ANDA PELAWAT KE


Friday, April 17, 2009

DATUK NORAINI AHMAD TIDAK KECIL HATI

Noraini tidak langsung berkecil hati

BATU PAHAT 12 April - Bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad tidak berkecil hati kerana digugurkan daripada Kabinet.

Sebaliknya, beliau berikrar akan terus memberikan sokongan kepada kepimpinan sedia ada dan menumpukan sepenuh perhatian untuk berkhidmat kepada penduduk di kawasannya.

Katanya, segala pengalaman yang diperoleh ketika memegang jawatan Timbalan Menteri Sumber Manusia akan digunakan untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat khususnya mereka yang sedang mencari pekerjaan.

''Tempoh setahun berada dalam Kabinet merupakan pengalaman paling berharga yang sukar diperoleh dan akan digunakan untuk membantu penduduk tempatan," katanya.

Beliau ditemui selepas Program Kem Kesihatan anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Sulong dengan kerjasama Hospital Pakar Putra di Peserai di sini hari ini.

Noraini berkata, pengguguran mana-mana pemimpin dalam Kabinet merupakan adat dalam politik dan dilakukan berdasarkan perubahan semasa.

Sementara itu, beliau memberitahu, seramai 100 warga emas dan anak keluarga miskin di kawasan Parlimen Parit Sulong yang menghadapi masalah penglihatan berpeluang menjalani pemeriksaan mata dan mendapatkan cermin mata percuma sempena program kem kesihatan itu.

Pada masa ini, katanya, ramai di kalangan keluarga miskin terpaksa membiarkan anak mereka menghadapi masalah penglihatan kerana tidak mampu membeli cermin mata.

Malah, katanya, ada juga warga emas tidak dapat menjalani pemeriksaan mata di klinik atau hospital kerana menghadapi kesukaran untuk bergerak jauh.

''Menyedari perkara ini, kami mengadakan program khas untuk memudahkan mereka menjalani pemeriksaan mata dan memiliki cermin mata secara percuma," katanya.

Menurutnya, program itu pertama kali diadakan di Parlimen Parit Sulong membabitkan penduduk Mukim Tiga Parit Sulong.

''Program ini akan diperluaskan ke kampung lain di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Semerah dan Sri Medan,'' katanya,

Beliau percaya ramai lagi warga emas dan anak keluarga miskin yang memerlukan bantuan pemeriksaan mata seterusnya mendapatkan cermin mata.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0413&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_06.htm&arc=hive)

1 comment:

antijk said...

Blog baru berkaitan AJK PKR Putrajaya bernama Jamil Kucing di http://jamilismail.blogspot.com

Hantam produk munafik itu cukup cukup