ANDA PELAWAT KE


Tuesday, June 30, 2009

SHAHANIM SUSUR AKAR UMBI

Shahanim susur akar umbi

Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my

Azam perkasakan generasi muda menerusi Puteri Umno

KEHADIRAN wanita dalam politik, selain dipandang remeh, mereka juga dianggap sebagai penyeri suasana semata-mata. Bahkan, lebih memburukkan keadaan, ada antara sesama ahli wanita yang menyertai politik saling tuduh menuduh antara satu sama lain apabila berlaku sesuatu perkara dalam pertubuhan.

Bagaimanapun, bagi mereka yang benar-benar terpanggil menyertai politik kerana perjuangan membangunkan bangsa, tentunya tidak akan membiarkan tanggapan itu melemahkan peribadi diri selain menganggap titik bengik politik wajar ditangani sebaik mungkin sekiranya mereka di atas landasan yang betul.


Tempias fitnah politik sedikit sebanyak terkena kepada Naib Ketua Puteri Umno Malaysia, Shahanim Mohd Yusof yang bukan calang-calang individu boleh menahannya kalau tidak mempunyai semangat juang yang kukuh bagi menghadapi badai politik.

“Saya pernah mengalami fitnah yang hampir mematahkan semangat saya. Pada saat semua anggota Puteri sibuk melakukan tugas masing-masing demi memantapkan perjuangan Puteri pada pemilihan lalu, pelbagai tohmahan dan fitnah diterima, namun ia tidak sedikitpun melemahkan semangat saya untuk bangkit memperjuangkan kebenaran dan menegakkan hak.

“Kata orang, berani kerana benar, takut kerana salah. Bagi saya, fitnah dan tohmahan adalah lumrah dalam politik dan hanya yang cekal mampu bertahan dalam bidang ini.” katanya ketika ditemui di ibu kota, baru-baru ini.

Sehubungan itu, pengalaman berkenaan dianggap satu daripada kerenah kecil yang tidak perlu dilayan, tetapi beliau akui wajar dijadikan batu loncatan untuk membuktikan perjuangannya dalam Puteri tidak bersifat peribadi mahupun mahu meraih perhatian semata-mata.

“Pembabitan saya di dalam politik mungkin boleh dianggap secara kebetulan, tetapi daripada kebetulan itulah menjadi langkah panjang yang lebih serius dan akhirnya meletakkan saya ke dalam situasi yang saya hadapi kini. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

“Saya menyertai Puteri Umno secara kebetulan apabila ada rakan meminta saya membabitkan diri secara serius memandangkan pada ketika itu masih belum ramai pemimpin muda membabitkan diri dengan politik. Pada mulanya saya teragak-agak, tetapi apabila mula membabitkan diri, saya semakin nampak dan memahami hala tuju Puteri,” katanya.

Shahanim yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perbankan memanfaatkan ilmu perbankan sebaik mungkin selepas menceburi bidang politik. Pengalaman bergaul dengan pelanggan ketika bertugas di institusi kewangan ternyata banyak membantu beliau menangani politik semasa dengan baik.

“Keadaan perjuangan semakin jelas apabila saya memenangi jawatan sebagai Naib Ketua Puteri Umno Malaysia. Walaupun Puteri sudah tiga kali bertukar pucuk pimpinan teratas, perjuangan kami adalah seiring. Mana yang baik kita jadikan teladan, yang tidak baik dijadikan sempadan,” katanya.

Akuinya, sesuai dengan nama ‘Puteri’ yang melambangkan satu maksud indah lagi positif, beliau mempunyai misi khusus sejajar dengan tanggungjawab yang terbeban di bahu demi untuk mewujudkan kelompok muda-mudi yang berupaya menjadi pemimpin berkebolehan dalam semua aspek pada masa depan.

“Saya memberanikan diri masuk ke dalam gelanggang politik kerana terpanggil untuk membantu generasi muda dan rakyat bagi mencapai satu kehidupan yang sejahtera seperti memberi pendidikan asas kepada mereka yang memerlukan untuk bekalan masa depan mereka sendiri.

“Saya ingin membentuk generasi muda Umno ke arah yang lebih kukuh dan menarik mereka menyertai Umno, menerima Umno dengan fahaman yang betul. Sehubungan itu, saya mahu mereka mempunyai kesedaran terhadap peranan Umno, masuk ke dalam pertubuhan dan fahami apakah yang diperjuangkan pertubuhan selama ini,” katanya.

Bagi Shahanim, kalau tidak boleh memegang jawatan tinggi sekalipun, sekurang-kurangnya generasi muda mempunyai wawasan dalam hidup, mampu menyara diri dengan selesa selain membantu golongan miskin dan kurang upaya.

Ibarat ular menyusur akar, takkan hilang bisanya dan itulah pegangan ibu kepada empat cahaya mata itu. Beliau akan tetap meneruskan khidmat ‘turun ke akar umbi’ bagi membuktikan Puteri Umno prihatin mengenai mereka yang jauh di pedalaman tanpa menjadikan jarak atau masa adalah halangan bagi membantu masyarakat mengecap kesenangan dalam sebuah negara merdeka.

“Untuk melakukan tugas berkenaan, saya yakin Puteri yang dianggotai wanita mempunyai kekuatan luar biasa kerana kita tahu wanita amat penting dalam komposisi penduduk di Malaysia. Mereka sering dianggap sebagai penyeri, tetapi perlu diingat wanita mempunyai kekuatan sendiri dalam menangani isu politik,” katanya.

Beliau juga menegaskan, akan terus memberikan sokongan yang jitu kepada Ketua Puteri Umno kerana menyedari perjuangan mereka adalah untuk kebaikan sayap itu sendiri.

“Saya yakin Ketua Puteri mempunyai alasan tersendiri dalam setiap tindak-tanduk yang dilakukan. Beliau tahu apa yang beliau lakukan. Saya akan sentiasa memberikan sokongan kepada beliau dalam setiap langkah demi memajukan pergerakan ini dan membangunkan generasi muda kita,” katanya.

Shahanim yang turut membabitkan diri dalam perusahaan bahan api mengakui ada pendapat mengatakan individu yang membabitkan diri dalam politik menjadikan wadah perjuangan politik sebagai asas untuk bertapak lebih kukuh dalam bidang perniagaan.

Hakikatnya, beliau menjadikan perniagaan sebagai tiang untuk menyokong perjuangan dalam parti bagi membantu generasi muda memiliki pengetahuan dalam bidang perniagaan melalui pengalaman yang dikutip sendiri.

“Saya menggunakan modal sendiri membantu mereka yang berminat memulakan perniagaan dengan kadar bayaran balik yang sama jumlahnya. Tiada sebarang bayaran faedah dikenakan, tetapi dengan syarat mereka sanggup memajukan diri dan berusaha keras memastikan perniagaan mereka berjaya.

“Saya sendiri tidak mahu melepaskan peluang perniagaan yang ada kerana yakin dengan kata-kata hadis mengenai sembilan daripada 10 pintu rezeki adalah daripada cabang perniagaan. Jadi, apa salahnya saya memajukan diri sendiri serta membantu mereka yang benar-benar ingin mengubah nasib mereka ke arah yang lebih baik,” katanya.

Beliau juga mengamalkan rezeki yang diperoleh patut dikongsi bersama dengan mereka yang berhak. Justeru, beliau mengamalkan sikap hanya mengambil 1/10 saja daripada apa yang diperoleh kerana menyedari sembilan daripadanya adalah rezeki mereka yang pernah ‘memberi’ kepadanya terdahulu.

“Walau apa sekalipun yang saya pernah dan akan hadapi, saya amat berterima kasih kepada ibu saya serta suami dan anak-anak yang sentiasa memberi sokongan moral. Mereka adalah kekuatan saya. Sikap tenang ibu banyak mempengaruhi saya dalam membuat keputusan dan tanpa restu darinya, saya tidak mungkin setabah ini dalam dunia politik,” katanya.

INFO: Shahanim Mohamad Yusoff

  • Tarikh lahir: 4 Januari 1973
  • Tempat lahir: Sungai Petani,Kedah
  • Umur: 36 Tahun
  • Status Perkahwinan: Berkahwin
  • Nama Suami: Sharizan Salleh
  • Anak: Nurul Shafiqah, Nurul Syazlieyana, Mohamad Shafiq Aiman dan Mohamad Shahir Imran Sharizan.
  • Pencapaian Akademik: Diploma Business Administration , Institut Teknologi Mara (kini UiTM) Arau (PJJ); Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kepujian) BBA Hons Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok.

  • Jawatan disandang: Pengarah Urusan Alam Damai Enterprise dan Rasha Utara Enterprise


Pembabitan dalam politik:
  • 2001 sehingga kini, Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Sungai Petani.
  • 2004 hingga Mac 2009, Ketua Pergerakan Puteri Umno Kedah.
  • 2004 sehingga 25 Mac 2009, Exco Pergerakan Puteri Umno Malaysia.
  • Mac 2008 hingga kini, Ketua Umno Cawangan Sungai Petani Bandar.
  • Mulai 25 Mac 2009, Naib Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia.


Pembabitan lain:
  • 2007 hingga kini, Yang DiPertua Perdasama Negeri Kedah.
  • Penaung Persatuan Kebajikan Pasar Tani Kuala Muda.
  • Pengerusi Persatuan Belia Nur Kasih Kuala Muda
  • AJK Kolej Komuniti Sungai Petani, Kedah


Pencapaian:
  • 2003 - Bintang Kebaktian Masyarakat - BKM oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darulaman sempena ulang tahun Keputeraan Baginda Ke 73.
  • 2005 - Ahli Mahkota Kedah - AMK oleh DYMM Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah Sultan Kedah Darulaman sempena ulang tahun Keputeraan Baginda Ke 77.
  • 2007-Bintang Cemerlang Melaka - BCM oleh Yang DiPertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob sempena Ulang tahun Kelahiran Ke 69
  • 2008- Jaksa Pendamai - JP Oleh DYMM Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah Sultan Kedah Darulaman sempena ulang tahun Keputeraan Baginda Ke 80.
(Sumber :- http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Ratu/20090629072506/Article/)