ANDA PELAWAT KE


Tuesday, August 11, 2009

Wanita berperanan tangani dadah

KANGAR 9 Ogos - Kerajaan negeri berharap golongan wanita akan memainkan peranan yang penting dalam menangani isu penagihan dadah dalam masyarakat.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, golongan wanita dilihat mampu melaksanakan tugas itu kerana mempunyai ketahanan diri yang kuat dan lebih dekat dengan anak-anak serta suami masing-masing.

Katanya, kajian secara ilmiah membuktikan golongan wanita mempunyai ketahanan diri lebih kuat berbanding lelaki.

"Penglibatan golongan wanita ini adalah sebahagian program yang dilihat mampu mempercepatkan matlamat sifar dadah menjelang tahun 2015.

"Golongan wanita ini akan diberikan ceramah secara berterusan berkaitan penyalahgunaan dadah bagi mereka mengetahui sekiranya ahli keluarga mereka terlibat dalam kegiatan tersebut," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program sambutan Hari Anti Dadah Antarabangsa peringkat Perlis di Padang Awam Simpang Sanglang di sini.

Dalam program itu pelbagai aktiviti diadakan termasuk pertandingan futsal, bola jaring, karnival jualan dan pameran oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Beliau turut melancarkan Masyarakat Wanita Antidadah (Mawadah) peringkat Perlis.

Md. Isa memberitahu, bagi meluaskan lagi penglibatan wanita dalam Mawardah kemungkinan beliau akan mencadangkan agar Wanita UMNO dan Puteri UMNO terlibat dalam program tersebut.

"Usaha menangani penyalahgunaan dadah ini bukan saja tugas AADK tetapi melibatkan penglibatan masyarakat secara keseluruhan.

"Dalam hal ini masyarakat perlu mengambil tindakan positif dalam menangani isu dadah, bukan hanya menyalahkan mereka yang terjebak dalam penggunaan dadah sahaja," ujarnya.

Tambahnya, pada masa ini ada masyarakat yang hanya mencerca dan 'membawa mulut' mengenai seseorang anggota masyarakat yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah tanpa mengambil tindakan positif bagi menanganinya.

"Sebaik-baiknya jika masyarakat mengetahui ada individu setempat yang terlibat dadah mereka perlu menghubungi pihak terlibat bagi memberikan mereka pemulihan daripada terus terbelenggu dengan najis dadah.

"Program ini juga perlu menjadi hasrat bersama bukan sahaja terletak di bahu AADK atau kerajaan negeri," tegasnya.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0810&pub=utusan_malaysia&sec=Utara&pg=wu_07.htm&arc=hive)