ANDA PELAWAT KE


Sunday, July 12, 2009

TAHNIAH... Senator Datuk Armani Mahiruddin

Pelantikan Armani memang dinantikan golongan wanita

KUALA LUMPUR 10 Julai - Pelantikan Senator Datuk Armani Mahiruddin sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, wanita pertama menyandang jawatan itu, membuktikan kerajaan mengiktiraf wanita untuk menduduki jawatan tinggi sebagai pembuat keputusan.

Pergerakan Wanita UMNO, Puteri UMNO dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) juga menyifatkan wanita sentiasa bersedia menerima tanggung jawab berat jika diberi peluang.

Pada masa yang sama, ketiga-tiga pertubuhan itu berharap kerajaan melantik lebih ramai wanita menduduki jawatan yang boleh pembuat keputusan bagi memenuhi sasaran 30 peratus yang ditetapkan sekian lama.

Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Maznah Mazlan berkata, wanita boleh diintegrasikan dalam semua bidang arus perdana sekiranya lebih ramai golongan itu diberi peluang menduduki jawatan penting.

Beliau berkata, isu-isu berkaitan wanita, kekeluargaan dan kesihatan boleh diketengahkan jika ramai wanita menduduki jawatan pembuat keputusan dalam kerajaan.

"Saya yakin Armani dapat menjalankan tugasnya dengan baik berikutan pengalamannya sebagai ahli Dewan Negara sejak sekian lama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Maznah mengulas pelantikan Armani yang juga Exco Wanita UMNO sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara semalam.

Dalam pada itu, beliau berharap pelantikan Armani menyuntik semangat wanita lain untuk membuat persediaan memikul jawatan berat jika diberi peluang.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula berpendapat, pelantikan Armani itu membuktikan kerajaan prihatin dengan peranan wanita sekali gus memberi kepercayaan kepada mereka memegang jawatan pembuat keputusan.

"Saya harap lebih banyak jawatan penting diberi kepada wanita bukan sebagai memenuhi kuota semata-mata tetapi kerana kemampuan dan kredibiliti mereka.

"Sebagai anak Sabah, saya turut berbangga dengan Armani selaku Ketua Wanita UMNO Sabah dilantik memegang jawatan penting itu," katanya.

Pelantikan ini, ujarnya, sekali gus menafikan dakwaan parti pembangkang bahawa Sabah dipinggirkan.

Sementara itu, Presiden WAO, Meera Samanther berkata, pelantikan wanita menduduki jawatan penting itu memang dinantikan memandangkan jumlah penduduk wanita hampir sama dengan lelaki dengan kadar 50 peratus daripada 27 juta rakyat negara ini.

Pelantikan itu, jelasnya, membuktikan usaha kerajaan ke arah memenuhi Konvensyen CEDAW yang ditandatangani untuk menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita.

"Kita juga mahu suara wanita didengar lebih lantang di Parlimen dan untuk itu memerlukan mereka bertanding dalam pilihan raya umum di kawasan yang boleh mereka menang," katanya.

Meera juga berharap Armani melaksanakan tugasnya dengan baik dan adil tanpa mengira jantina.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0711&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm&arc=hive)

No comments: