ANDA PELAWAT KE


Sunday, June 14, 2009

PUTERI PIKAT PENGUNDI MUDA

KUALA KRAI 12 Jun - Pergerakan Puteri UMNO akan menggerakkan 300 jentera tempatannya untuk menawan kira-kira 3,000 golongan pengundi wanita muda dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai 14 Julai depan.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin berkata, jentera terbabit akan menggunakan pendekatan mesra rakyat dan alam maya untuk memastikan Barisan Nasional (BN) dapat menawan kembali DUN tersebut.

''Kita akan pastikan semua pengundi wanita muda di DUN ini menyokong BN namun kita juga tidak akan mengabaikan pengundi lain melalui pendekatan kita.

''Satu mesyuarat akan diadakan hari ini yang akan membincangkan strategi kita iaitu melalui pergerakan dari rumah ke rumah dan berkempen menggunakan blog," katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika melakukan lawatan dan memberi sumbangan kepada golongan kurang upaya di Kampung Manek Urai Lama, Kuala Krai di sini hari ini.

DUN tersebut kosong selepas penyandangnya, Ismail Yaacob, meninggal dunia akibat sakit jantung pada 22 Mei lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 6 Julai depan sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan, 14 Julai sebagai hari pembuangan undi.

Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, Mesyuarat Exco Puteri kedua yang akan diadakan di Manek Urai petang ini akan memberi tumpuan mengenai strategi pergerakan jentera yang telah dilantik itu.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0613&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_06.htm&arc=hive)

No comments: