ANDA PELAWAT KE


Friday, November 13, 2009

Ahli Puteri diingat jangan abai ibu bapa

TAIPING 8 Nov. - Ahli-Ahli Puteri UMNO di negeri ini diingatkan supaya tidak mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa masing-masing.

Ketua Puteri UMNO Perak, Salbiah Mohamad berkata, pengabaian tanggungjawab itu akan menyebabkan kebajikan ibu bapa terbiar sehingga ada yang terpaksa dihantar ke rumah orang tua.

Tegas beliau, sikap membiarkan ibu bapa tanpa penjagaan sewajarnya adalah salah satu bentuk penderhakaan yang tidak seharusnya berlaku.

"Kita mengenal pasti ibu bapa yang terbiar di rumah orang tua dan keadaan itu berlaku kerana anak-anak lebih mengutamakan keluarga sendiri berbanding ibu yang melahirkan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Sehari Bersama Warga Seri Kenangan di Rumah Seri Kenangan di sini, kelmarin.

Program tersebut dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Taiping, Datuk Ahmad Salimin Ahmad Shafie.

Ia bertujuan menanam sikap prihatin di kalangan ahli Pergerakan Puteri UMNO terhadap warga tua yang memerlukan bantuan di samping memenuhi tanggungjawab sosial terhadap golongan itu.

Salbiah yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Gerik berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu golongan tua di sini kerana menyedari masyarakat semakin mengabaikan tanggungjawab mereka.

"Saya harap pengalaman ini akan dijadikan panduan untuk ahli-ahli Puteri mengamalkan sikap kasih sayang terhadap orang-orang tua," ujarnya.

Tambah beliau, konsep kasih sayang terhadap kedua-dua ibu bapa adalah penting kerana ia juga merupakan tunjang keharmonian sesebuah keluarga.

0 comments: