ANDA PELAWAT KE


Wednesday, May 27, 2009

USAHA HIDUPKAN KOMUNISME : SEJARAH TAKKAN BERULANG!...

Usaha hidupkan komunisme

SUBANG 26 Mei – Kementerian Pertahanan mengesahkan terdapat beberapa kumpulan di negara ini dikesan cuba menghidupkan ideologi dan nilai-nilai komunisme.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, gerakan itu kini dipelopori badan-badan tidak berdaftar dan tidak kurang juga dari kalangan parti politik.

“Ada semacam usaha yang berbau komunis cuba dihidupkan oleh badan-badan yang tidak berdaftar dan kami dapat hidu. Ada juga yang cuba menghidupkannya melalui parti politik,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke beberapa kemudahan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengenai penyebaran sentimen komunisme di negara ini yang disuarakan beberapa pihak.

Menurut Rais, beliau bimbang kerana sesetengah pihak kini didapati cuba membangkitkan sentimen itu di media cetak dan blog melalui isu membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng kembali ke negara ini.

“Inilah yang kita anggap satu kedurjanaan, unsur-unsur ini langsung tidak peka dengan pembunuhan beribu-ribu rakyat negara ini di tangan gerila komunis antara tahun 1948 hingga 1960 dulu. Saya yakin rakyat Malaysia tidak mudah tertipu,” katanya semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan, kementeriannya sedang bekerjasama rapat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membendung sentimen itu daripada terus merebak.

Selain PDRM, beliau yakin dengan kecemerlangan perisikan dalam ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang disifatkannya berada pada tahap tertinggi.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm)

Monday, May 25, 2009

Mekanisme baru tarik sokongan dikenal pasti

KOTA KINABALU 24 Mei - Pergerakan Puteri UMNO Sabah mengenal pasti mekanisme baru bagi menarik sokongan rakyat terutamanya golongan muda terhadap Barisan Nasional (BN).

Ketuanya, Musliati Moslimin berkata, pendekatan tersebut akan diguna pakai dalam setiap program yang diadakan pergerakan itu dalam tempoh terdekat.

Katanya, mekanisme baru itu selaras dengan saranan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menetapkan tempoh masa dua tahun kepada Puteri untuk menarik sokongan golongan muda terhadap kerajaan.

"Justeru itu di peringkat negeri, kita telah mengambil beberapa pendekatan, Insya-Allah kami akan cuba pastikan dalam tempoh dua tahun ini kami akan berusaha untuk menarik golongan muda menerima BN.

"Di peringkat negeri pun, kami ada mekanisme yang akan kami guna pakai agar apa sahaja program yang dilaksanakan dapat berjalan lancar,'' kata Ketua Puteri Sabah yang baru itu selepas kali pertama mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pergerakan Puteri negeri di sini hari ini.

Mekanisme itu, katanya, akan dijelaskan kemudian selepas beliau mengadakan perbincangan dengan kepimpinan pergerakan tersebut terlebih dahulu.

Menurutnya, meskipun mengakui tempoh dua tahun berkenaan singkat, beliau akan berusaha keras bagi memastikan peningkatan sokongan rakyat terhadap BN.

"Kalau ikutkan memang tidak cukup dua tahun, sekarang pun sudah hampir hujung tahun. Bagaimanapun kami anggap saranan ini sebagai satu cabaran sebab kalau kita tiada sasaran kita akan lalai," katanya.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0525&pub=utusan_malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_11.htm&arc=hive)

Sunday, May 24, 2009

KOLOKIUM 1 MALAYSIA ...hebat!!!

Menilai konsep 1 Malaysia


Noordin (dua dari kiri) memberi pandangannya sambil diperhatikan oleh Norizan (kiri), Rahim dan Chamil di Kolokium 1 Malaysia anjuran Gabungan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) di Kuala Lumpur.


Konsep 1 Malaysia yang dipelopori oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menjadi sebutan ramai, namun dalam masa yang sama banyak juga pihak masih belum memahaminya terutama dari segi kedudukan orang Melayu.

Berikutan itu, Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) dengan kerjasama Utusan Malaysia yang menjadi media rasmi menganjurkan Kolokium 1 Malaysia yang bertemakan ‘Hala Tuju Ekonomi Bumiputera’. Ia bertujuan bagi mendapatkan pandangan bagaimanakah kedudukan ekonomi bumiputera melalui konsep tersebut.

Selain itu, ia juga bagi memperjelaskan, apakah benar melalui konsep itu, kedudukan istimewa orang Melayu akan tergugat.

Majlis yang diadakan di Kuala Lumpur itu mengundang tiga ahli panel iaitu Pengerusi GABEM, Tan Sri Rahim Tamby Chik, Penganalisis Ekonomi, Mohd. Noordin Abbas dan Ketua Pegawai Eksekutif INMIND., NORIZAN SHARIF Moderator pula ialah Ketua Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya.

Dalam kolokium hampir 3 jam itu yang turut dihadiri oleh wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan MOHD.KHUZAIRI ISMAIL, ketiga-tiga ahli panel berkenaan mengupas cabaran ekonomi bumiputera melalui konsep 1 Malaysia tersebut.

Ke arah kemakmuran bersama

RAHIM: 1 Malaysia pada pandangan saya menerangkan tiga perkara. Pertama, mengenai hasrat kepimpinan untuk melihat perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity). Ini boleh dicapai kerana berdasarkan sejarah kita melalui Sejarah kesultanan Melayu Melaka 500 tahun lalu telah mempamerkan contoh terbaik.

Pemimpin negara ketika itu yang terdiri daripada orang Melayu dan bumiputera mampu mewujudkan satu masyarakat kosmopolitan. Sejarah negeri Melaka misalnya ketika itu mempunyai 25 bahasa dan 250,000 penduduk terdiri daripada pelbagai bangsa hidup secara harmonis 110 tahun. Ini adalah satu manifestasi dari perpaduan dalam kepelbagaian.

Ini berbeza dengan banyak negara lain seperti di Afrika dan negara Balkan contohnya yang mana walaupun berasal dari satu rumpun tetapi akibat beberapa perbezaan mereka saling menumpahkan darah antara satu sama lain.

Faktor kedua di bawah 1 Malaysia ialah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. Tidak akan wujud satu perpaduan atau satu Malaysia jika kaum-kaum tertentu tidak mempunyai tahap ekonomi yang saksama atau lompang yang jauh yang boleh menimbulkan kecemburuan atau sakit hati dan ragu-ragu antara kaum atau kumpulan tertentu. Oleh itu kita harus mencorak satu Malaysia menuju ke arah pencapaian matlamat dan kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

Matlamat ketiga ialah menghormati dan mengiktiraf hak setiap warga negara sebagai mana yang Perdana Menteri tekankan. Maknanya hak sesiapa pun asalkan dia seorang warga negara adalah tanggungjawab sesuai dengan Perlembagaan Malaysia sebagai asas pembinaan sistem kenegaraan. Kita menghormati hak sesiapa pun tetapi mesti berlandaskan keperluan Perlembagaan.

Oleh itu tiga perkara ini iaitu perpaduan dalam kepelbagaian, kesejahteraan dan kemakmuran bersama dan menghormati dan mengiktiraf hak setiap warga negara adalah asas untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia. Tanpa tiga perkara ini adalah sukar untuk kita menjadikan konsep ini satu kenyataan. Dalam erti kata lain konsep ini menjelmakan Malaysian patriotisme iaitu perasaan kasih, sayang dan cinta kepada negara.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah diwujudkan oleh Tun Abdul Razak pada tahun 70-an untuk membanteras kemiskinan serta menyusun semula masyarakat. Kita tahu dasar ini adalah relevan bukan untuk orang Melayu tetapi untuk semua kaum tetapi keutamaan untuk mereka yang berpendapatan rendah. Dasar ini telah berjaya memajukan negara kepada tahap yang tinggi dan memperbaiki kedudukan kaum Melayu melalui penguasaan ekuiti yang walaupun tidak tinggi tetapi ia tetap satu kejayaan.

1 Malaysia sebenarnya bertujuan untuk mengurangkan politiking, salah faham dan kebingungan yang berlaku ketika ini. Berasaskan sejarah ekonomi negara khusus kepada membela mereka yang berpendapatan rendah yang rata-ratanya bumiputera dan Melayu.

Hasrat membanteras kemiskinan dan menyusun semula masyarakat telah berjaya menjadi ukuran. Dari segi membanteras kemiskinan kita telah berjaya melakukannya dalam pelbagai bidang. Ini adalah hasil kejayaan banyak pihak termasuklah kepimpinan negara, pihak perkhidmatan awam, pihak swasta dan sebagainya.

Yang menjadi masalah kita ialah penyusunan semula masyarakat yang pada pandangan pucuk pimpinan negara akan menjadi asas untuk membekalkan keadilan dan keharmonian. Membanteras kemiskinan satu masalah dan menyusun semula masyarakat adalah usaha untuk memberikan kestabilan yang lebih kukuh kepada negara. Ini merupakan untung nasib mereka yang tinggal di negara ini dan rata-ratanya adalah bumiputera dan Melayu yang telah berjuang untuk dasar ini.

Namun pencapaian mereka masih tenggelam timbul dan tidak menentu malah sehingga sekarang masih ada persepsi bahawa tiada jaminan bahawa golongan ini akan dapat mencapai sasaran penguasaan ekuiti 30 peratus pada tahun 2020 nanti. Dari segi penyusunan semula ini masalah masyarakat berpendapatan rendah rata-ratanya bumiputera dan Melayu mesti diambil penyelesaian kognitif. Selain itu masalah dan cabaran yang dihadapi dalam usaha untuk menjayakan DEB ini ialah kita perlu menghasilkan kek ekonomi yang lebih berkembang untuk dikongsi bersama.

Pertama, perlunya pertumbuhan ekonomi yang memuaskan, keduanya sistem penyampaian kerajaan, ketiganya sikap dan paradigma di kalangan orang Melayu sama ada mereka mahu berubah atau masih mahu berada di takuk lama dan keempat ialah kerjasama yang rapat dengan masyarakat bukan bumiputera.

Pertama sekali, pertumbuhan ekonomi akan menentukan kejayaan kita menyusun semula masyarakat. Pada masa lalu kita bergantung sebahagian besar kepada perbelanjaan. Maknanya kita bergantung kepada peruntukan kerajaan pusat dan negeri. Perbelanjaan ini dibuat dan dilaksanakan mengikut program, aktiviti dan projek mengikut keperluan masyarakat berdasarkan beberapa panduan.

Usaha menyusun semula masyarakat dan pembangunan ekonomi negara sangat bergantung kepada keadaan ekonomi global. Keduanya ialah sistem penyampaian kerajaan maknanya perkhidmatan awam yang akan melaksanakan perancangan kepada kumpulan sasaran. Masih terdapat beberapa kelemahan dalam melihat sejauh mana sistem penyampaian ini berfungsi dalam melaksanakan aspirasi yang telah disasarkan.

Misalnya permasalahan yang kita laksanakan sekarang ini terdapat pegawai yang tidak melihat dasar ekonomi yang dilaksanakan adalah untuk rakyat jelata iaitu bumiputera dan bukan bumiputera. Terdapat mereka ini yang merasakan semangat kemelayuan yang berlebihan akhirnya operasi kementerian itu akan terhalang. Seharusnya kementerian atau GLC terbabit harus menumpukan kepada membantu rakyat yang berpendapatan rendah dan bukan menolong Melayu dan bumiputera sahaja.

Perkara ketiga ialah sikap dan paradigma masyarakat Melayu yang telah dibantu sejak dari tahun 70-an lagi namun masih ramai yang gagal. Sikap orang Melayu itu sendiri sama ada masih mahu menjadi kuda tunggangan dan kemudian berharap akan mendapat habuan lagi. Ini berkaitan dengan sikap dan paradigma kita mesti betul.

Yang terakhir ialah persediaan untuk bekerjasama rapat dengan masyarakat bukan bumiputera. Ini penting untuk memastikan penyusunan masyarakat adalah berjaya sejajar dengan konsep 1 Malaysia. Kita mahu melihat sikap yang lebih terbuka kerana dari segi fakta dan sejarah ekonomi dikuasai oleh bukan Melayu. Oleh itu dalam usaha kita memanjangkan DEB kita perlu bekerjasama dan berkongsi masa depan dengan mereka dari segi perkongsian politik, ekonomi dan sebagainya bersama-sama.

Bumiputera maju, bukan bumiputera untung

MOHD. NOORDIN: Terdapat banyak tafsiran mengenai pemahaman 1 Malaysia berdasarkan kepentingan tertentu. Maknanya komuniti bumiputera akan mentafsirkannya mengikut apa manfaat yang diperoleh. Begitu juga dengan kaum- kaum lain yang akan mentafsir berdasarkan kepentingan sendiri. Kita tidak boleh salahkan sesiapa kerana itu adalah sesuatu yang semula jadi untuk mentafsirkan apa-apa jua maksud 1 Malaysia berdasarkan kepentingan masing-masing. Bagaimanapun saya tertarik dengan hakikat bahawa 1 Malaysia itu berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Maka, kalau kita kupas dari sudut itu maknanya konsep itu sangat jelas dan ia harus menjadi sangat jelas. Penting bagi kita kaum bumiputera untuk berkongsi bagaimana 1 Malaysia itu patut ditafsirkan. Kita perlu faham dan kemudiannya menerangkan kepada komuniti bukan bumiputera bahawa inilah definisi sebenar 1 Malaysia. Pemahaman ini bagi saya sangat mudah. Apabila dikatakan berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan, bermakna hak bumiputera di bawah Perkara 153 itu tidak akan terjejas. Yang menjadi masalah ialah apabila terdapat perbezaan tafsiran ekoran persepsi yang berbeza.

Masalah pertama seperti ketika ini apabila negara sedang menghadapi satu situasi kelembapan ekonomi dunia yang turut mempengaruhi kelembapan ekonomi domestik. Ini menyebabkan meningkatnya rasa panik dan bimbang di kalangan rakyat, terutamanya mereka yang dalam kategori pendapatan sederhana dan rendah iaitu kumpulan bumiputera. Kerisauan itu menyebabkan mereka menjadi sangat possessive dalam mentafsirkan 1 Malaysia. Begitu juga dengan kaum bukan bumiputera yang turut bimbang dengan keadaan ekonomi. Definisi 1 Malaysia bukan bumiputera juga berteraskan kelembapan ekonomi yang mana ekonomi ketika ini banyak menjejaskan mereka kerana mereka menguasai kek ekonomi.

Dalam tekanan ekonomi itu dan ditambah dengan konsep 1 Malaysia yang dibentangkan, maka mereka juga berasa takut. Adakah mereka yang tengah sengsara dengan keadaan ekonomi akan juga sengsara berdasarkan tafsiran dan pelaksanaan 1 Malaysia itu. Jadi di sini kalau kita lihat, kaum bumiputera dan bukan bumiputera kedua-duanya risau. Maka mereka akan definisikan 1 Malaysia itu sebagaimana ia akan memberikan kelebihan kepada mereka. Justeru apa yang perlu dilakukan ialah dibuat satu pentafsiran yang jelas mengenai konsep 1 Malaysia supaya ia dilihat akan memberikan faedah kepada semua kaum.

Bagi kaum bumiputera apa yang dititikberatkan ialah hak kami tidak wajar dikompromi. Di kalangan kaum bukan bumiputera pula aktiviti ekonomi yang boleh mendatangkan keuntungan menjadi perhatian yang paling utama.

Apabila dikaitkan bahawa ekonomi dan politik tidak boleh dipisahkan maka mereka rasa perlu untuk pergi jauh dalam arena politik Malaysia. Saya suka mengingatkan bahawa disebabkan masalah ekonomi ini rata-rata rakyat dan komuniti berbeza berasa sangsi kerana sekarang ini ada retorik politik yang cuba memecahbelahkan kepelbagaian kaum di negara ini.

Saya tidak lari daripada hakikat bahawa kaum bukan bumiputera merupakan rakan kongsi bumiputera yang paling baik, bukannya mereka dari luar negara. Sebab kaum bumiputera lebih memahami kerana budaya kita secara asasnya sama sebab kita semua 1 Malaysia. Jadi salah tanggapan ini saya rasa harus kita tangani bersama.

Saya sedar komuniti bumiputera memang banyak hadapi cabaran yang hebat. Apabila komuniti perniagaan bumiputera cuba mendapat bantuan daripada GLC, bank atau syarikat-syarikat besar, penilaian pertama biasanya kurang memuaskan. Bagi saya, itu bukan salah GLC, bank atau syarikat gergasi tersebut, sebaliknya kita perlu membuat penilaian sendiri.

Kadang-kadang kesalahan kita ialah mencipta persepsi yang salah kepada orang luar, jadi apa yang perlu dilakukan ialah badan-badan bukan kerajaan bersatu berdepan dengan persepsi itu dan membawanya ke saluran yang betul. Kita berusaha untuk meningkatkan status ekonomi supaya lebih kuat untuk bersaing dengan kaum bukan bumiputera, bukan untuk menjadi berat sebelah dengan mereka.

Dalam perniagaan kita kena ambil cabaran untuk meningkatkan kemampuan supaya syarikat Malaysia mampu mencapai standard antarabangsa. Kadang-kadang kita rasa takut tanpa sebab. Kita takut untuk bercakap pasal hak kaum bumiputera kerana bimbang menyinggung perasaan kaum lain.

Kita perlu terangkan dengan betul dan benar bahawa kemajuan kita juga bersama dengan mereka yang mana semua pihak akan untung. Kaum bumiputera sebenarnya paling liberal dalam komuniti perniagaan. Kita letak retorik politik terutamanya yang cuba memecahbelahkan perpaduan ke tepi. Kita hormat dan percaya dengan kaum lain dan mereka pun faham dan hormat kaum bumiputera.

Tapi agak malang ketika ini dalam keadaan ekonomi yang gawat, maka tafsiran 1 Malaysia menjadi sangat cetek dan hanya untuk pastikan kepentingan kita dilindungi.

Saya melihat secara keseluruhan usahawan Melayu dan bumiputera, ada banyak syarikat yang bagus dan diberikan projek oleh kerajaan. Tapi mereka tidak melihat untuk pergi ke peringkat antarabangsa kerana merasakan sudah memadai dengan kekayaan daripada projek itu. Selepas beberapa tahun, secara lumrahnya kontrak projek itu diberikan pula kepada orang lain. Maka usahawan tadi ini akan jatuh.

Kerana itu saya lihat syarikat bumiputera yang diberikan kontrak perlu buktikan kepada kerajaan bahawa mereka mampu mengembangkan syarikat ke peringkat antarabangsa. Kaum bumiputera sebenarnya mampu dan kemampuan kita dalam perniagaan sama seperti kaum-kaum lain di dunia.

Perlu penjelasan elak salah faham

NORIZAN: Saya suka melihat 1 Malaysia itu dalam konteks ekonomi rakyat. Untuk melihat soal ini saya tertarik kepada apa yang ditulis dalam sebuah buku. Disebutkan kalau kita mahu menjadi hebat, kita tidak perlu banyak bercakap. Kita bagi sedikit pandangan, dan biarkan orang lain yang bercakap. Saya tidak pasti 1 Malaysia yang dilontarkan Perdana Menteri mengguna pakai pendekatan itu. Sebab slogan 1 Malaysia yang diumumkan pada 3 April lalu tanpa penjelasan lanjut. Bagaimanapun ada lapan ciri yang disebutkan iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.

Pada pandangan saya, ciri-ciri ini tidak ada hubungan antara satu sama lain atau bagaimana lapan ciri ini dicantumkan. Saya cuba kategorikan ciri-ciri ini kepada tiga. Iaitu Ketabahan, Rendah Hati dan Kesetiaan dalam satu kumpulan. Pendidikan dan Penerimaan pula dalam kumpulan kedua, manakala kelompok ketiga ialah Integriti, Kecemerlangan dan Meritokrasi.

Kalau ini boleh dikelompokkan begitu, mungkin ia membantu untuk boleh diterima. Kalau tidak lapan nilai itu, saya bimbang tidak bercantum hanya akan menjadi satu bentuk yang kita sebutkan sebagai nilai semata-mata. Saya bersetuju apabila disarankan perlu ada penjelasan yang jelas mengenainya. Sebab sehingga sekarang masih ada yang bercakap tentang Malaysian Malaysia seperti yang disebut pembangkang atau Malaysia First daripada DAP satu ketika dulu. Kita merasakan mampu untuk faham, tapi orang di luar sana mungkin tidak. Kebimbangan saya ialah 1 Malaysia ini tidak ditafsir dengan betul. Apa yang akan berlaku ialah orang bukan Melayu akan tafsirkan dengan dia sendiri dan mengharapkan dengan tafsiran itu. Sampai satu masa mereka merasakan harapan itu sebenarnya tidak kesampaian. Akhirnya rakyat merasakan mereka diberikan harapan yang sebenarnya bukan itu yang dimaksudkan. Maka tidak mustahil berlaku penolakan.

Saya rasa konsep itu diperbetulkan dulu supaya kita ada kefahaman yang sama dan saya setuju tempoh 48 hari masih belum terlambat jika ia mahu diperbetulkan. Saya nak sebutkan lima perkara kalau ditanya dalam konteks ekonomi rakyat. Bila kerajaan umum pakej rangsangan ekonomi, rakyat akan bertanya akhir sekali apa yang mereka dapat? Memang tidak dinafikan mereka dapat kelebihan itu, cuma mereka tidak rasa kerajaan bukan lagi bantu secara langsung. Jadi perkara ini perlu diberikan perhatian yang jelas. Saya melihat kepada lima perkara yang ingin disentuh.

Pertamanya, Perdana Menteri tunjukkan beliau akan perkenalkan satu dasar ekonomi baru yang pada saya adalah langkah yang wajar. Dalam membuat dasar itu perlu diberi perhatian kepada generasi muda X dan Y. Mereka sudah tidak mahu bercakap menggunakan perkataan bahasa Melayu sama seperti kita gunakan perkataan Red Indian di AS. Mereka tidak mahu orang Melayu itu dilihat sentiasa berada dalam reserve. Mereka mahu orang Melayu dilihat bangsa yang ke depan. Kalau itu keadaannya, saya melihat dalam konteks model baru ekonomi yang akan diperkenalkan Perdana Menteri nanti, kita harus membicarakan soal Melayu menjaga kepentingan melayu itu dalam kerangka agenda Malaysia. Bagaimana kita mahu melaksanakannya dalam kerangka itu.

Jurang ekonomi antara kaum sekarang makin mengecil tetapi masih belum mencapai tahap yang dikehendaki. Jadi apa yang kita buat sekarang bukan hanya bercakap soal merapatkan jurang, tapi bagaimana pakej yang sesuai dimasukkan ke dalam agenda itu.

Yang kedua, kita bercakap tentang ekonomi rakyat. Melayu mana yang dapat? Bila kita bercakap tentang Melayu kita akan fikir Melayu masih memerlukan tongkat. Saya rasa Melayu ini tidak boleh dikelompolkan dalam satu kumpulan. Melayu hari ini tidak lagi sama. Ada yang sudah jadi jutawan, berjaya di luar negara. Ada yang tinggal di bandar dan kampung. Sebab itu juga selepas 50 tahun negara merdeka dan pelbagai kumpulan Melayu ada, masih ramai yang beratur untuk masukkan anak ke sekolah MRSM atau UiTM. Saya rasa Melayu ini patut kita pisahkan.

Kedua-dua institusi itu bagi saya masih relevan, tapi untuk Melayu yang mana? Bagaimana kita nak keluarkan Melayu yang miskin itu. Orang tidak marah kalau anak petani atau orang kampung dibantu sepenuhnya walaupun mereka tidak cemerlang.

Ketiga, dalam bercakap pasal 1 Malaysia, seperti ada jurang di kalangan pemimpin politik khususnya UMNO dengan rakyat di bawah. Satu jurang yang mana cara kita melihat, pemahaman dan pendekatan. Tidak ada hubungan antara rakyat, orang Melayu dan parti politik. Mungkin sejak sekian lama kita bergantung kepada media tradisional, apabila datang media baru yang diraikan anak muda sebagai suara mereka, tidak berlaku interaksi antara kepimpinan politik untuk cuba memahami generasi X dan Y.

Keempat, saya tidak bersetuju MeCD (Kementerian Pembangunan Usahawan) dimansuhkan. Pada saya MeCD seharusnya menjadi sebuah agensi yang menyediakan peluang pekerjaan.

Kelima, pada pandangan saya, kalau ingin dimansuhkan, saya suka menyarankan Kementerian Pembangunan Wanita Dan Keluarga serta Kementerian Belia dan Sukan. Pendekatan pembangunan wanita dan belia itu seharusnya bersifat melangkaui sektor atau kementerian. Seharusnya, perlu ada satu suruhanjaya yang menyelaraskan semua program berkaitan wanita dan belia di setiap kementerian.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm)

Friday, May 22, 2009

2 TAHUN UNTUK PUTERI UMNO TARIK GENERASI MUDA

Puteri UMNO diberi tempoh 2 tahun tarikanak muda

PUTRAJAYA 21 Mei - Pergerakan Puteri UMNO diberikan tempoh dua tahun melaksanakan pendekatan berbentuk kemasyarakatan bagi mengembalikan sokongan rakyat terutama golongan muda kepada Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tempoh masa ditetapkan supaya semua anggota pergerakan itu dapat memberikan fokus terhadap semua inisiatif yang dilakukan.

''Tempoh masa yang diberikan itu tidak terlalu panjang dan adalah lebih baik kita tetapkan tempoh masa, jadi semua yang kita buat dimulakan daripada sekarang.

''Kalau tidak, ahli-ahli parti kata masa masih panjang lagi, jadi mereka tidak akan memberikan fokus," katanya selepas menerima kunjungan barisan kepimpinan baru Pergerakan Puteri UMNO di pejabatnya di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, perkara utama yang perlu ditumpukan oleh sayap parti itu ialah bagaimana memperbaiki imej UMNO dan menarik sokongan orang Melayu kepada parti tersebut.

Beliau memberitahu, pergerakan itu diingatkan bahawa program berorientasikan masyarakat perlu dipertingkatkan bagi menyampaikan maklumat tentang isu-isu semasa dengan lebih tepat.

''Kita tidak mahu ada pihak yang begitu mudah memutarbelitkan fakta sehingga menjejaskan sokongan rakyat kepada BN," katanya.

Muhyiddin mengingatkan Puteri UMNO agar meningkatkan usaha mendekatkan diri dengan generasi muda kerana mereka adalah kelompok terbesar yang akan tersenarai dalam daftar pengundi.

''Puteri perlu berusaha berhubung dan berinteraksi dengan mereka dan pertubuhan yang mewakili mereka.

'''Kita tidak boleh lepas tangan sebaliknya buat secara proaktif dan bukannya bertindak selepas sesuatu perkara berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yakin bahawa Puteri UMNO di bawah kepimpinan Rosnah mampu melaksanakan tugas yang diarahkan oleh parti itu.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0522&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm&arc=hive)

Thursday, May 21, 2009

GENERASI WANITA MUDA - PUTERI BN

Puteri BN Platform Pikat Generasi Muda

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Puteri Barisan Nasional (BN), yang penubuhannya dipersetujui pucuk pimpinan parti, mampu menjadi wadah terbaik untuk menarik belia pelbagai kaum menyertai parti-parti komponennya bagi menyokong kerajaan sedia ada, kata Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata Puteri BN akan dapat mengatasi masalah polarisasi kaum yang agak tercabar kebelakangan ini serta bertindak sebagai badan induk untuk menyelaras aktiviti bersifat nasional bagi generasi muda.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata Puteri Umno percaya pemimpin-pemimpin generasi muda daripada Puteri MIC, MCA, Parti Progresif Penduduk dan Gerakan akan turut mengalu-alukan penubuhan itu.

Rosnah berkata wanita muda parti-parti komponen perlu memperhalusi pelbagai cadangan yang boleh dikemukakan kepada Dewan Tertinggi BN untuk memastikan Puteri BN benar-benar berkesan.

-- BERNAMA
(Sumber :- http://www.bernama.com.my/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=412218)

Wednesday, May 20, 2009

SETUJU TUBUH PUTERI BN...

Setuju tubuh Puteri BN

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan HERMAN
HAMIDpengarang@utusan.com.my

Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin bersama pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) pada sidang media selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ Mohd Naim Aziz
KUALA LUMPUR 18 Mei – Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini bersetuju untuk menubuhkan Puteri BN secara rasmi, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, dengan persetujuan itu, semua parti komponen telah diminta untuk mengambil tindakan susulan berhubung penubuhan sayap terbaru BN itu.
Mesyuarat itu juga, kata Perdana Menteri, bersetuju melantik Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagai Ketua Penyelaras BN.

Menurutnya, antara tugas utama Soi Lek dalam jawatan baru BN itu ialah memberi tumpuan khusus kepada negeri-negeri dikuasai oleh parti pembangkang.

“Mesyuarat juga bersetuju mewujudkan jawatan Ketua Penerangan di peringkat Dewan Tertinggi BN tetapi calonnya belum ditentukan lagi.
‘‘Calon Ketua Penerangan itu akan diputuskan pada mesyuarat akan datang,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sebahagian besar ketua komponen BN.

Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan pelantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Setiausaha Agung BN dan Datuk Ahmad Husni Hanadzlah sebagai Bendahari BN.

Mereka yang dilantik sebagai Pengerusi BN negeri selain beliau di Selangor ialah Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu (Perlis); Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Kedah); Datuk Mustapa Mohamed (Kelantan); Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Terengganu); Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon (Pulau Pinang) dan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (Perak).
Lain-lain ialah Datuk Seri Adnan Yaakob (Pahang); Tan Sri Muhyiddin Yassin (Wilayah Persekutuan); Datuk Seri Mohamad Hasan (Negeri Sembilan); Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (Melaka); Datuk Abdul Ghani Othman (Johor); Datuk Seri Musa Aman (Sabah) dan Tan Sri Abdul Taib Mahmud (Sarawak).

‘‘Apa yang kita putuskan hari ini hanya melibatkan kepimpinan BN peringkat negeri dan untuk peringkat bahagian, ia akan dibuat dalam sedikit masa lagi,” katanya.

Monday, May 18, 2009

MISI Y.B. DATUK ROSNAH, KETUA PUTERI MALAYSIA

Pikat wanita muda berjuang untuk memajukan bangsa


SELEPAS lapan tahun dilahirkan Umno, kewibawaan Puteri sering dipandang remeh. Mungkinkah kerana usianya, Puteri dilihat sebagai anak kecil yang tidak selayaknya bergaul dengan asam garam politik? Justeru, pembabitannya sering kali dilihat sebagai tidak serius, cuma untuk memeriahkan suasana dan tidak lebih sebagai 'daya penarik' dalam senario politik tanah air.

Inilah kenyataan yang paling mendukacitakan Ketua Puteri Umno yang baru, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. Ke mana saja beliau pergi, persoalan itu sering ditujukan kepadanya, namun semua itu bukanlah penghalang untuk wanita kelahiran Kota Belud, Sabah itu meneruskan perjuangan demi bangsa dan tanah air tercinta menerusi Puteri Umno.

"Ini adalah cabaran yang perlu saya hadapi. Siapa yang tidak sedih apabila persepsi ini digambarkan kepada Puteri yang dikatakan hanya mengejar glamor dan tidak serius. Hakikatnya, ramai yang berjuang bertunjangkan akar umbi dan berlandaskan matlamat parti.


"Saya menyertai Puteri sejak ia ditubuhkan dan melihat sendiri proses pengorbanan sesetengah ahli, bukan sekadar buah fikiran, bahkan masa bagi memastikan parti diterima masyarakat. Saya sering mengatakan, mereka adalah 'wira yang tidak didengari' (unsung hero) kerana tidak mendapat pengiktirafan," katanya.

Sebaik dipilih sebagai ketua, antara azam Rosnah adalah untuk menghapuskan persepsi negatif ini bagi membolehkan Puteri dilihat lebih serius dan berkesan. Impian beliau mahu melihat Puteri menjadi contoh anak muda hari ini dan menjadi kebanggaan masyarakat sehingga pada suatu masa, setiap ibu bapa menginginkan anak mereka berada dalam sayap Umno itu.

ROSNAH bersama anaknya, dari kiri, Siti Aisyah, Siti Khadijah dan Mahathir.

"Pembabitan Puteri amat relevan pada masa kini mewakili suara wanita muda. Ibarat kilang, ia melahirkan pemimpin wanita yang cukup vokal dan berkesan bagi mengutarakan isu golongan muda. Puteri mempunyai aspirasi untuk dilihat sebagai pembela golongan muda dan ia sesuai dengan landskap politik tanah air yang 75 peratus diwakili belia berusia 40 tahun ke bawah.

"Apa yang paling dibimbangkan, rintihan orang muda tidak diberi perhatian dan jika ini tidak dititikberatkan, tidak mustahil ia boleh mengucar kacirkan politik seperti yang berlaku di Thailand hari ini apabila golongan muda mempunyai jati diri yang rapuh serta mudah terpengaruh dengan hasutan," katanya.

Memperkukuhkan benteng pertahanannya, setiap ahli sentiasa didedahkan dengan pelbagai latihan khususnya internet yang hari ini dijadikan senjata oleh pembangkang bagi mempengaruhi golongan muda. Puteri diberikan peranan sebagai modem menyediakan maklumat betul di samping memantau dan menangkis dakyah pembangkang. Peranan itu juga bakal diperluaskan selaras dengan isu semasa.

"Saya akui program Puteri perlu ada suntikan baru. Kami akan mencari formula yang akan memberikan impak kepada orang muda dan menjadikannya sebagai 'jambatan' menghubungkan golongan muda. Puteri akan memfokuskan penambahan keahlian yang ketika ini memiliki 328, 165 ahli berdaftar di seluruh negara. Mereka termasuk di akar umbi akan dilatih sebagai pemimpin dan akan menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan sebagai sumbangan kepada parti. Kami berharap dapat bekerjasama dengan sayap Umno lain bagi mengukuhkan parti dalam suasana aman serta saling hormat menghormati," katanya.

Rosnah yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan berkata, perlantikan itu dan juga sebagai Ketua Puteri adalah satu tanggungjawab berat dan amanah yang diberikan kepada Puteri Umno. Secara tidak langsung ia juga adalah bentuk pengiktirafan di atas perjuangan Puteri selama ini.

"Jawatan sebagai Timbalan Menteri Kesihatan agak mencabar kerana saya mempunyai latar belakang dalam bidang guaman. Bagaimanapun, ia bukan penghalang untuk menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan dan berharap pengalaman sebagai peguam boleh membantu terutama dari segi perundangan.

"Bagi saya ia memberikan kelebihan untuk saya terus menyumbang kepada parti. Golongan muda juga perlu didedahkan dengan kepentingan menjaga kesihatan diri. Mungkin ada program yang boleh diserap ke dalam Puteri Umno selaras dengan tujuan ini. Saya yakin, visi dan misi kementerian selari dengan jiwa saya yang ingin dekat dengan masyarakat," katanya.

Anak kelapan daripada sembilan beradik itu mengakui, beliau pada asalnya tidak pernah terfikir untuk terbabit dalam politik apatah lagi memegang jawatan lebih tinggi. Baru berusia 27 tahun ketika itu, Rosnah yang mempunyai kelulusan dalam bidang guaman dilantik sebagai ahli jawatankuasa Penerangan mewakili guaman di bawah biro negeri Sabah.

Rosnah menyertai Puteri Umno sebaik ia ditubuhkan kerana ia selari dengan program mendekati masyarakat.

"Apabila banyak terdedah kepada pelbagai kursus, saya mula sedar mengenai kepentingan suara golongan muda dalam politik. Sejak itu, saya aktif dalam Puteri Umno sehingga hari ini. Pada awalnya, ibu bapa saya agak keberatan kerana saya terpaksa meninggalkan kerjaya sebagai peguam.

"Ayah seorang jurutera, manakala emak hanya suri rumah, tidak ada ahli keluarga yang aktif dalam politik. Maklum saja cabaran sebagai ahli politik bukan mudah. Apabila sebelah kaki sudah masuk ke kancah politik, sukar untuk mengeluarkannya. Namun, akhirnya mereka merestui saya," katanya.

Mengakhiri zaman solonya Julai tahun lalu, Rosnah bersyukur kerana suaminya yang bekerja sebagai penjawat awam juga memahami dan merestui kerjaya beliau.

Walaupun pada awalnya agak kekok membahagikan masa antara kerjaya, suami dan tiga anak angkatnya, Rosnah dapat menyesuaikan diri dengan jadual hariannya.

"Seminggu sekali saya akan pulang ke Papar untuk melawat anak di sana. Saya ambil mereka sejak sebelum berkahwin lagi. Suami saya juga ada anak daripada perkahwinan terdahulunya. Kami bersama-sama memastikan ada masa untuk keluarga.

"Waktu terluang dihabiskan dengan menonton wayang atau bersiar-siar. Saya pula suka membaca terutama buku mengenai siri penyiasatan atau menonton bola sepak," katanya.

Profil

Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin

Darjah Kebesaran:
ADK, ASDK, Jaksa Pendamai (JP), PGDK

Tarikh lahir: 10hb Julai 1972

Tempat lahir: Kota Belud, Sabah

Umur: 36 Tahun

Status Perkahwinan: Berkahwin

Nama Suami: Fadli Juanas

Anak: Mahathir Musa, Siti Aisyah, Siti Khadijah Abdullah dan Mohd Faiq Fadli.

Pencapaian Akademik: Disember 1991-1995 - Bachelor in LLB (Hons), UIA

Bidang pengkhususan: Undang-undang

Kawasan Parlimen: P175 Papar

Jawatan disandang:

  • Timbalan Menteri Kesihatan

  • Ahli Parlimen Papar

  • Naik Ketua Puteri Umno

  • Timbalan Pengerusi Rakan Pengguna

  • Pengerusi Warisan Harta Sabah Sdn Bhd

  • Ahli Lembaga Malaysia France Institutes Sdn Bhd

  • (Sumber :- http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Ratu/20090518070431/Article/)

    Friday, May 15, 2009

    TRAGEDI DI KG.MUSLIM

    LEBIH 3,000 HILANG TEMPAT TINGGAL

    Kebakaran-1a-15
    MARAK... antara rumah yang musnah dalam kebakaran yang cuba dipadamkan oleh anggota bomba.
    15th May, 2009

    LABUAN: Lebih 300 orang kehilangan tempat tinggal apabila kira-kira 270 daripada 450 buah rumah di Kampung Muslim Batu Arang musnah dalam kebakaran besar awal tengah hari, kelmarin.

    Difahamkan 90 peratus penghuninya adalah merupakan warga asing Filipina yang sebelum ini kawasan itu dijadikan sebagai pusat penempatan pendatang tanpa izin.

    Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat, Wilayah Persekutuan Labuan, Irwan Husin, lebih 120 anggota bomba termasuk sembilan pegawai bersama enam buah jentera bomba dari Balai Bomba Labuan, Balai Bomba Jawa dan Balai Bomba Layang-Layang dikejaarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.40 pagi.

    Katanya, bomba yang tiba di tempat kejadian kira-kira jam 11.45 pagi berjaya mengawal api daripada terus merebak kira-kira jam 3.15 petang.

    “Kira-kira 270 buah daripada 450 buah rumah gagal untuk diselamatkan apabila api begitu cepat merebak disebabkan angin dan panas terik…bagaimanapun 180 buah daripadanya berjaya diselamatkan.

    “Pihak bomba dan polis masih lagi menjalankan tugas masing-masing termasuk untuk mengawal api daripada merebak semula,” katanya ketika dihubungi di sini petang kalmarin.

    Menurut Irwan, turut memberikan bantuan dalam kerja-kerja memadam dan menyelamat ialah anggota Bomba Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM), Jabatan Bekalan Air Labuan, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Polis Di Raja Malaysia dan Rela serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.

    Semantara itu, Irwan berkata, sehingga jam 3.15 petang ini (semasa berita ini di tulis) pihaknya belum ada menerima laporan kehilangan jiwa.

    “Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi disiasat,” katanya.

    Dalam pada itu, menurut sumber lain, kesemua mangsa yang kehilangan tempat tinggal dilaporkan di tempatkan sementara di Kem Penempatan Pelarian di Kampung Kiansam.

    Salah seorang penduduk, Abidin Julahi, 35, memberitahu beliau sedang bersama keluarganya ketika kebakaran berlaku.

    “Waktu itu 11.30 pagi, saya terdengar jeritan kuat di luar rumah saya… asap… asap… asap, dan setelah saya tengok, kebakaran itu telah pun merebak dekat dengan rumah saya. Tiada apa yang boleh saya lakukan selain daripada menyelamatkan harta benda dan anak-anak dan kemudian menyelamatkan diri. Kami anggarkan hampir 800 buah rumah di empat blok sudah pun musnah,” katanya.

    Seorang lagi mangsa, Aminah, 65, berkata, beliau bersyukur ke hadrat Allah kerana menyelamatkan beliau dan keluarganya.

    “Tidak mengapalah barang-barang kami musnah dalam kebakaran ini. Saya bersyukur kerana keluarga saya selamat,” katanya.

    Sementara itu, Anggota Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal menggesa jabatan dan agensi kerajaan supaya menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran.

    “Ini atas dasar kemanusiaan. Kami harap masyarakat yang bermurah hati akan turut tampil memberi sumbangan. Ketika ini, para pegawai Parlimen saya akan membantu mereka dan mengumpul segala maklumat yang perlu.

    “Kami perlu mendapatkan senarai mangsa bagi menyalurkan bantuan segera. Saya akan pulang ke Labuan hari ini (kelmarin) dan terpaksa menangguhkan perbincangan mengenai tesis saya dengan seorang profesor UTM,” kata Yussof, yang ketika ini berada di Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor, untuk Ijazah Sarjananya.

    (Sumber :- http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/28570)

    Wednesday, May 13, 2009

    SENARAI PENUH KEPIMPINAN PUTERI MALAYSIA YANG BARU DILANTIK.... TAHNIAH!

    PERLIS:

    Ketua: Asmaiza Ahmad (Ketua Puteri UMNO Bahagian Padang Besar)

    Naib Ketua: Huzaini Abdul Hamid (Ketua Puteri UMNO Bahagian Kangar)

    KEDAH:
    Ketua: Norashimah Md. Nowar (Ketua Puteri UMNO Bahagian Sik)
    Naib Ketua: Hisham Suhaily Othman (Ketua Puteri UMNO Bahagian Langkawi)

    KELANTAN:
    Ketua: Norwahida Patuan (Ketua Puteri UMNO Bahagian Jeli)
    Naib Ketua: Maznah Yaakob (Ketua Puteri UMNO Bahagian Kota Bharu)

    TERENGGANU:
    Ketua: Arfalinda Anuar (Ketua Puteri UMNO Bahagian Kemaman)
    Naib Ketua: Aziahwati Abdullah (Ketua Puteri UMNO Bahagian Dungun)

    PULAU PINANG:
    Ketua: Nor Hafizah Othman (Ketua Puteri UMNO Bahagian Tasik Gelugor)
    Naib Ketua: Ida Moerni Zakaria (Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Gelugor)

    PERAK:
    Ketua: Salbiah Mohamad (Ketua Puteri UMNO Bahagian Gerik)
    Naib Ketua: Rosniza Ismail (Ketua Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timur)

    PAHANG:
    Ketua: Siti Azma Izah Adnan (Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuantan)
    Naib Ketua: Norhayane Shahadan (Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Lipis)

    SELANGOR:
    Ketua: Suhaila M.Zin (Ketua Puteri UMNO Bahagian Kota Raja)
    Naib Ketua: Adrililza Mohd. Abdan (Ketua Puteri UMNO Bahagian Kelana Jaya)

    WILAYAH PERSEKUTUAN:
    Ketua: Sarina Syarif (Ketua Puteri UMNO Bahagian Cheras)
    Naib Ketua: Huzry Fionnawatty Hussein (Ketua Puteri UMNO Bahagian Segambut)

    NEGERI SEMBILAN:
    Ketua: Norashikin Abd. Rahman (Ketua Puteri UMNO Bahagian Rasah)
    Naib Ketua: Nor Amalina Abd. Wahab (Ketua Puteri UMNO Bahagian Tampin)

    MELAKA:
    Ketua: Mas Ermieyati Shamsudin (Ketua Puteri UMNO Masjid Tanah)
    Naib Ketua: Siti Faizah Abd. Azis (Ketua Puteri UMNO Bahagian Jasin)

    JOHOR:
    Ketua: Faraha Ismail (Ketua Puteri UMNO Bahagian Mersing)
    Naib Ketua: Rohaiza Ahmad (Ketua Puteri UMNO Bahagian Pagoh)

    SABAH:
    Ketua: Musliati Moslimin (Ketua Puteri UMNO Bahagian Kota Kinabalu)
    Naib Ketua: Zakiah Kalipunya (Ketua Puteri UMNO Bahagian Semporna)

    Tuesday, May 12, 2009

    PUTERI KEKALKAN DUA MUKA BARU

    Puteri kekalkan dua muka lama
    Oleh Rohani Ibrahimpengarang@utusan.com.my
    Senarai Ketua dan Naib Ketua Puteri UMNO Negeri
    KUALA LUMPUR 11 Mei - Pergerakan Puteri UMNO yang mengumumkan senarai Ketua dan Naib Ketua negeri pada hari ini mengekalkan dua muka lama dalam barisan kepimpinan kali ini.
    Ketuanya, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin berkata, kedua-dua muka lama berkenaan ialah Ketua Puteri UMNO Melaka, Mas Ermieyati Shamsudin dan Ketua Puteri Negeri Sembilan, Norashikin Abd. Rahman.
    ''Ketua Puteri UMNO negeri yang diumumkan dalam senarai kali ini bukanlah benar-benar baru.
    ''Mereka merupakan pemimpin di peringkat bahagian sejak Puteri UMNO masih di peringkat penaja lagi,'' katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
    Ketua Puteri UMNO negeri yang baru ialah Asmaiza Ahmad (Perlis), Norashimah Md. Nowar (Kedah), Norwahida Patuan (Kelantan), Arfalinda Anuar (Terengganu) dan Nor Hafizah Othman (Pulau Pinang).
    Pengerusi Portfolio Biro-Biro Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
    Muka-muka baru lain ialah Salbiah Mohamad (Perak), Siti Azma Izah Adnan (Pahang), Suhaila M. Zin (Selangor), Sarina Syarif (Wilayah Persekutuan), Faraha Ismail (Johor) dan Musliati Moslimin (Sabah).
    Rosnah berkata, berdasarkan pengalaman barisan kepimpinan Puteri UMNO pada kali ini, beliau yakin pergerakan berkenaan kini mempunyai saf yang baik seperti yang dituntut oleh pucuk pimpinan.
    ''Saya berharap semua ahli Puteri UMNO dapat melupakan perbezaan yang berlaku sebelum ini dan membantu parti kembalikan sokongan golongan muda.
    "Ini adalah penting supaya Puteri UMNO dapat berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan parti dan golongan muda,'' katanya.
    Sementara itu, mengenai penubuhan Puteri Barisan Nasional (BN), Rosnah menjelaskan, Puteri UMNO melantik Dr. Wan Norashikin Wan Nordin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penubuhan Puteri BN.
    ''Ini membuktikan perhatian serius Puteri UMNO dalam memastikan Puteri BN menjadi realiti.
    ''Seruan Puteri UMNO juga memerlukan maklum balas yang positif daripada semua parti komponen dalam BN,'' katanya.

    Monday, May 11, 2009

    YB DATUK ROSNAH : 80% KETUA PUTERI NEGERI MUKA BARU

    PAPAR: Kira-kira 80 peratus muka baru Ketua Puteri Umno negeri akan diumumkan selepas mesyuarat pertama Exco pergerakan itu di Kuala Lumpur, hari ini. Mereka diyakini mampu memimpin Puteri Umno negeri bukan setakat sebagai sayap parti, malah memperkukuh perjuangan pergerakan itu pada peringkat akar umbi bagi memastikan kelangsungan perjuangan dan penguasaan Umno serta Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum akan datang.
    Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata beliau akan mengumumkan barisan kepimpinan Puteri Umno negeri yang baru sejurus selepas mesyuarat itu. "Tunggulah esok, insya-Allah saya akan umumkan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Ekspo Beli Barangan Buatan Malaysia anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, di Padang Pekan Papar, di sini, semalam. Ekspo itu disertai 80 usahawan, terutama dalam bidang pembuatan produk makanan. Ia bertujuan meningkatkan keprihatinan anggota masyarakat terhadap kepentingan membeli barangan buatan tempatan. Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Sabah, Jaafar Walad.

    Bagaimanapun, Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar enggan mengulas lanjut ketika ditanya muka baru terbabit. Rosnah dipilih Ketua Puteri Umno dalam pemilihan Umno Mac lalu selepas menewaskan lima pencabarnya, iaitu bekas Ketua Penerangan Puteri, Datuk Shahaniza Shamsuddin; Setiausaha sayap itu, Bibi Sharliza Mohd Khalid; Exco Puteri, Datin Ismalina Ismail; Pengerusi Tetap Puteri Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Ida Rahayu Mohd Noor dan Ketua Puteri Cawangan OUG, Saarah Ali Bashah. Bulan lalu, Puteri Umno mengumumkan pelantikan empat jawatan utama bagi sayap parti itu. Ketua Puteri Perak, Dr Wan Norashikin Wan Noordin dilantik sebagai Bendahari dan Ketua Puteri Terengganu, Nordiana Shafie sebagai Ketua Penerangan.

    KETUA PUTERI, EXCO.... DIUMUM HARI INI

    Ketua Puteri, Exco diumum hari ini
    PAPAR 10 Mei - Barisan Exco dan Ketua Puteri UMNO yang baru di peringkat negeri akan diumum secara rasmi selepas satu mesyuarat khas pergerakan itu, esok.

    Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, muka baru dan lama akan diganding bagi memantapkan pergerakan itu yang merupakan salah satu sayap penting UMNO.

    “Semuanya akan diumumkan esok selepas selesai satu mesyuarat khas Puteri UMNO di Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Perdagangan Beli Barangan Malaysia di padang Pekan Papar di sini hari ini.

    Beliau mengulas senarai Exco dan Ketua Puteri UMNO baru yang sehingga ke hari ini masih belum diumumkan dan mencetuskan pelbagai tanggapan dan spekulasi.

    Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan percaya, semua yang bakal memegang jawatan akan diterima baik dalam kalangan ahli dan tidak akan berlaku sebarang perpecahan.

    Ketika berucap pada majlis itu, beliau meminta rakyat supaya membeli barangan tempatan supaya aliran tunai terus mengalir dalam negara sekali gus memberi kesan positif kepada ekonomi.

    Ahli Parlimen Papar itu juga berkata, persepsi bahawa barangan tempatan rendah kualiti berbanding dari barat adalah tidak tepat sama sekali.

    “Kualiti barangan tempatan setaraf dengan barangan luar, kempen membeli barangan tempatan adalah strategi kerajaan dalam merancakkan ekonomi domestik,” katanya.

    Thursday, May 7, 2009

    Najib pengerusi mesyuarat Biro Politik Umno

    Najib pengerusi mesyuarat Biro Politik Umno

    PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebentar tadi mempengerusikan mesyuarat Biro Politik Umno bagi membincangkan sama ada Umno dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang pada 31 Mei ini. Beberapa pemimpin tertinggi Umno kelihatan memasuki Bangunan Perdana Putra sejak jam 12 tengah hari tadi. Antara mereka ialah tiga Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal; Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda, Khairy Jamaludin; Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan media dikeluarkan mengenai hasil mesyuarat itu.