ANDA PELAWAT KE


Friday, July 24, 2009

Prinsip '6S' amalan Puteri UMNO

KUALA LUMPUR 17 Julai - Ahli-ahli Puteri UMNO diingatkan agar mematuhi enam prinsip ('6S') untuk membantu pucuk pimpinan bagi memulihkan kembali kepercayaan masyarakat terhadap parti itu.

Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof berkata, prinsip itu adalah sayang kepada parti, setia pemimpin dan setiakawan, semangat berpasukan, selalu bersama dengan golongan muda, bersungguh-sungguh membuat program dan senyum selalu.

Menurut beliau, keenam-enam prinsip tersebut akan membantu menjayakan aspirasi pucuk pimpinan.

''Setiap anggota Puteri UMNO harus memupuk keenam-enam prinsip di sanubari masing-masing untuk menjayakan hasrat pucuk pimpinan demi masa depan negara,'' katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras di sini hari ini.

Beliau mewakili Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin bagi merasmikan persidangan tersebut.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras merangkap Ketua Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Sarina Sharif.

Kira-kira 100 perwakilan dari 21 cawangan hadir ke persidangan tahunan tersebut.

Dalam pada itu, Shahanim berkata, pergerakan itu harus menitikberatkan aspek ilmu dan patut meluangkan masa untuk menambahkan ilmu pengetahuan.

''Ketika mengadakan sesuatu acara atau majlis, anda boleh meluangkan masa kira-kira dua jam untuk mengadakan kursus seperti biro tatanegara,'' jelasnya.

Tambah beliau, berpolitik macam manapun, Puteri-Puteri UMNO harus memberi keutamaan kepada suami dan keluarga masing-masing.

''Keluarga adalah keutamaan kita. Itulah harta kita,'' jelasnya.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0718&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_05.htm&arc=hive)

No comments: