ANDA PELAWAT KE


Sunday, July 19, 2009

UMNO TIDAK TERKEJUT

UMNO tidak terkejut

KLUANG 18 Julai - Tindakan bekas Ketua MCA Bahagian Bakri, Datuk Chua Jui Meng menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mengejutkan UMNO.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebaliknya berkata, perkara itu telah dijangka ekoran beberapa kenyataan yang dibuat oleh Jui Meng sebelum ini.

''Itu haknya dan bagi saya ia tidak mengejutkan kerana telah dijangka beliau akan memasuki PKR setelah tiada tempat dalam MCA dan tidak lagi memimpin Bahagian Bakri," katanya.

Beliau diminta mengulas pengumuman Jui Meng untuk menyertai PKR pada satu forum anjuran PKR yang turut dihadiri Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri serta Ahli Parlimen Sembrong melancarkan Kepolisan Komuniti Daerah Kluang, di Sekolah Kebangsaan LKTP Ulu Belitong, Bukit Tongkat, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff dan timbalannya, Datuk Jalalluddin Abdul Rahman.

Menurut Hishammuddin, kemasukan bekas pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) ke dalam parti pembangkang bukan perkara ganjil.

''Sebelum ini, banyak bekas menteri yang pernah keluar dan masuk PKR dan itu hak mereka," katanya.

Ditanya adakah tindakan Jui Meng itu akan menjejaskan BN, beliau berkata, masa akan menentukan sama ada keputusan itu tepat atau tidak.

''Kekuatan BN khususnya UMNO tidak berkisar kepada individu atau personaliti seseorang, sebaliknya ia berpegang kepada perjuangan setiap anggota parti," katanya.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm)

No comments: