ANDA PELAWAT KE


Thursday, July 9, 2009

Puteri UMNO: Tambat hati pengundi

KUALA LUMPUR 7 Julai - Jentera Barisan Nasional (BN) perlu berusaha bersungguh menambat hati pengundi muda pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai jika mahu merobohkan kubu Pas di situ.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin berkata, secara dasarnya pihaknya tidak mahu terlalu yakin untuk menakluki kubu Pas itu tetapi usaha bersungguh-sungguh perlu ditunjukkan oleh jentera BN.

Katanya, BN masih mempunyai harapan untuk memenangi pilihan raya kecil itu kerana angin perubahan telah dilihat berlaku di Kelantan dan diharap ia menjadi realiti.

"Kita melihat angin perubahan berlaku di situ terutama dengan penerimaan pengundi muda terhadap calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, yang dilihat sebagai calon rakyat yang dekat di hati pengundi di Manek Urai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan kanan Kumpulan Utusan di sini hari ini.

Turut hadir pada pertemuan selama satu setengah jam yang berkisar kerjasama dan hubungan media dengan Puteri UMNO dalam menangani masalah masyarakat ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak, timbalannya Othman Mohamad; Penolong Ketua Pengarang 2, Ahmad Abdul Hamid dan Pengarang Berita Kanan, Zulkifli Hamzah.

Sementara itu pergerakan Puteri turut disertai ketua penerangannya Nordiana Shafie; Ketua Puteri Wilayah Persekutuan, Sarina Sharif; Penolong Setiausaha, Nor Azita Abdul Rahman dan Ketua Puteri Gelang Patah merangkap Setiausaha Kerja, Radin Seri Kartini Abdullah dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Syarifah Nazira Syed Basir Ahmad.

Rombongan Puteri itu turut menerima cenderamata berupa gambar barisan pemimpin Puteri yang dibingkaikan Mohamed Hashim.

Rosnah juga memberitahu, pergerakan Puteri UMNO di Manek Urai telah menjalankan program dan pendekatan yang diterima oleh penduduk setempat sejak wakil rakyat Pas Ismail Yaakob meninggal dunia 22 Mei lalu.

Katanya, jentera Barisan Nasional (BN) mempunyai komitmen tinggi untuk memenangi pilihan raya kecil DUN Manek Urai kali ini.

Rosnah berkata, program Doktor Turun Desa Bersama Puteri yang dijalankan hampir setiap hari mulai 27 Jun lalu telah mendapat sambutan daripada penduduk Manek Urai.

Sementara itu ujarnya, program tata rias untuk golongan wanita bersolek dan bertudung dengan cara yang menarik juga telah dilaksanakan lebih awal dari 27 Jun.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0708&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_07.htm&arc=hive)

No comments: