri, kita dibataskan had usia 40 tahun bagi Ketua dan keahliannya, 35 tahun. Saya tak mahu berselindung kerana inilah masalah dan kekangan yang berlaku di dalam pergerakan puteri. Had usia Ketua Puteri 40 tahun berbanding Ketua Wanita dan Pemuda yang tiada had umur. Isu ini menjadi keluhan sebahagian besar ahli Puteri. Saya yakin dan percaya, Azalina dan Noraini turut mengalami keadaan sama. Sebenarnya kita sudah pun memohon dan kita menerima banyak usul dari akar umbi yang meminta supaya had umur keahlian Puteri dilanjutkan daripada 35 tahun kepada 40 tahun dan had umur Ketua Puteri dilanjutkan kepada sekurang kurangnya 45 tahun. Kita kehilangan ramai ahli Puteri setiap tahun kerana faktor usia ini. Ia menyukarkan proses keahlian kerana dibelenggu hakikat kehilangan ramai ahli setiap tahun. Jika kita melihat dari sudut pandangan positif, memang benar kita menggalakkan ahli Puteri giat mencari keahlian, tetapi pada sudut lain ia membawa banyak kesukaran. Contohnya, apabila ahli menyertai Puteri pada usia 34 tahun, tahun berikutnya mereka berhijrah ke Wanita. Saya merayu pucuk pimpinan supaya mengkaji semula perkara ini kerana ia membataskan pembabitan ahli dalam Puteri. Pergerakan ini sepatutnya menjadi landasan melatih wanita muda Melayu dalam politik dan menjadi pemimpin berjaya di peringkat Wanita.

Shahaniza:
Saya tidak melihat faktor ini membataskan peranan. Walaupun usia boleh dibandingkan dengan jurang tertentu, tapi sebagai pemimpin, kita perlu fahami dan menjiwai kelompok ini. Jika tidak, kita tidak boleh jadi pemimpin. Bagi saya, perlu bagi seorang Ketua Puteri matang supaya boleh menjadi saudara tua dan tempat ahli mengadu masalah. Kematangan dan pengalaman politik itu penting. Sebagai seorang pemimpin, kita perlu anggap anak buah sebagai rakan. Kita tidak boleh ada jurang. Saya tidak nampak usia jadi penghalang. Kalau kita seorang pemimpin yang baik, kita mesti ambil tahu dan mengenal pasti kaedah bersesuaian demi kepentingan bersama.

Saarah:
Had umur adalah satu masalah kepada ahli Puteri memberikan khidmat mereka. Jika ada kelonggaran, lebih baik ia diubah. Saya faham mungkin parti mahu menjadikan Puteri pelapis tetapi dalam tempoh yang singkat, sukar mengubah atau berbuat apa-apa. Tambahan pula jika pemimpin di dalamnya tiada kredibiliti. Ketua Puteri sebenarnya mempunyai cabaran hebat kerana tempoh perkhidmatan singkat. Di awal penubuhan Puteri, umur ahli ditetapkan dari 18 hingga 30 tahun saja. Saya mengambil inisiatif menulis surat kepada Presiden parti ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, meminta had usia dinaikkan. Selepas itu, umur ahli Puteri dianjakkan kepada 35 tahun. Bermakna idea saya itu diterima dan sejak awal penubuhan Puteri lagi saya sudah beri sumbangan dan kreativiti. Kepekaan saya terhadap Puteri memang diberikan sejak awal penubuhannya. Cuma atas nasihat bapa yang dulunya Ketua Umno Bahagian, saya tidak meneruskan memegang jawatan tinggi pergerakan. Bapa menasihati supaya menjadi seperti ular menyusur akar dan menimba ilmu dalam politik sebelum memegang jawatan.

1 comment:

NT said...

kalau ditemuramah seorang calon "darkhorse" yang suka buat drama TV...jawapannya..."sebagai ketua puteri, saya akan memberi duit untuk perwakilan puteri untuk menyokong saya...saya telah berjaya dalam bidang ekonomi dan oleh itu..saya "sedekahkan" 500 ni untuk setiap perwakilan.."

http://wanitapertama.blogspot.com