ANDA PELAWAT KE


Thursday, September 3, 2009

Keputusan SPR adil

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh sebagai milik Barisan Nasional (BN) berlandaskan keadilan dan selaras dengan perundangan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, keputusan yang dibuat SPR itu merupakan satu perkembangan yang memihak kepada perhitungan perundangan.

Menurutnya, keputusan tersebut jelas menunjukkan SPR telah melakukan tugas yang teliti sebelum mengumumkan keputusan itu.

"Sehubungan itu, jentera Barisan Nasional (BN) di Kedah terutamanya Datuk Abu Hasan Sarif perlu menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan untuk membuktikan wakil BN mendapat kepercayaan rakyat.

"Mereka harus bekerja keras dengan mengutamakan kebajikan rakyat berteraskan pada prinsip 1Malaysia bagi menunjukkan bahawa BN lebih berpotensi daripada parti pembangkang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan SPR yang mengekalkan kerusi DUN Kota Siputeh milik Abu Hasan sekali gus menamatkan spekulasi kemungkinan berlakunya satu lagi pilihan raya kecil.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, SPR telah membuat pertimbangan berdasarkan prinsip keadilan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.

"Bagi pihak BN, kita memanjatkan kesyukuran kerana SPR telah menerima alasan yang dikemukakan," katanya.

Beliau berkata, amalan mengosongkan kerusi seharusnya dihentikan kerana terlalu banyak pilihan raya kecil boleh membantutkan usaha ke arah memanfaatkan kebajikan rakyat.

"Sekiranya ia dilaksanakan atas dasar kematian seseorang ADUN, sememangnya ia tidak boleh dipertikaikan.

"Tetapi sekiranya pilihan raya kecil diadakan terlalu kerap, rakyat pun akan terasa bosan," katanya.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0902&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_07.htm&arc=hive)

No comments: