ANDA PELAWAT KE


Tuesday, April 28, 2009

TIADA SELISIH FAHAM : ROSNAH & SHAHANIM

Rosnah nafi selisih faham dengan naib
Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com.my

Pelantikan wakil Puteri dalam MT hak Presiden

KUALA LUMPUR: Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menafikan wujud perselisihan faham antara beliau dengan Naib Ketuanya, Shahanim Mohamad Yusoff berikutan orang nombor duanya itu tidak tersenarai sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) lantikan seperti diumumkan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat lalu.

Menjelaskan perkara itu, Rosnah berkata, soal pelantikan wakil Puteri dalam MT adalah hak mutlak Presiden Umno dan tidak membabitkan beliau.

"Tidak timbul siapa yang rapat atau tidak (dengan Rosnah), selepas terpilih sebagai Ketua Puteri Umno, saya adalah ketua untuk semua Puteri, tidak pernah timbul masalah antara saya dan Shahanim, beliau sendiri (Shahanim) mengatakan tidak ada masalah tidak dilantik MT.

"Sebelum ini, ketika Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjadi Ketua Pemuda, (Datuk) Azimi Daim dipilih oleh Presiden sebagai wakil Pemuda dalam MT selepas itu, Datuk Norza Zakaria, malah ketika Datuk Noraini Ahmad (sebagai Ketua Puteri), saya sebagai naib tidak duduk sebagai MT," katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Shahanim adalah satu-satunya naib ketua pergerakan yang tidak tersenarai sebagai ahli MT lantikan, sayap Pemuda dan Wanita iaitu Datuk Razali Ibrahim dan Datuk Kamilia Ibrahim, Jumaat lalu dipilih untuk menduduki jawatan berkenaan.

Sementara itu, Shahanim ketika dihubungi berkata, beliau tidak 'kecil hati' dengan pelantikan Dr Wan Norashikin Wan Noordin bagi mengisi jawatan ahli MT lantikan.

Katanya, meskipun menerima banyak panggilan daripada ahli Puteri mengenai pelbagai pandangan, termasuk mengatakan kurang berpuas hati dengan perkembangan itu, beliau tetap berpandangan positif mengenainya.

"Ada yang telefon, mereka agak saya akan mendapat jawatan itu... jadi saya kata tak apalah sebab jawatan itu satu...yang penting ialah komitmen kita (untuk parti)."

"Rosnah tahu apa yang terbaik untuk Puteri, mungkin beliau ada tugas khas untuk saya nanti," katanya.

yang tidak ahli Puteri melihat ada pergeseran di antara beliau dan ketuanya.

(Sumber :- http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Nasional/20090425231032/Article/)

Wednesday, April 22, 2009

TUBUHKAN PUTERI BN!

KUALA LUMPUR 21 April - Pergerakan Puteri UMNO meminta pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) memutuskan segera cadangan penubuhan Puteri BN.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, penubuhan Puteri BN akan mempermudahkan Puteri UMNO dan rakan-rakan daripada parti komponen lain merealisasikan hasrat untuk menarik sokongan pengundi muda.

Selain itu menurutnya, ia dapat membantu negara memartabat dan membuktikan konsep 'Satu Malaysia' diperjuangkan dalam kalangan parti komponen BN.

"Setakat ini kita sudah berbincang dengan Puteri MIC, Parti Progresif Penduduk (PPP), Gerakan dan MCA atau lebih dikenali sebagai Biro Wanita Muda dan penerimaan yang diterima daripada mereka semua adalah baik sekali.

"Justeru, Puteri kini dalam peringkat menunggu keputusan daripada pucuk pimpinan untuk menentukan relevan atau tidak penubuhan itu. Bagaimanapun Puteri UMNO telah menyampaikan hasrat itu pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis ramah mesra Pergerakan Puteri UMNO bersama media di sini hari ini.

Ditanya sama ada penubuhan Puteri BN itu kelak bermakna Puteri UMNO atau pergerakan Puteri dalam komponen lain akan dibubarkan, Rosnah menjelaskan, pembubaran itu tidak perlu dan semua pergerakan terlibat akan berfungsi seperti biasa.

"Fokus penubuhan Puteri BN itu semata-mata untuk meneruskan agenda UMNO iaitu menyatukan semua kaum dengan menggabungkan sahabat daripada parti komponen lain dalam satu rangkaian.

"Kita yakin ramai akan memberi sokongan kepada Puteri BN kerana pada pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau lalu, kita telah berjaya menarik ramai pengundi muda melalui kerjasama dengan Puteri MIC dan PPP," kata beliau.

Pada majlis tersebut, Rosnah turut mengumumkan pelantikan Ketua Puteri UMNO Bahagian Pekan, Nor Azita Abdul Rahman sebagai Penolong Setiausaha pergerakan itu dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Pasir Salak, Dr. Wan Norashikin Wan Noordin sebagai Penolong Bendahari bagi sesi 2009- 2012.

Selain itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Nordiana Datuk Shafie pula diumumkan sebagai Ketua Penerangan Puteri UMNO manakala Ketua Puteri UMNO Bahagian Gelang Patah, Radin Seri Kartini Abdullah sebagai Setiausaha Kerja.

Mengenai pelantikan Ketua dan Naib Ketua Puteri Negeri, beliau berkata, ia akan diumumkan pada hujung bulan ini.

Menurutnya, kira-kira 80 peratus daripada mereka yang bakal dilantik bagi menerajui Puteri UMNO negeri terdiri daripada muka baru.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0422&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_09.htm&arc=hive)

SHAHANIM NAIB KETUA PUTERI MALAYSIA LEPAS JAWATAN KETUA PUTERI KEDAH

SUNGAI PETANI 21 April - Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusoff, hari ini melepaskan jawatannya sebagai Ketua Puteri UMNO Kedah bagi memberi laluan kepada muka baru.

Katanya, tindakan melepaskan jawatan itu yang disandang sejak tahun 2006 diambil bagi membolehkan beliau menumpukan usaha memperkasakan Pergerakan Puteri UMNO di peringkat pusat.

"Saya yakin muka baru yang bakal dilantik menggantikan saya mampu meneruskan perkhidmatan cemerlang dan mengangkat kembali martabat wanita muda Kedah menerusi Puteri UMNO kelak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai program Puteri Menyusur Akar di beberapa buah kampung sekitar pesisir pantai Kota Kuala Muda dekat sini hari ini.

Menurut Shahanim, nama pengganti beliau untuk jawatan Ketua Puteri UMNO Kedah dijangka diumumkan oleh Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin tidak lama lagi.

"Saya percaya sesiapa pun yang dilantik bakal mendapat kerjasama sepenuhnya daripada ahli-ahli Puteri UMNO Kedah," katanya.

Shahanim juga merupakan Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0422&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_10.htm&arc=hive)

Friday, April 17, 2009

DATUK NORAINI AHMAD TIDAK KECIL HATI

Noraini tidak langsung berkecil hati

BATU PAHAT 12 April - Bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad tidak berkecil hati kerana digugurkan daripada Kabinet.

Sebaliknya, beliau berikrar akan terus memberikan sokongan kepada kepimpinan sedia ada dan menumpukan sepenuh perhatian untuk berkhidmat kepada penduduk di kawasannya.

Katanya, segala pengalaman yang diperoleh ketika memegang jawatan Timbalan Menteri Sumber Manusia akan digunakan untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat khususnya mereka yang sedang mencari pekerjaan.

''Tempoh setahun berada dalam Kabinet merupakan pengalaman paling berharga yang sukar diperoleh dan akan digunakan untuk membantu penduduk tempatan," katanya.

Beliau ditemui selepas Program Kem Kesihatan anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Sulong dengan kerjasama Hospital Pakar Putra di Peserai di sini hari ini.

Noraini berkata, pengguguran mana-mana pemimpin dalam Kabinet merupakan adat dalam politik dan dilakukan berdasarkan perubahan semasa.

Sementara itu, beliau memberitahu, seramai 100 warga emas dan anak keluarga miskin di kawasan Parlimen Parit Sulong yang menghadapi masalah penglihatan berpeluang menjalani pemeriksaan mata dan mendapatkan cermin mata percuma sempena program kem kesihatan itu.

Pada masa ini, katanya, ramai di kalangan keluarga miskin terpaksa membiarkan anak mereka menghadapi masalah penglihatan kerana tidak mampu membeli cermin mata.

Malah, katanya, ada juga warga emas tidak dapat menjalani pemeriksaan mata di klinik atau hospital kerana menghadapi kesukaran untuk bergerak jauh.

''Menyedari perkara ini, kami mengadakan program khas untuk memudahkan mereka menjalani pemeriksaan mata dan memiliki cermin mata secara percuma," katanya.

Menurutnya, program itu pertama kali diadakan di Parlimen Parit Sulong membabitkan penduduk Mukim Tiga Parit Sulong.

''Program ini akan diperluaskan ke kampung lain di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Semerah dan Sri Medan,'' katanya,

Beliau percaya ramai lagi warga emas dan anak keluarga miskin yang memerlukan bantuan pemeriksaan mata seterusnya mendapatkan cermin mata.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0413&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_06.htm&arc=hive)

Sunday, April 12, 2009

KETUA PUTERI MALAYSIA, TIMBALAN MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

Rosnah Shirlin dilantik Timbalan Menteri Kesihatan PUTRAJAYA:

Ketua Puteri Umno yang baru, Datuk Rosnah Rashid Shirlin dilantik Timbalan Menteri Kesihatan. Menteri yang mengetuai Kementerian Kesihatan kekal dipegang Datuk Liow Tiong Lai.

TAHNIAH YB. DATUK ROSNAH...

Monday, April 6, 2009

YB DATUK ROSNAH : GOLONGAN MUDA PERLU DIBERI PERHATIAN

Puteri minta bantu golongan muda

BATANG AIR 5 April – Pergerakan Puteri UMNO mahu kerajaan memberi perhatian masalah golongan muda di luar bandar terutama berkaitan kesukaran mereka memperoleh pinjaman daripada bank-bank yang menawarkan kemudahan pembiayaan projek industri kecil sederhana (IKS).

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mengambil contoh rasa tidak puas hati pengundi muda di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air berhubung perkara itu yang sekali gus mengurangkan kepercayaan mereka terhadap kesungguhan kerajaan menyediakan program bantuan untuk rakyat.

Katanya, terdapat golongan muda lepasan institusi pengajian tinggi mendakwa telah mengikuti kursus yang dianjurkan Tabung Usahawan Siswazah (TUS) tetapi sukar mendapatkan pinjaman daripada bank-bank IKS.

Kesukaran itu menurut Rosnah, menyebabkan lepasan universiti terutama yang tidak mempunyai pekerjaan, gagal memulakan projek-projek keusahawanan sedangkan mereka mempunyai minat untuk berbuat demikian.

‘‘Kita tidak mahu isu-isu seperti ini mengurangkan kepercayaan pengundi muda terhadap kerajaan. Ini kerana kerajaan menguar-uarkan pelbagai kemudahan pinjaman dan program membantu siswazah menganggur namun apa yang terjadi adalah sebaliknya.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0406&pub=utusan_malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_10.htm&arc=hive)

Thursday, April 2, 2009

HADIAH KEPADA PUTERI UMNO

Kalau dipilih, ia satu hadiah - Rosnah

KOTA KINABALU 1 April - Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti sama ada memilih beliau menganggotai Kabinet baru.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, sekiranya terpilih, keputusan berkenaan adalah satu penghormatan terhadap pergerakan tersebut yang merupakan salah satu sayap utama UMNO.

"Terserah kepada pucuk pimpinan parti, kalau dipilih, ia merupakan satu hadiah untuk seluruh pergerakan dan amanah tersebut akan dijalankan dengan sebaik-baiknya," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini hari ini.

Rosnah mengulas khabar angin bahawa beliau merupakan salah seorang pemimpin UMNO dari Sabah yang akan dilantik sebagai menteri penuh dalam rombakan Kabinet tidak lama lagi.

Desas-desus semakin kuat kerana secara tradisi, Ketua Pergerakan Puteri UMNO akan dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri dalam Kabinet Kerajaan Pusat.

Rosnah seterusnya meminta semua pihak supaya menghentikan sebarang spekulasi mengenai perkara tersebut kerana bimbang disalah anggap.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0402&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_13.htm&arc=hive)

Wednesday, April 1, 2009

PUTERI SAMBUT BAIK HASRAT SHAHRIZAT

KUALA LUMPUR 30 Mac – Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyifatkan, hasrat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menjalinkan hubungan baik dengan Puteri UMNO sebagai perkembangan positif ke arah mengukuhkan hubungan kedua-dua sayap parti itu.

Bagaimanapun, katanya, usaha itu tidak boleh digambarkan sebagai wujudnya hubungan ‘kurang enak’ antara kepimpinan Wanita UMNO terdahulu dan Puteri UMNO.

Sebaliknya, jelas beliau, usaha kepimpinan baru Wanita UMNO itu bertujuan mengukuhkan hubungan yang terjalin walaupun di peringkat awal penubuhan Puteri dilihat kurang ‘disenangi’ namun selepas beberapa tahun, peranan pergerakan itu semakin diiktiraf.

“Puteri menyambut baik hasrat Datuk Seri Shahrizat. Memang antara Wanita dan Puteri perlu saling bekerjasama dan gerakan ke arah itu telah bermula beberapa tahun lalu.

“Hasrat terbaru ini bertujuan menambah baik hubungan yang sedia terjalin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Shahrizat mahu menjalin hubungan baik dengan Puteri UMNO sebagai salah satu visi selepas diberi kepercayaan memimpin Wanita UMNO menggantikan Tan Sri Rafidah Aziz.

Menurut Rosnah, bekas ahli-ahli Puteri juga diterima menganggotai Wanita UMNO malah ada yang dilantik ketua Wanita bahagian sementara pada pemilihan parti baru-baru ini, Suraya Yaakob (bekas Ketua Puteri UMNO Kedah) terpilih menjadi Exco pergerakan itu.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0331&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_07.htm&arc=hive)