ANDA PELAWAT KE


Tuesday, July 28, 2009

GADIS PERLU CELIK JENAYAH

ROSMAH Mansor memasukkan duit sebagai tanda perasmian Tabung B2R pada Majlis Pelancaran Banteras Ragut dan Rogol anjuran Puteri UMNO sambil diperhatikan oleh Rosnah Abdul Rashid Shirlin di Dataran Merdeka, semalam.

Oleh ROHANI IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 25 Julai - Generasi muda terutamanya gadis bukan sahaja perlu celik teknologi maklumat tetapi juga celik jenayah, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurutnya, golongan celik jenayah akan menjauhkan mereka daripada menjadi mangsa dengan tidak membiarkan diri, ahli keluarga dan sahabat terdedah kepada kejadian jenayah itu.

Beliau memberitahu, dalam tempoh Januari hingga April tahun ini kes ragut mencatatkan peningkatan sebanyak 99 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

''Peningkatan mendadak kes ragut menimbulkan kebimbangan khususnya tentang keselamatan seharian masyarakat.

''Kebimbangan ini mempunyai asas kerana ada jenayah ragut yang menyebabkan kematian atau cedera parah ke atas mangsa,'' katanya.

Rosmah berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Banteras Ragut dan Rogol (B2R) Puteri UMNO di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Puteri UMNO yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Pada majlis sama, Rosmah turut merasmikan Tabung B2R Puteri UMNO yang ditubuhkan bagi meringankan beban mangsa-mangsa ragut dan rogol.

Tabung berkenaan sudah berjaya mengumpulkan RM129,500 dalam masa dua minggu.

Jelas Rosmah, memandangkan golongan yang sering menjadi mangsa ragut ialah wanita maka mereka perlu dididik untuk melengkapkan diri dengan ilmu pertahanan diri.

''Wanita juga mesti diajar tentang penjagaan keselamatan diri terutamanya ketika berada di tempat awam yang terdedah kepada kemungkinan diragut.

''Begitu juga dengan jenayah rogol. Anak-anak gadis sering menjadi mangsa rogol kerana ditipu dan tertipu oleh janji-janji manis teman lelaki masing-masing,'' katanya.

Sementara Rosnah yang ditemui pemberita selepas majlis itu berkata, B2R akan diluaskan ke seluruh negara melalui kelas seni mempertahankan diri, seminar keselamatan dan aktiviti berjalan kaki di tempat-tempat awam sambil menyebarkan risalah mengenai B2R.

''Sejumlah 500,000 risalah B2R sudah siap untuk diedarkan kepada golongan wanita di tempat-tempat awam seluruh negara.

''Risalah B2R berkenaan memuatkan langkah-langkah awal bagi mengelak jenayah ragut dan rogol serta senarai nombor-nombor telefon polis dan hospital,'' jelasnya.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0726&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm&arc=hive)

No comments: