ANDA PELAWAT KE


Monday, May 25, 2009

Mekanisme baru tarik sokongan dikenal pasti

KOTA KINABALU 24 Mei - Pergerakan Puteri UMNO Sabah mengenal pasti mekanisme baru bagi menarik sokongan rakyat terutamanya golongan muda terhadap Barisan Nasional (BN).

Ketuanya, Musliati Moslimin berkata, pendekatan tersebut akan diguna pakai dalam setiap program yang diadakan pergerakan itu dalam tempoh terdekat.

Katanya, mekanisme baru itu selaras dengan saranan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menetapkan tempoh masa dua tahun kepada Puteri untuk menarik sokongan golongan muda terhadap kerajaan.

"Justeru itu di peringkat negeri, kita telah mengambil beberapa pendekatan, Insya-Allah kami akan cuba pastikan dalam tempoh dua tahun ini kami akan berusaha untuk menarik golongan muda menerima BN.

"Di peringkat negeri pun, kami ada mekanisme yang akan kami guna pakai agar apa sahaja program yang dilaksanakan dapat berjalan lancar,'' kata Ketua Puteri Sabah yang baru itu selepas kali pertama mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pergerakan Puteri negeri di sini hari ini.

Mekanisme itu, katanya, akan dijelaskan kemudian selepas beliau mengadakan perbincangan dengan kepimpinan pergerakan tersebut terlebih dahulu.

Menurutnya, meskipun mengakui tempoh dua tahun berkenaan singkat, beliau akan berusaha keras bagi memastikan peningkatan sokongan rakyat terhadap BN.

"Kalau ikutkan memang tidak cukup dua tahun, sekarang pun sudah hampir hujung tahun. Bagaimanapun kami anggap saranan ini sebagai satu cabaran sebab kalau kita tiada sasaran kita akan lalai," katanya.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0525&pub=utusan_malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_11.htm&arc=hive)

No comments: