ANDA PELAWAT KE


Friday, January 30, 2009

PEMBESARAN LEMBAGA DISIPLIN PARTI

Badan Disiplin diperbesar

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan untuk membesarkan Lembaga Disiplin parti itu bagi menangani gejala politik wang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT yang berlarutan lebih tiga jam malam ini berkata, pembesaran lembaga itu akan melibatkan penambahan anggota.

‘‘Ini supaya kes yang dilaporkan dapat diberi perhatian dan diperkembangkan serta keputusan mengenainya akan dapat dibuat dengan secepat mungkin,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan ahli-ahli UMNO bahawa politik wang adalah tidak baik dan perlu dielakkan.

Mengenai laporan post mortem Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Abdullah berkata, ia masih perlu diperincikan lebih lanjut lagi oleh Jawatankuasa Pengurusan UMNO.

Katanya, MT malam ini turut merakamkan ucapan terima kasih kepada jentera parti di seluruh negara yang membantu sewaktu pilihan raya tersebut.

‘‘Laporan itu tebal juga, nanti kemudian kita akan bagi tahu. Laporan post mortem mengenainya akan diperhalusi oleh Jawatankuasa Pengurusan,” jelasnya.

Mengenai dengan program pemukiman UMNO tidak lama dahulu, Abdullah berkata, banyak pandangan yang dibincangkan akan diputuskan pelaksanaannya dalam tempoh dua bulan menjelang perhimpunan agung UMNO.

‘‘Banyak perkara sebenarnya.Jadi elok bila bermula sekarang, semua itu akan berjalan dengan lebih cepat

‘‘Masa dulu ada bincang pengundian, kuota dan pendekatan yang baik. Kajian itu perlu diperhalusi dan boleh dilaksanakan dengan cepat selepas pemilihan,” katanya.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm)

Wednesday, January 28, 2009

BUBARKAN PUTERI? BIAR BETUL!!!

Bubarkan sayap UMNO - Rithauddeen

28/01/2009 2:30pm

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mahu organisasi UMNO disusun semula iaitu dengan membubarkan kesemua sayap parti termasuk Putera UMNO.

Beliau yakin melalui langkah tersebut ia mampu membanteras gejala politik wang yang kini masih lagi berleluasa terutama pada musim pemilihan parti. - Utusan

(Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_08.htm)

UMNO : UNDANG-UNDANG LOMPAT PARTI?

Undang-undang antilompat parti perlu diperkenalkan

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan satu bentuk undang-undang yang boleh menyekat wakil rakyat daripada melompat parti bagi memastikan amalan politik di Malaysia lebih bermoral.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perkara itu pernah dibangkitkan di Parlimen dan beliau sendiri pernah membahaskannya pada November tahun lalu berikutan wujud gerakan mempengaruhi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menyertai parti pembangkang.

Katanya, walaupun usaha yang dilakukan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan tidak mendapat sambutan tetapi akhirnya seorang wakil rakyat BN, Datuk Nasaruddin Hashim kelmarin berjaya dipujuk untuk menyertai pakatan pembangkang.

''Kerajaan perlu memandang serius tentang perkembangan ini. Jika undang-undang tersebut tidak digubal segera ia akan menyebabkan amalan berpolitik di Malaysia akan tercemar dengan perbuatan khianat (kepada pengundi).

''Saya sedia memperjuangkan penggubalan undang-undang ini di Parlimen. Saya terdorong untuk berbuat demikian kerana saya juga adalah antara Ahli Parlimen yang cuba dipengaruhi oleh Anwar,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Nasaruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota meninggalkan BN dan UMNO untuk menyertai PKR.

Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan Puteri UMNO, Datuk Shahaniza Shamsuddin juga mahu kerajaan memikirkan secara serius mengenai cadangan memperkenalkan undang-undang antilompat parti.

''Dengan adanya peraturan ini ia dapat mencegah wakil rakyat melompat daripada satu parti ke satu parti kerana amalan seperti ini jika dibiarkan boleh merosakkan sistem politik negara,'' katanya.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm)

Wednesday, January 21, 2009

UMNO perlu mesra rakyat - Najib

PUTRAJAYA 20 Jan. - Imej positif dan mesra rakyat merupakan pendekatan baru UMNO bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu khususnya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO menjelaskan, imej negatif dan sikap pemimpin parti yang kurang mesra dengan pengundi terutama di peringkat akar umbi antara faktor kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

"Kita mesti tampil dengan imej bersama nilai-nilai baik dan positif. Saya selalu tekankan bahawa kita kena mesra rakyat di semua peringkat, bukan atasan saja.

"Dari kaca mata rakyat di peringkat akar umbi, mereka menilai UMNO berdasarkan interaksi dengan pemimpin," katanya.

(Sumber : Oleh ZABRY MOHAMAD, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm)

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan dokumen perjanjian bagi penstrukturan semula perkhidmatan pembekalan air Negeri Sembilan di sini hari ini.

Semalam, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu perlu segera melakukan perubahan radikal bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu yang hilang daya tarikan dan bagi membolehkannya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menurut Muhyiddin, langkah tersebut perlu kerana UMNO kini dibelenggu pelbagai persepsi negatif yang dilontarkan kepada parti itu.

Najib memberitahu, kekalahan BN pada Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu baru-baru ini seharusnya diinsafi semua pemimpin serta ahli UMNO dan mereka perlu bermuhasabah.

Mengulas mengenai tiga ahli UMNO yang akan didakwa di mahkamah Khamis ini kerana kes rasuah ketika pemilihan parti bahagian tahun lalu, beliau menjelaskan, ia tindakan tepat kerana undang-undang seharusnya dihormati oleh semua pihak.

Tuesday, January 20, 2009

UMNO PERLU ADA "WOW FACTOR"

‘UMNO hilang daya tarikan’

MANAMA (Bahrain) 19 Jan. – UMNO perlu segera melakukan perubahan radikal bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti itu yang sudah hilang daya tarikan serta membolehkannya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut perlu kerana UMNO kini dibelenggu oleh pelbagai persepsi negatif yang dilontarkan terhadap parti itu.

“Kita perlu ada wow factor (daya tarikan) supaya pengundi kembali kepada kita. Kini kita kehilangan faktor itu dan kita perlu mencari jalan untuk mendapatkan ia kembali.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan Datuk Seri Najib Razak sebagai penggantinya perlu melakukan perubahan secara radikal terhadap UMNO,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau yang berada di sini dalam lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengulas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu pada Sabtu lalu.

Pada pertandingan tiga penjuru itu, calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut yang memperolehi 32,883 undi menang dengan majoriti 2,631 undi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (30,252), manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya meraih 193 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.

Muhyiddin juga menegaskan bahawa UMNO sehingga kini masih belum membuat sebarang perubahan walaupun rakyat sudah memberi isyarat jelas supaya parti itu berubah segera.

“Persepsi terhadap UMNO tetap tidak berubah, kita dianggap parti yang sombong, memikirkan kepentingan sendiri serta tidak mendekati rakyat.

“Walaupun saya tidak kata ia betul, tetapi itu adalah persepsi rakyat. Persepsi itu penting kerana ia mempengaruhi rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, UMNO perlu ada penjenamaan semula iaitu kembali kepada cita rasa rakyat tanpa mengorbankan prinsip parti.

(Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm)

Monday, January 19, 2009

BN MUNGKIN MENANG JIKA...

BN mungkin menang jika pengundi luar balik mengundi

MELAKA 18 Jan. - Barisan Nasional (BN) mungkin mampu mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu sekiranya semua pengundi kawasan tersebut yang tinggal di luar, pulang pada hari pembuangan undi semalam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, faktor tersebut menjadi antara penyebab kekalahan BN kepada Pas dengan majoriti 2,631 undi.

Beliau berkata, pada pilihan raya kecil kali ini, peratusan yang keluar mengundi hanya 79 peratus sahaja berbanding 83 peratus pada 2004.

"Ini bermakna, pengundi berkurangan sebanyak empat peratus, iaitu kira-kira 3,000 pengundi dan kalau semua ini penyokong BN, tentu kita akan menang," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Perkhidmatan Ambulans Kecemasan 24 Jam St. John Ambulans Malaysia cawangan Melaka di sini hari ini.

Jumlah keluar mengundi ialah 63,993 pengundi atau 79.9 peratus daripada 80,229 pengundi berdaftar.

Ia jauh lebih rendah berbanding pilihan raya umum pada 8 Mac tahun lalu yang menyaksikan 82.45 peratus atau 66,231 orang keluar mengundi.

Mohd. Ali menambah, faktor lain yang menjadi punca kekalahan ialah BN terlalu bermurah hati dengan melaksanakan pelbagai pembangunan di negeri itu.

"Pas sebenarnya mahukan pembangunan tetapi mereka suruh orang BN yang buat dan nampaknya pembangunan bukan lagi menjadi perkara terbaik perlu dilakukan BN," katanya.

Dalam nada menyindir Mohd. Ali berkata, BN juga perlu menjadi seperti Pas yang suka menabur janji-janji kosong setiap kali pilihan raya kecil diadakan asalkan mengundi parti itu boleh masuk syurga.

"Saya hairan, mengapa mereka percaya pada Pas yang tidak buat apa-apa kerja tapi menjanjikan syurga dan menolak BN yang banyak membuat pembangunan di sana," katanya.

(Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm)

Saturday, January 17, 2009

JOM UNDI!


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat petugas Barisan Nasional di Sekolah Kebangsaan Kuala Ibai, Kuala Terengganu. - Foto Hasan Ismail.
Jan 17, 2009 11:30 am

(
Sumber : http://www.bharian.com.my)

JANGAN LEKA PUTERI!

Puteri UMNO diingatkan tidak leka

KUALA TERENGGANU 14 Jan. - Jentera Pergerakan Puteri UMNO diingatkan supaya tidak leka dengan suasana 'tenang' kempen Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, sebaliknya menggiatkan usaha merayu undi bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN), 17 Januari ini.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, walaupun kempen di Kuala Terengganu agak tenang berbanding di Permatang Pauh, tidak bermakna Puteri UMNO boleh mengambil sikap sambil lewa.

''Sehingga kini semua arahan dan koordinasi kerja dipatuhi. Komitmen ini perlu diteruskan sehingga hari pengundian," ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata demikian selepas merasmikan Seminar Latihan Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di sini hari ini.

Beliau sekali lagi mengingatkan calon yang akan bertanding pada pemilihan parti Mac ini supaya tidak menjadikan tempoh kempen ini sebagai landasan untuk menonjolkan diri.

Katanya, kedatangan mereka ke Kuala Terengganu adalah untuk membantu jentera parti memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

(Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0115&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_08.htm&arc=hive)

Wednesday, January 14, 2009

PERANAN GOLONGAN PENGUNDI MUDA

FAKTOR PENGUNDI MUDA

TERLALU banyak yang diperkatakan mengenai Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu. Ramalan tentang parti mana yang bakal berjaya menambat hati pengundi di kawasan tersebut juga tidak kurang hebatnya.

Setiap parti yang meletakkan calon di kawasan yang disandang oleh Barisan Nasional (BN) itu mempunyai bacaan tersendiri. Sama ada bacaan itu memihak kepada mereka atau sebaliknya, hanya pengundi-pengundi di situ tahu jawapannya.

Kuasa pengundi di Kuala Terengganu kini amat tinggi nilainya. 'Pembeli undi' iaitu parti-parti yang bertanding sanggup menawarkan apa sahaja termasuk harga yang tinggi untuk memastikan kemenangan menjadi milik calon masing-masing.

Namun bagi penduduk di kawasan itu, janji manis mungkin bukan nilai satu undi yang bakal dimasukkan ke dalam peti undi pada hari pengundian kelak. Nilai undi mereka semestinya melebihi paras janji.

Sebaliknya sejauh mana pembangunan fizikal dan rohani yang telah dilaksanakan oleh wakil-wakil rakyat sebelum ini semestinya menjadi kayu pengukur yang bakal menentukan hala tuju serta masa depan penduduk di situ.

Ketika tempoh berkempen tinggal tiga hari lagi, kesemua petugas pilihan raya bersengkang mata untuk memastikan kemenangan memihak kepada parti yang diwakili.

Tumpuan kempen kini amat berpusat kepada akar umbi dengan pendekatan memenangi hati rakyat diberi keutamaan oleh setiap calon yang bertanding.

Kawasan pengundi yang dibahagikan kepada tiga. Jika di awal tempoh berkempen tertumpu di tiga kawasan - hitam, kelabu dan putih - tetapi baki 72 jam menyaksikan pemusatan kempen di kawasan kelabu dan putih.

Pengundi tegar yang termasuk dalam kategori hitam tidak akan berganjak daripada pendirian masing-masing iaitu hanya satu calon di hati mereka. Dan sokongan mereka kepada calon berkenaan amat jelas, tidak berselindung dan diketahui umum.

Manakala pengundi di kawasan kelabu yang kebiasaannya dijernihkan daripada warna hitam menawarkan undi yang tidak kurang pentingnya.

Kumpulan ini yang juga dikenali sebagai pengundi atas pagar menjadi tumpuan parti-parti bertanding kerana mereka adalah faktor penentu kalah menang.

Hakikatnya kumpulan kelabu mempunyai bargaining power yang bukan sedikit. Kadang-kadang jika dituruti pun kemahuan mereka belum tentu undi akan memihak kepada parti yang berkenaan. Apatah lagi jika keperluan mereka tidak dipenuhi, sebab itu hati pengundi dalam kumpulan kelabu dijaga rapi dan disentuh secara amat berhati-hati.

Sebab itu tempoh tiga hari sebelum berlangsungnya pilihan raya kecil berikutan kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail 28 November lalu itu disifatkan sebagai amat genting kepada setiap calon yang bertanding.

Kegentingan itu berlaku terutamanya jika bacaan awal parti-parti menunjukkan kemenangan mungkin tidak memihak kepada mereka. Lantas tumpuan ke atas kawasan putih yang sebelum ini tidak dibimbangi akan ditingkatkan berkali ganda supaya kelak tidak terjadi seperti 'yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran'.

Satu fakta yang mungkin kurang diberi perhatian ialah pengaruh pengundi muda. Hakikat bahawa kemerosotan prestasi BN dalam Pilihan Raya Umum Mac tahun lalu banyak dipengaruhi oleh undi pengundi muda yang sarat dengan idealisme sehingga boleh saja memberi kesan kepada pembentukan sebuah kerajaan baik di peringkat Persekutuan mahu pun negeri.

Perjuangan

Keadaan yang sama boleh saja berlaku di Kuala Terengganu kerana daripada 80,229 pengundi di situ, sebanyak 37,538 adalah pengundi muda yang aspirasi serta perjuangan mereka amat bertunjangkan darah muda sekali gus membuat keputusan mengikut mata dan bukannya akal.

Kebimbangan mengenai pengaruh pengundi kategori itu mesti diberi perhatian oleh BN agar pesona yang bakal ditunjukkan oleh pengundi muda di Kuala Terengganu tidak mengulangi sejarah pahit Mac 2008. Dan ia bukan sesuatu yang mustahil di sebalik kerja keras Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO mendekati kumpulan tersebut sepanjang berlangsungnya kempen.

Maklumat awal menunjukkan pengundi muda di Kuala Terengganu masih tercari-cari hala tuju. Oleh itu parti yang mampu mengisi kekosongan serta keinginan mereka yang dikatakan tidak begitu diberi perhatian sebelum ini mesti diambil kira oleh calon-calon yang bertanding.

Cabaran untuk memenangi hati pengundi muda juga amat berat didorong oleh keghairahan golongan yang bermindakan teknologi maklumat itu untuk percaya cerita-cerita yang dibaca di Internet.

Dengan penambahan dakyah-dakyah pembangkang, khabar yang belum dapat dipastikan kesahihannya itu meresapi minda pengundi muda sehingga boleh sahaja mempengaruhi keputusan mereka kelak.

Lebih daripada itu, kaedah mendekati generasi muda tidak boleh tertumpu kepada pengundi muda bangsa Melayu semata-mata kerana yang mengundi di Kuala Terengganu juga terdiri daripada belia pelbagai bangsa yang juga memerlukan perhatian kerajaan.

Apatah lagi pengaruh undi bukan Melayu menjadi faktor penentu kemenangan calon sama ada yang mewakili BN, pembangkang mahupun calon Bebas yang bertanding di Kuala Terengganu.

Dan jika selama ini kerajaan BN sememangnya menjalankan tanggungjawab memenuhi keperluan generasi muda di kawasan itu maka kebimbangan tidak mendapat sokongan mereka mungkin dapat diminimumkan.

Sebaliknya jika anak-anak muda di Kuala Terengganu berasa mereka tidak diberi perhatian termasuk dari aspek penyediaan kemudahan fizikal untuk aktiviti harian maka renung juga jawapannya.

Bagi pengundi muda, jika calon BN yang menjadi pilihan maka fikirkanlah kemudahan yang boleh didesak untuk diadakan pada masa depan jika ia tidak disediakan pada hari ini.

Tetapi sebaliknya jika pembangkang yang dipilih untuk menaungi kawasan Parlimen itu maka perbandingan boleh dibuat dengan kawasan-kawasan lain di bawah teraju pembangkang sejauh mana keperluan golongan muda diberi perhatian.

(Sumber : Oleh NORAINI ABD. RAZAK
(WARTAWAN UTUSAN, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0114&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm&arc=hive)

Monday, January 12, 2009

PROJEK PEMBANGUNAN BUKAN RASUAH

Projek Bukan Bertujuan Raih Undi, Kata Najib

KUALA TERENGGANU, 10 Jan (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan dakwaan pembangkang kononnya peruntukan yang disalur bagi melaksanakan pelbagai projek di sini bertujuan untuk memancing undi bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata pelaksanaan projek-projek itu sebenarnya sudah termasuk dalam pelan pakej rangsangan fiskal yang diumumkannya, sebelum Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail yang juga anggota parlimen Kuala Terengganu, meninggal dunia pada 28 Nov lepas.

"Tidak, ia tidak rasuah. Sebab apa yang dibuat sehari dua ini (di sini), adalah sebahagian daripada projek pakej rangsangan fiskal yang saya umumkan di Dewan Rakyat pada 4 Nov lepas.

"Jadi bagaimana ini boleh dikatakan ada kaitan dengan pilihan raya kecil di sini," katanya ketika diminta mengulas dakwaan beberapa pemimpin pembangkang dalam ceramah mereka di sini, bahawa projek-projek yang dilaksanakan kerajaan di sini, sebagai rasuah politik.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan mesra bersama imam, bilal dan anggota jawatankuasa masjid dan surau daerah Kuala Terengganu serta penyerahan cek bantuan kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di sini, Sabtu.

Turut hadir, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek, calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Mengulas lanjut, Najib berkata projek yang dilaksanakan di bawah pakej rangsangan fiskal itu, sebenarnya meliputi bantuan bukan sahaja kepada daerah Kuala Terengganu atau Terengganu malah untuk seluruh negara.

"Jadi, itu bukanlah pembelian undi tetapi cuma pelaksanaan yang sudah ditentukan untuk dilaksanakan Januari ini... sebelum Allahyarham Datuk Razali meninggal dunia lagi.

"Jadi saya nak nyatakan kedua-dua program ini, iaitu pagi tadi saya lancar pengundian Projek Kecil Projek Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) daerah Kuala Terengganu Tahun 2009 serta bantuan kepada sekolah agama bantuan kerajaan merupakan sebahagian daripada projek rancangan fiskal," katanya.

-- BERNAMA (Sumber :- http://www.bernama.com.my/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=382840)

Friday, January 9, 2009

CALON PUTERI : JANGAN SALAH GUNA KEMPEN DI K.T

Ahli Puteri diingat jangan salah guna kempen

KUALA TERENGGANU – Pemimpin dan ahli Puteri UMNO yang terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diingatkan supaya tidak menggunakan tempoh berkenaan untuk mempromosikan diri sendiri bagi menghadapi pemilihan parti pada Mac tahun depan.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, mereka sepatutnya menumpukan perhatian kepada pilihan raya kecil yang akan berlangsung pada 17 Januari ini bagi memastikan kemenangan memihak kepada calon Barisan Nasional (BN).

“Mereka yang akan ‘turun padang' ke Kuala Terengganu diharap tidak mengambil kesempatan itu dengan bertemu akar umbi untuk berkempen mengenai pemilihan parti.

“Ini bukan masanya untuk berkempen mengenai pemilihan parti, sebaliknya kita perlu memberi tumpuan bagaimana mahu menarik generasi muda untuk menyokong calon BN,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini hari ini.

Noraini memberitahu, jentera parti dari Pantai Timur dan Sabah akan ‘berkampung' di Kuala Terengganu dengan diketuai Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin bagi membantu jentera BN meraih undi dalam pilihan raya kecil itu.

Bagaimanapun, jelasnya, jentera parti cawangan-cawangan Kuala Terengganu akan mendahului dalam berkempen kerana mereka lebih mengenali dan memahami penduduk di kawasan Parlimen berkenaan.

Mengulas mengenai tindakan bagi mengelak kejadian tidak diingini melibatkan ahli-ahli Puteri UMNO seperti yang berlaku pada pilihan raya kecil di Permatang Pauh tahun lepas, beliau berkata, beberapa pendekatan keselamatan telah diambil.

“Saya telah mengarahkan ahli-ahli parti supaya bergerak secara berkumpulan dan bukannya individu ketika berkempen.

“Selain itu, ahli-ahli Puteri UMNO juga akan bergerak bersama ahli-ahli Pemuda UMNO dan Wanita UMNO bagi memastikan keselamatan mereka terjamin,” tambahnya.

Beliau berharap parti-parti yang terlibat dalam pilihan raya kecil itu akan berkempen secara berhemah.

(Sumber :- 13/12 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1213&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_07.htm&arc=hive)

ARTIKEL 13 KONVENSYEN HAK KANAK-KANAK

Jangan berselindung di sebalik Artikel 13

Pergerakan Puteri UMNO membidas pertubuhan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) yang cuba menegakkan kebenaran dalam isu menggunakan kanak-kanak bagi kempen Rakyat Pengayuh Perubahan, baru-baru ini.

Naib Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pertubuhan itu tidak layak untuk berselindung di sebalik Artikel 13 Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) bagi menghalalkan tindakan mereka mengeksploitasikan kanak-kanak.

Menurut beliau, artikel tersebut tidak mengiktiraf mana-mana pihak boleh menggunakan kanak-kanak bagi memenuhi tujuan yang tidak berkaitan dengan kepentingan golongan itu sendiri.

''Dalam isu ini, Artikel 13 adalah berkaitan dengan masalah pendidikan, penderaan atau kes kanak-kanak dipaksa bekerja, ia mungkin sesuai digunakan.

''Namun, umum mengetahui tindakan Jerit itu lebih kepada tujuan untuk memenuhi matlamat dan kepentingan pertubuhan tersebut.

''Jadi, adalah salah jika mereka berlindung dengan artikel tersebut untuk mengheret kanak-kanak dalam isu ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Penyelaras Nasional Jerit, Y. Kohila yang mempertahankan tindakan menggunakan kanak-kanak dalam kempen Rakyat Pengayuh Perubahan dengan mendakwa penyertaan mereka mendapat kebenaran ibu bapa.

Kohila berkata, kenyataan pihak polis sebenarnya yang menafikan hak kanak-kanak untuk menyertai aktiviti atas kerelaan mereka dan ia melanggar CRC.

Katanya, dalam konvensyen itu dinyatakan bahawa kanak-kanak berhak bersuara seperti termaktub dalam Artikel 13 serta hak berhimpun dan menyertai persatuan yang turut diperuntukkan dalam Artikel 15 konvensyen itu.

Mengulas lanjut, Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun juga secara jelas tidak layak untuk menyertai mana-mana persatuan apa lagi pertubuhan seperti Jerit.

''Sehubungan itu, adalah suatu yang mengelirukan apabila pertubuhan ini cuba mempertahankan tindakan yang secara terang tidak wajar dilakukan.

''Kita bimbang senario ini jika tidak dibendung akan melahirkan generasi muda yang muda memberontak dan berdemonstrasi jika timbul sesuatu konflik atau isu,'' katanya.

Beliau berkata, didikan yang sepatutnya adalah menyelesaikan sesuatu perkara itu melalui jalan rundingan dan bukannya berdemonstrasi.

(Sumber :- 24/12 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1225&pub=utusan_malaysia&sec=Jenayah&pg=je_06.htm&arc=hive)

Thursday, January 8, 2009

SUKARELAWAN BENCANA ALAM PUTERI

Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Mengalu-alukan penyertaan anda sebagai warganegara Malaysia berumur 18 tahun keatas yang prihatin untuk menyertai kami sebagai SUKARELAWAN BENCANA ALAM PUTERI.
Objektif utama SUKARELAWAN BENCANA ALAM PUTERI adalah bagi membantu mangsa-mangsa dari segi kebajikan yang terlibat dengan apa jua bencana alam di seluruh negara, ianya diharap dapat membantu meringankan beban mangsa-mangsa sementara mereka dapat menjalani kehidupan seperti biasa semula.
Sekiranya anda prihatin dan berminat untuk menyertai SUKARELAWAN BENCANA ALAM PUTERI, Sila hantarkan maklumat diri;
Nama :
Alamat :
No K/P :
No. Tel / HP untuk dihubungi :
Emel :
No Ahli UMNO (Jika Ada) :
ke alamat email sukarelawanpu3@gmail.com

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut sila hubungi 03-40413900 ext:386.
Penyertaan anda amat dihargai. GENERASI WANITA PRIHATIN- PRIHATIN BERILMU.

Sunday, January 4, 2009

SEMANGAT!! PUTERI DI TERENGGANU

Puteri UMNO tumpu golongan muda

KUALA TERENGGANU 3 Jan. - Pergerakan Puteri UMNO akan memberi tumpuan kepada usaha menarik sokongan golongan muda dalam membantu jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, pengundi muda dilihat berupaya menjadi penentu kepada BN untuk mengekalkan kerusi tersebut.

Menurut beliau, strategi kempen dari rumah ke rumah dan pelbagai aktiviti bagi menarik golongan muda akan dilaksanakan sepanjang tempoh berkempen itu.

''Ini termasuk aktiviti sukan atau program yang melibatkan golongan muda kerana golongan tersebut lebih suka bersama-sama dengan rakan-rakan sebaya,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada 200 pelajar miskin dan yang baru memasuki alam persekolahan di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Puteri UMNO negeri, Nordiana Shafie.

Bagaimanapun kata Noraini, Puteri UMNO juga tidak mengetepikan golongan kurang upaya dan akan menganjurkan program untuk mereka.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, Puteri UMNO seluruh negara akan bekerjasama dengan UMNO Bahagian Kuala Terengganu dalam mengatur strategi dan pendekatan bagi memastikan BN mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Menurutnya, ahli-ahli Puteri UMNO dari seluruh negara termasuk Sabah akan mula berkampung di Kuala Terengganu 5 Januari ini sehingga tamat pengundian.

''Mereka bersemangat tinggi dan bersedia membantu melaksanakan pelbagai program setiap hari,'' ujar beliau.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm)

Friday, January 2, 2009

RUANGAN USAHAWAN PUTERI LABUAN

Ruangan Usahawan Puteri telah diaktifkan bagi memberikan peluang kepada ahli-ahli Puteri mempromosikan produk yang mereka ingin pasarkan. Ruangan ini juga diharapkan sedikit sebanyak akan dapat membantu usahawan Puteri lebih dikenali luas dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan mereka. Pada sedikit masa lagi Puteri juga akan menyiarkan temuramah Puteri bagi memperkenalkan usahawan Puteri yang berjaya di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan. Jadi, kepada pengunjung blog ini, jangan terlepas ruangan ini akan memberikan info semasa kepada kita semua. Terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh semua pihak yang menjayakan ruangan ini. Apa tunggu lagi??? Klik Ruangan Usahawan Puteri Labuan di sebelah kanan blog ini...