ANDA PELAWAT KE


Saturday, March 28, 2009

Y.B. DATUK ROSNAH ABDUL RASHID SHIRLIN, KETUA PUTERI UMNO MALAYSIA

Bertentang Mata: Puteri tumpu pengundi muda

DATUK Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang dipilih sebagai Ketua Puteri baru, menginsafi tanggungjawab diamanahkan kepadanya berat dan beliau berkongsi harapannya dengan wartawan Berita Harian, MISIAH TAIB

BAGAIMANA Datuk menerima kemenangan ini? Saya menerimanya dengan penuh keinsafan bahawa jawatan Ketua Puteri mempunyai tanggungjawab besar yang diamanahkan. Saya melihat cabaran mendatang adalah untuk memantapkan Puteri Umno, terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, menarik sokongan lebih ramai golongan muda dan memastikan Umno terus relevan untuk golongan muda di negara ini.

Dua kepemimpinan Puteri sebelum ini kerap dibandingkan antara satu sama lain dan Datuk dikaitkan sebagai ‘klon’ Datuk Noraini Ahmad.

Datuk Seri Azalina Othman Said berjaya dalam era kepemimpinannya kerana sikap vokal beliau pada awal penubuhan Puteri dan dan Noraini pula dengan pendekatan lembut yang disenangi Puteri dan pelbagai pihak. Saya akan mengadunkan kedua-dua pendekatan itu.

Saya ingin menjiwai agresif Azalina dalam memperjuangkan isu membabitkan golongan muda dan ahli Puteri, pada masa sama saya mahu menggunakan kelembutan Noraini untuk menarik generasi muda supaya mendekati kita. Kepemimpinan Umno dinilai dari luar dan rakyat tidak mahu pemimpin yang vokal dan tidak mesra rakyat. Kita tidak mahu wujud jurang antara pemimpin dan masyarakat.

Komen mengenai saf kepemimpinan Puteri oleh perwakilan yang menyaksikan 17 Exco muka baru?

Mereka diberi kepercayaan oleh ahli Puteri. Saya percaya mereka adalah pemimpin akar umbi yang sudah membuktikan keupayaan. Saya mahu melihat barisan kepemimpinan yang kuat untuk bekerja bersama saya dalam menghadapi cabaran mendatang dan membantu pucuk kepemimpinan parti ke arah merealisasikan pemulihan Umno.

Harapan Datuk terhadap Puteri.

Puteri sudah berusaha lebih lapan tahun. Seperti sayap lain dan Umno, kita memerlukan suntikan baru. Kita mempunyai pendekatan baru bagi menarik golongan muda yang lebih mempercayai persepsi politik yang digembar-gemburkan pelbagai pihak.

Saya mahu Puteri diberikan peranan lebih besar oleh pucuk kepemimpinan parti. Kita tidak mahu lagi Puteri cuma mengendalikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk memasukkan data pengundi, tetapi diberi peranan sebagai penulis siber bagi menangkis serangan pembangkang yang menggunakan ICT dan blog bagi memburukkan Umno dan kerajaan.

Kita mahu kemudahan diberikan kepada Puteri bagi tujuan itu.

Apakah keutamaan Puteri sekarang?

Sudah tentu untuk mendekatkan lagi Puteri Umno kepada rakyat bagi menarik sokongan pengundi muda yang akan mencecah 70 peratus daripada jumlah pemilih di negara ini pada pilihan raya umum akan datang. Saya yakin ia dapat dilakukan dengan meneruskan program kesukarelawan yang diasaskan Noraini dan memastikan program yang dilaksanakan berorientasikan masyarakat dan dekat kepada akar umbi.

(Sumber :- http://www.bharian.com.my/klikkhas/perhimpunan_umno/Artikel/Puteri/20090327150105/Article/index_html)

No comments: