ANDA PELAWAT KE


Wednesday, April 22, 2009

TUBUHKAN PUTERI BN!

KUALA LUMPUR 21 April - Pergerakan Puteri UMNO meminta pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) memutuskan segera cadangan penubuhan Puteri BN.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, penubuhan Puteri BN akan mempermudahkan Puteri UMNO dan rakan-rakan daripada parti komponen lain merealisasikan hasrat untuk menarik sokongan pengundi muda.

Selain itu menurutnya, ia dapat membantu negara memartabat dan membuktikan konsep 'Satu Malaysia' diperjuangkan dalam kalangan parti komponen BN.

"Setakat ini kita sudah berbincang dengan Puteri MIC, Parti Progresif Penduduk (PPP), Gerakan dan MCA atau lebih dikenali sebagai Biro Wanita Muda dan penerimaan yang diterima daripada mereka semua adalah baik sekali.

"Justeru, Puteri kini dalam peringkat menunggu keputusan daripada pucuk pimpinan untuk menentukan relevan atau tidak penubuhan itu. Bagaimanapun Puteri UMNO telah menyampaikan hasrat itu pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis ramah mesra Pergerakan Puteri UMNO bersama media di sini hari ini.

Ditanya sama ada penubuhan Puteri BN itu kelak bermakna Puteri UMNO atau pergerakan Puteri dalam komponen lain akan dibubarkan, Rosnah menjelaskan, pembubaran itu tidak perlu dan semua pergerakan terlibat akan berfungsi seperti biasa.

"Fokus penubuhan Puteri BN itu semata-mata untuk meneruskan agenda UMNO iaitu menyatukan semua kaum dengan menggabungkan sahabat daripada parti komponen lain dalam satu rangkaian.

"Kita yakin ramai akan memberi sokongan kepada Puteri BN kerana pada pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau lalu, kita telah berjaya menarik ramai pengundi muda melalui kerjasama dengan Puteri MIC dan PPP," kata beliau.

Pada majlis tersebut, Rosnah turut mengumumkan pelantikan Ketua Puteri UMNO Bahagian Pekan, Nor Azita Abdul Rahman sebagai Penolong Setiausaha pergerakan itu dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Pasir Salak, Dr. Wan Norashikin Wan Noordin sebagai Penolong Bendahari bagi sesi 2009- 2012.

Selain itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Nordiana Datuk Shafie pula diumumkan sebagai Ketua Penerangan Puteri UMNO manakala Ketua Puteri UMNO Bahagian Gelang Patah, Radin Seri Kartini Abdullah sebagai Setiausaha Kerja.

Mengenai pelantikan Ketua dan Naib Ketua Puteri Negeri, beliau berkata, ia akan diumumkan pada hujung bulan ini.

Menurutnya, kira-kira 80 peratus daripada mereka yang bakal dilantik bagi menerajui Puteri UMNO negeri terdiri daripada muka baru.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0422&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_09.htm&arc=hive)

2 comments:

A Voice said...

It is not a smart idea.

Why enlarge your organisation when your existing organisation is still not effective and struggling to maintain relevancy.

If you ask me, close all wings, particularly puteri and pemuda. :)

Puteri UMNO Bahagian Subang said...

Jemputan ke "Subang Auto Show 2009" anjuran Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Subang pada hari Ahad, 10 Mei 2009, dari jam 11.00 pagi hingga 6.00 petang, di Dataran KMST, Pinggiran Subang, Shah Alam, Selangor. Program akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Y.B. Dato' Mukhriz Bin Tun Mahathir.

Lawati: http://pu3umnosubang.blogspot.com