ANDA PELAWAT KE


Friday, June 19, 2009

PUTERI : PASUKAN KHAS KENDALIKAN BLOG

Puteri wujud pasukan khas kendali blog

KUALA KRAI: Puteri Umno akan menubuhkan pasukan khas mengendalikan laman blog bagi menjawab isu dimainkan parti lawan, selain menyampaikan hasrat Kerajaan Pusat dalam memajukan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, menjelang pilihan raya kecil kerusi itu, bulan depan.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin, berkata petugas jentera pergerakan itu juga diminta menjalankan kempen seperti jurujual produk jualan langsung 'barangan' berjenama Barisan Nasional (BN) dalam usaha merampas semula kerusi berkenaan daripada Pas.

"Puteri akan amalkan pendekatan bersifat prihatin dan mesra rakyat dalam usaha mendapatkan sokongan pengundi di Manek Urai, khususnya wanita muda yang jumlahnya dianggar hampir 3,000 orang.

"Selain bergerak dari rumah ke rumah untuk bersemuka dengan kumpulan sasaran ini, kita juga akan memberi fokus terhadap pendekatan alam maya iaitu melalui laman blog yang menjadi medium digemari golongan muda pada masa ini," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata demikian selepas merasmikan Kem Kesihatan Perdana Kuala Krai, yang bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan, di Sekolah Kebangsaan (SK) Manek Urai, di sini, semalam.

Pilihan raya kecil DUN Manek Urai akan diadakan pada 14 Julai ini, manakala hari penamaan calon pada 6 Julai berikutan penyandang kerusi berkenaan, Ismail Yaakob, 60, daripada Pas meninggal kerana komplikasi jantung 22 Mei lalu.

Rosnah berkata, jentera Puteri khususnya 300 petugas tempatan sudah memulakan gerak kerja mendekati hampir 3,000 golongan wanita muda dan pada masa sama, tidak mengabaikan pengundi lain, termasuk wanita dan warga emas.

"Kita juga mengadakan kursus dan program kepemimpinan bagi memberi persediaan secukupnya kepada petugas Puteri yang akan bertungkus-lumus siang dan malam sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil itu nanti," katanya.

(Sumber :- http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Nasional/20090612224257/Article/)

1 comment:

megat said...

salam perjuangan

www.pisau.net