ANDA PELAWAT KE


Monday, May 18, 2009

MISI Y.B. DATUK ROSNAH, KETUA PUTERI MALAYSIA

Pikat wanita muda berjuang untuk memajukan bangsa


SELEPAS lapan tahun dilahirkan Umno, kewibawaan Puteri sering dipandang remeh. Mungkinkah kerana usianya, Puteri dilihat sebagai anak kecil yang tidak selayaknya bergaul dengan asam garam politik? Justeru, pembabitannya sering kali dilihat sebagai tidak serius, cuma untuk memeriahkan suasana dan tidak lebih sebagai 'daya penarik' dalam senario politik tanah air.

Inilah kenyataan yang paling mendukacitakan Ketua Puteri Umno yang baru, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. Ke mana saja beliau pergi, persoalan itu sering ditujukan kepadanya, namun semua itu bukanlah penghalang untuk wanita kelahiran Kota Belud, Sabah itu meneruskan perjuangan demi bangsa dan tanah air tercinta menerusi Puteri Umno.

"Ini adalah cabaran yang perlu saya hadapi. Siapa yang tidak sedih apabila persepsi ini digambarkan kepada Puteri yang dikatakan hanya mengejar glamor dan tidak serius. Hakikatnya, ramai yang berjuang bertunjangkan akar umbi dan berlandaskan matlamat parti.


"Saya menyertai Puteri sejak ia ditubuhkan dan melihat sendiri proses pengorbanan sesetengah ahli, bukan sekadar buah fikiran, bahkan masa bagi memastikan parti diterima masyarakat. Saya sering mengatakan, mereka adalah 'wira yang tidak didengari' (unsung hero) kerana tidak mendapat pengiktirafan," katanya.

Sebaik dipilih sebagai ketua, antara azam Rosnah adalah untuk menghapuskan persepsi negatif ini bagi membolehkan Puteri dilihat lebih serius dan berkesan. Impian beliau mahu melihat Puteri menjadi contoh anak muda hari ini dan menjadi kebanggaan masyarakat sehingga pada suatu masa, setiap ibu bapa menginginkan anak mereka berada dalam sayap Umno itu.

ROSNAH bersama anaknya, dari kiri, Siti Aisyah, Siti Khadijah dan Mahathir.

"Pembabitan Puteri amat relevan pada masa kini mewakili suara wanita muda. Ibarat kilang, ia melahirkan pemimpin wanita yang cukup vokal dan berkesan bagi mengutarakan isu golongan muda. Puteri mempunyai aspirasi untuk dilihat sebagai pembela golongan muda dan ia sesuai dengan landskap politik tanah air yang 75 peratus diwakili belia berusia 40 tahun ke bawah.

"Apa yang paling dibimbangkan, rintihan orang muda tidak diberi perhatian dan jika ini tidak dititikberatkan, tidak mustahil ia boleh mengucar kacirkan politik seperti yang berlaku di Thailand hari ini apabila golongan muda mempunyai jati diri yang rapuh serta mudah terpengaruh dengan hasutan," katanya.

Memperkukuhkan benteng pertahanannya, setiap ahli sentiasa didedahkan dengan pelbagai latihan khususnya internet yang hari ini dijadikan senjata oleh pembangkang bagi mempengaruhi golongan muda. Puteri diberikan peranan sebagai modem menyediakan maklumat betul di samping memantau dan menangkis dakyah pembangkang. Peranan itu juga bakal diperluaskan selaras dengan isu semasa.

"Saya akui program Puteri perlu ada suntikan baru. Kami akan mencari formula yang akan memberikan impak kepada orang muda dan menjadikannya sebagai 'jambatan' menghubungkan golongan muda. Puteri akan memfokuskan penambahan keahlian yang ketika ini memiliki 328, 165 ahli berdaftar di seluruh negara. Mereka termasuk di akar umbi akan dilatih sebagai pemimpin dan akan menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan sebagai sumbangan kepada parti. Kami berharap dapat bekerjasama dengan sayap Umno lain bagi mengukuhkan parti dalam suasana aman serta saling hormat menghormati," katanya.

Rosnah yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan berkata, perlantikan itu dan juga sebagai Ketua Puteri adalah satu tanggungjawab berat dan amanah yang diberikan kepada Puteri Umno. Secara tidak langsung ia juga adalah bentuk pengiktirafan di atas perjuangan Puteri selama ini.

"Jawatan sebagai Timbalan Menteri Kesihatan agak mencabar kerana saya mempunyai latar belakang dalam bidang guaman. Bagaimanapun, ia bukan penghalang untuk menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan dan berharap pengalaman sebagai peguam boleh membantu terutama dari segi perundangan.

"Bagi saya ia memberikan kelebihan untuk saya terus menyumbang kepada parti. Golongan muda juga perlu didedahkan dengan kepentingan menjaga kesihatan diri. Mungkin ada program yang boleh diserap ke dalam Puteri Umno selaras dengan tujuan ini. Saya yakin, visi dan misi kementerian selari dengan jiwa saya yang ingin dekat dengan masyarakat," katanya.

Anak kelapan daripada sembilan beradik itu mengakui, beliau pada asalnya tidak pernah terfikir untuk terbabit dalam politik apatah lagi memegang jawatan lebih tinggi. Baru berusia 27 tahun ketika itu, Rosnah yang mempunyai kelulusan dalam bidang guaman dilantik sebagai ahli jawatankuasa Penerangan mewakili guaman di bawah biro negeri Sabah.

Rosnah menyertai Puteri Umno sebaik ia ditubuhkan kerana ia selari dengan program mendekati masyarakat.

"Apabila banyak terdedah kepada pelbagai kursus, saya mula sedar mengenai kepentingan suara golongan muda dalam politik. Sejak itu, saya aktif dalam Puteri Umno sehingga hari ini. Pada awalnya, ibu bapa saya agak keberatan kerana saya terpaksa meninggalkan kerjaya sebagai peguam.

"Ayah seorang jurutera, manakala emak hanya suri rumah, tidak ada ahli keluarga yang aktif dalam politik. Maklum saja cabaran sebagai ahli politik bukan mudah. Apabila sebelah kaki sudah masuk ke kancah politik, sukar untuk mengeluarkannya. Namun, akhirnya mereka merestui saya," katanya.

Mengakhiri zaman solonya Julai tahun lalu, Rosnah bersyukur kerana suaminya yang bekerja sebagai penjawat awam juga memahami dan merestui kerjaya beliau.

Walaupun pada awalnya agak kekok membahagikan masa antara kerjaya, suami dan tiga anak angkatnya, Rosnah dapat menyesuaikan diri dengan jadual hariannya.

"Seminggu sekali saya akan pulang ke Papar untuk melawat anak di sana. Saya ambil mereka sejak sebelum berkahwin lagi. Suami saya juga ada anak daripada perkahwinan terdahulunya. Kami bersama-sama memastikan ada masa untuk keluarga.

"Waktu terluang dihabiskan dengan menonton wayang atau bersiar-siar. Saya pula suka membaca terutama buku mengenai siri penyiasatan atau menonton bola sepak," katanya.

Profil

Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin

Darjah Kebesaran:
ADK, ASDK, Jaksa Pendamai (JP), PGDK

Tarikh lahir: 10hb Julai 1972

Tempat lahir: Kota Belud, Sabah

Umur: 36 Tahun

Status Perkahwinan: Berkahwin

Nama Suami: Fadli Juanas

Anak: Mahathir Musa, Siti Aisyah, Siti Khadijah Abdullah dan Mohd Faiq Fadli.

Pencapaian Akademik: Disember 1991-1995 - Bachelor in LLB (Hons), UIA

Bidang pengkhususan: Undang-undang

Kawasan Parlimen: P175 Papar

Jawatan disandang:

  • Timbalan Menteri Kesihatan

  • Ahli Parlimen Papar

  • Naik Ketua Puteri Umno

  • Timbalan Pengerusi Rakan Pengguna

  • Pengerusi Warisan Harta Sabah Sdn Bhd

  • Ahli Lembaga Malaysia France Institutes Sdn Bhd

  • (Sumber :- http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Ratu/20090518070431/Article/)

    No comments: